Saturday, October 6, 2012

Bila mata terbuka

Memberi sokongan dan semangat baru

Sedang menikmati santapan sup berdengung di sebuah kedai makanan yang terletak di Nilai 3, tiba-tiba datang seorang perempuan dengan bergalaskan sebuah beg datang menghampiri kami. Perempuan itu membawa bersamanya beberapa buah buku serta CD nasyid dan alunan suci bacaan al-Quran. Pada mulanya aku terasa terganggu dengan keadaan tersebut tetapi apabila melihat sahabatku yang ku gelarkan ia sebagai abang Imran melayannya dengan cukup ramah dan baik, membuatkan diri ini sedikit malu. Inikah natijah dari dakwah yang ku pelajari selama ini.

Aku sekadar memerhati keadaan yang berlaku antara perempuan tersebut yang menpromosikan barangnya kepada abang Imran. Jauh di sudut hatiku, aku berasa malu sebenarnya dengan keadaan diriku ini. Abang Imran melayan perempuan penjual tersebut dengan penuh ramah dan kelihatan riak-riak gembira pada wajah wanita tersebut yang dapatku perhatikan. Mungkin kerana memikirkan ada rezeki yang akan diperolehinya di meja tempat kami menjamu selera.

Selepas bertanya itu dan ini, lalu sahabatku ini membeli sekeping CD alunan bacaan al-Quran juz amal daripada perempuan tersebut. Sempat lagi abang Imran berseloroh dengan perempuan tersebut dengan katanya,"Kalau CD ini tak ori, saya nak duit saya balik".Gurau abang Imran dengan disambut senyuman daripada perempuan tersebut. Nampak jelas kegembiraan terpancar terang di raut wajahnya.

Selesai urusan di meja makan kami, perempuan tadi berlalu menuju ke meja yang lain pula untuk menjual barangannya itu. Aku memerhatikan penjual perempuan tadi yang bergerak dari meja ke meja buat melariskan barangannya itu. Moga-moga masih ada insan yang lain seperti kami yang sanggup membeli barangannya walaupun seringkali ditolak oleh orang ramai yang sedang menjamu selera tengahhari.

Dapatku lihat betapa gigih penjual perempuan tadi berusaha untuk mencari rezeki dengan menjual barangannya itu. Sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada meminta sedekah.

Membantu Sahabat

Hari ini, aku dan Hasieb akan membantu abang Imran yang akan berpindah ke rumah barunya yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya. Keadaan rumah kami yang jauh dari tempat kerja abang Imran menyukarkan sedikit sebanyak beliau untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja, tetapi siapa sangka rezeki Allah itu maha luas. Abang Imran telah ditawarkan oleh 'company' nya untuk duduk di rumah sewa yang berdekatan dengan tempat kerja. Harganya pun sangat berpatutan.

Selesai membantu mengangkat semua barang masuk kedalam rumah yang terletak di tingkat 4 cukup menguji tenaga muda kami ini. Mujurlah Hasieb seorang yang perkasa kerana aku dah mula terasa keletihan dek kerana mengangkat barang tersebut. Mahu sahaja aku tidur di rumah baru abang Imran kalau bukan kerana pelawaannya itu yang telah membantutkan hasrat murni ini.

Abang Imran nak belanja sup berdengung, menarik ni. Aku pun belum pernah lagi merasa makanan itu. 'First time' dengar makanan ni,hehehe..Seronok,seronok, fikir bernakku walaupun didepannya ku menolak kaw, kaw supaya dia tak belanja kami. 

Bukan apa aku cuma memikirkan ekonominya sahaja, tetapi tak sangka beliau memang seorang yang berhati pemurah. Rasa-rasanya apa Hasieb fikir ketika aku menolak di belanja oleh abang Imran. 'Jangan libatkan aku dah kot', hehehe..

Berilah harapan

Teringat sebuah lagu nasyid kumpulan Raihan yang pernah menjadi popular suatu ketika dahulu, tak silap aku lagunya bertajuk "Berilah Harapan". Mengingatkan lagu ini teringat aku dengan tindakan yang dilakukan oleh abang Imran tadi.

Katanya,"masyarakat kita hanya sibuk dengan diri sendiri sahaja dan lupa untuk membantu dan menyokong mereka yang lemah". Walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa tetapi kita hendaklah membantu dan memberi sokongan moral kepada mereka, sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk mengubah hidup mereka dengan cara mencari rezeki yang halal.

Kadang-kadang barang yang dijual tidaklah menarik tetapi kita membelinya bukan kerana barang tersebut tetapi sebagai moral kepada penjual tersebut untuk terus berusaha dengan cara perniagaan halalnya itu. Mungkin barang tersebut kita boleh hadiahkan pada jiran, rakan-rakan atau sesiapa sahaja. Tetapi apa yang penting disini kita membelinya sebagai satu tanda sokongan untuk membina moral mereka bagi terus berusaha untuk terus bersemangat dalam perkerjaan halal mereka itu.

Bila mata terbuka

Seharusnya kita perlu sedar akan hal ini, janganlah dek kerana terlampau mementingkan diri sendiri kita lupa pada orang yang lain. Ingat, kadang-kadang dalam harta yang kita miliki itu terkandung hak orang lain yang mesti kita tunaikan. 

Teringat pula satu tagline blog ustaz Hasrizal Jamil, "Erti Hidup Pada Memberi". Mungkin sudah tiba masanya masyarakat kita dibangunkan dengan membangunkan akal,jiwa dan budi mereka semua. Masyarakat kita sebenarnya kosong dari jati diri hidup sebagai seorang muslim yang sejati.

Oleh itu, usaha kearah ini perlu dilakukan dan dihidupkan agar kemuliaan umat islam yang berdiri atas satu bangunan yang kukuh dapat dihidupkan kembali. Bila mata sudah terbuka, apa tunggu lagi? Ayuh, kita bertindak!!!



Wednesday, October 3, 2012

Belajarlah jadi yang terbaik

Bukan semua orang akan mendapat dengan mudah apa yang dikehendaki oleh dirinya. Kadang-kadang aku bertanya kepada diriku ini masih tidak cukupkah apa yang aku ada kini. Apa yang masih aku tidak puas dalam hidup ini. Kenapa aku rasa makin lama, aku semakin malas untuk menulis dan membaca ni. Aku tak tahu dimana silapnya tetapi yang pasti aku kena sedar dari lamunan yang merugikan masa hidupku ini.

Tambah menyedihkan bila aku mula terpengaruh dengan bisikan-bisikan nafsu yang menghiaskan indah sesuatu perkara itu pada mataku ini. Cinta dan ingin rasa dicintai, perkara ini tidak dapat ku nafikan dalam diriku ini tetapi apa yang jelas kebenaran adalah sesuatu yang pahit yang mesti ditelan oleh diri ini, demi meraih trofi yang menanti di akhiran buat pemenang yang tabah dan sabar buat sekalian lamanya. Janji tuhan itu pasti dan janji syaitan itu dusta dan lagi meleset.

Dibayangi dengan kata-kata indah yang berunsur islamik dan gambar yang memaparkan keindahan si empunya diri, cukup membuatkan diri ini menjadi cair. Mungkin bagi sesetengah orang itu adalah baik dan mereka pasti memuji perbuatan tersebut tetapi entah kenapa ku merasakan syaitan mempergunakan kebaikan itu untuk menyesatkan ramai manusia.

Syaitan akan menyesatkan manusia dengan enaknya melakukan kejahatan tetapi tatkala hal tersebut tidak menjadi maka syaitan akan datang dari arah pintu kebaikan buat menyesatkan manusia tersebut. Teringat sebuah kisah seorang imam besar yang dikenali dengan nama Imam Basus yang telah beribadat sekalian lamanya tetapi dek kerana syaitan telah memperdayakannya dengan ibadah tersebut menyebabkan timbul rasa hebat dan akhir sekali ibadah itu punah dan musnah begitu sahaja.

Soalnya ialah Allah ingin melihat sejauh mana kita tunduk patuh kepadaNya ketika masih berada di alam dunia ini. Ya, itu memang benar dunia yang kita sedang duduki sekarang ini pernuh dengan dugaan dan cabarannya, tetapi tanpa cabaran manakan datang manisnya sebuah perjuangan.

Akhir kalam, bersabarlah akhi kerana perjuangan ini hanya sementara. Aku tahu saat ini jiwamu sedang meronta-ronta menahan desakan nafsu dalaman itu. Tetapi percayalah bahawa ia hanya sementara sahaja. Saat engkau membuka mata di sana kelak, keadaan sudah pasti berbeza. Aku percaya kau boleh jadi yang terbaik, juga belajarlah jadi yang terbaik wahai sahabat diriku sendiri.


Monday, October 1, 2012

Teman hidupku, mungkinkah Dia?

Aku termenung seketika memikirkan nasib diri ini, kenapa aku merasakan diriku ini begitu kosong dan sangat jauh darinya. Tidakku ketahui puncanya tetapi tidak daku nafikan tanpanya hidup ini terasa tidak bermakna lagi. Pernah satu ketika saat aku mengenalinya, hidup ini terasa begitu sempurna dan entah kenapa kedatangannya begitu mengirangkan hati ini.

Aku bagaikan seorang kekasih yang amat rindu untuk bertemunya, sehinggakan masa itu ku merasakan begitu menghambat pertemuan kami. Nikmat dari cinta itu begitu indah sehingga tidak dapat ditafsir dengan apa-apa lagi.

Tetapi kini kenapa ku merasakan bagaikan ditinggalkan oleh si dia, hatiku kembali sepi dan kosong. Aku tak tahu lagi di mana tempat untuk aku tuju dan mengadu tanpanya. Adakah ini semua berpunca dari kesilapanku, sehingga menyebabkan dia menjauhkan diri dariku. 

Aku sedar bahawa aku ini adalah manusia yang lemah dan tidak mampu untuk terus menang dalam pertarungan ini. Dan Aku mengharapkan kembali dia sudi untuk bersamaku dalam membimbing jalan hidupku ini.

Tuesday, August 28, 2012

Bila kita jelas matlamat hidup


Perjalanan hidup yang bermacam ragam dan pelbagai jenis mencerminkan seseorang itu di akhirnya. Tetapi apa yang ingin di ungkapkan disini ialah natijah dari perjalanan yang dilalui itu untuk kemana? Setiap perjalanan yang tanpa destinasi di ibaratkan sebagai seseorang yang sesat di gurun sahara yang jauhnya sejauh mata memandang. Itu bukanlah kamus pengembaraan seseorang individu yang bergelar muslim. Sewajibnya harus tampak pada seorang muslim itu kepastian jalan yang ditempuhnya dan jelas kemana destinasi akhirnya.

Orang yang leka dalam perjalanannya sudah pasti kecelakaan siap sedia menunggunya di hadapan. Inilah yang kita tidak mahu berlaku dalam perjalanan yang masih panjang dan pernuh dengan liku-liku yang menuntut kita semua mempersediakan segala bentuk bekalan buat menempuhi ranjau di sepanjang denai-denai perjalanan.

Teringat satu ketika dahulu ketika ditanya di dalam satu program tarbiyyah, ketika mana fasilitator bertanya, "apakah matllamat hidup kamu." Ramai yang menjawab, menjadi mukmin yang sejati. tak kurang yang menjawab untuk masuk syurga Allah dan pelbagai lagi jawapan yang lain. Jawapan yang berbentuk skop umum dan tidak menyeluruh. Lalu para fasi membetulkan dengan mengatakan matlamat kita yang pertama adalah untuk mencapai mardhotillah kerana katanya inilah seharusnya tertanam dalam diri semua umat Islam iaitu untuk mendapatkan keredhoan Allah SWT.

Jawapan yang diberikan cukup besar maknanya tetapi sayangnya jika jawapan yang ringkas itu tidak dikoreksi oleh kita semua. Sekadar mengatakan ingin mencapai mardhotillah tidak memandai tanpa keperluannya dipenuhi. Disini aku cuba menyatakan beberapa perkara yang seharusnya kita ketahui, sekali gus memahaminya dengan sebenar-benarnya. Tinggal sahaja untuk dipraktikkan buat mengotakan syarat-syarat mendapat redho Allah itu.

Allah tuhan kami

Inilah perkara pertama yang harus kita jelas dalam kehidupan kita sebagai seorang yang mengakui dirinya seorang muslim. Perkara ini perlu diselidiki agar kita jelas antara makna hamba dan pencipta. Jika seseorang tidak mengenali kekasihnya, mana mungkin ia akan kasih dan cinta padanya. Sebab itulah ada orang yang sanggup berjaga malam, berjihad di medan perjuangan dan lain-lain lagi, kerana mereka jelas siapa rabb mereka.

Seharusnya 'title' muslim dan Islam bukan sekadar nama yang ada pada batang tubuh seseorang individu tersebut. Tetapi hakikat daripada kaliamah itu perlu difahami dengan  sebenar-benarnya. Amat jelek dan sedih apabila pada kad pengenalan tertulis Islam tetapi ketika diminta melafazkan kaliamah syahadah masih terangkat-rangkat. Apatah lagi jika di minta untuk menterjemahkan kalimah tersebut.

Sebab itulah kita perlu kembali memperkasakan diri ini selaku seorang yang beriman keapada rukun iman yang pertama iaitu beriman kepada Allah. Inilah asas yang perlu jelas kepada semua muslim.

Ada perpatah ulama yang menyebut, "Barang siapa yang mengenali dirinya, nescaya ia mengenali tuhannya". Bukan sekadar perpatah tetapi kebenaran yang hakikat kejadian manusia ini penuh dengan seni kehidupan yang menatijahkan di akhirnya adanya seorang pencipta alam yang telah mengatur sebaik-baik kejadian ini.

Rasul ikutan kami

Sudah pasti suri teladan yang terbaik ini tidak dapat lari dari kehidupan seluruh generasi manusia dari awal hinggalah akhir zaman nanti. Di utuskan oleh Sang Pencipta yang maha kuasa lagi maha kasih sayang buat menunjuki manusia ke arah kebaikan melalui utusan yang diutuskan-Nya.

Surah al-Ahzab ayat 21 membenarkan hal ini yang bermaksud," Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu, terdapat contoh tauladan yang terbaik". Sunnah-sunnah kehidupan baginda perlu dihidupkan kembali kerana inilah yang lebih diredhoi oleh Allah SWT keatas umat manusia.

Tetapi amat malang dan dukacitanya kini kerana bukan sahaja tidak mehu beramal dengan sunnah baginda Rasulullah, lebih teruk dari itu sanggup mentohmah dan mengatakan bahawa ia telah ketinggalan zaman dan sudah tidak relevan pada masa kini.

Siapakah mereka untuk berani memperkatakan sebegitu rupa? Sudahkah mereka mendapat jaminan dan pujian dari Allah seperti mana Rasulullah di dalam surah al-Ahzab. Jawapannya, tidak sekali-kali TIDAK!!!

Mereka menganggap bahawa dengan cara ini umat akan lebih maju tetapi sebaliknya berlaku apabila Allah menunjukkan balasan perbuatan terhadap manusia yang ingkar kepada segala perintah-Nya melalui para-para Nabi dan Rasul yang diutuskan.

Jadi siapa lagi yang dapat menggantikan para nabi dan rasul kerana kini mereka telah tiada. Jangan bimbang kerana agama ini adalah agama rahmat dan penuh dengan kesejahteraan. Sabda Rasulullah SAW, " Ulama itu pewaris para nabi".

So, apa tunggu jom bersama para Ulama yang benar.


Al-Quran perlembagaan kami

Mukjizat yang agung ini tidak akan lenyap sehinggalah di akhir zaman. Inilah mukjizat al-Quran begitu indah seni bahasanya, sehinggakan jika dihimpunkan bangsa jin dan manusia untuk membuat satu surah dari al-Quran nescaya tidak dapat diperbuat akan al-Quran ini.

Isi dalamnya penuh menceritakan pelbagai perkara berkenaan umat ini buat dihayati dan diteliti. Bukan hanya semata-mata di simpan di rak buku sehingga menyebabkan ia berabuk lantaran sudah lama tidak disentuh.

Seharusnya kita semua harus insaf dengan apa yang menimpa dewasa ini terhadap generasi muda yang ketandusan cahaya al-Quran di dalam dada. Jika dahulu anak-anak orang Islam sibuk menghafaz bait-bait ayat al-Quran, tetapi tidak lagi kini.

Lagu-lagu rock dan segala jenis lagu hiburan lebih senang di hafaz daripada al-Quran. Barangkali ia lebih mengasyikkan. Umat hari ini telah buta dari al-Quran sehinggakan jika dibuat kajian ada di antara mereka yang khatam al-Quran selepas kecil tidak lagi membacanya selepas itu.

Cukup bagi mereka apabila telah tamat bacaan al-Quran, maka semuanya telah selesai. Sungguh dangkal dan singkat pemikiran sebegini. Oleh itu, fungsi al-Quran perlu dikembalikan dalam hidup seorang muslim, bukan hanya sekadar bacaan tetapi juga penghayatan terhadap isi al-Quran itu sendiri.


Jihad jalan kami

Kehebatan sebenar umat Islam tersimpul di dalam kaliamh JIHAD. Justeru itulah kenapa musuh-musuh Islam amat bimbang jika umat Islam bangkit dengan jihad. Bagi mereka jika perkara ini berlaku tidak ada apa-apa lagi yang dapat menghalang kemaraan umat Islam dari pentas dunia.

Jadi untuk meredakan kegusaran ini, langkah yang terbaik adalah dengan melenakan umat Islam dengan selena-lenanya agar mereka tidak menyedari di sisi mereka punyai kekuatan buat menggegar dunia dan seisi alam ini.

Apa itu jihad? Jihad adalah dari kalimah arab yang bermaksud bersungguh-sungguh. Yakni, perlakuan yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan akhirnya diserahkan kepada Allah SWT. Umat yang bersungguh dalam tindakannya ini tidak lagi kelihatan kerana mereka masih lagi lena di atas tilam yang empuk.

Cuma segelintir sahaja yang sudah bangkit dan menggerakkan kekuatan jihad ini. Walaupun mereka sedikit tetapi mereka tidak pernah berputus asa kerana mereka yakin dengan janji kemeneangan daripada Allah SWT.

Kembali kepada persoalan yang diperbincangkan, seharusnya kekuatan ini dikembalikan dari dalam dada umat Islam. Mereka seharusnya sedar bahawa sudah tidak ada masa lagi untuk bermain-main dengan tipu daya yang telah dirancang oleh musuh-musuh Islam ini.

Persediaan kearah itu perlu dilakukan, bukan bermakna dengan mengangkat senjata dan terus menuju ke medan perang tetapi pelbagai cara lagi antaranya berjuang dalam pembelajaran, berjuang dalam ekonomi dan pelbagai lagi. Sesungguhnya skop jihad ini amat luas tetapi telah disempitkan oleh orang yang dengki terhadap agama yang benar ini.

Jadi, kesimpulannya sudah sampai masa untuk kita semua kembali bersungguh-sungguh dalam melakukan segala jenis amal perbuatan dalam kehidupan ini. Do the best brother.


Mati pada jalan Allah, cita-cita tertinggi kami

Perkataan mati tidak dapat dipisahkan dari kamus hidup seorang mukmin yang beriman. Bahkan inilah yang selalu dikejar dan dicari dalam hidup mereka. Teringat seorang mujahid pernah berkata," andai kata aku mempunyai sepuluh nyawa, ingin aku gunakan ia untuk mati syahid dijalan Allah".

Mati juga di sabdakan oleh Rasulullah, "Barang siapa yang mengingati mati, nescaya dia adalah orang yang cerdik dan bijak". Kenapa orang yang mengingati mati adalah orang yang cerdik? Hal ini bukan kerana dengan mengingati mati menjadikan dirinya cerdik tetapi falsafah yang tersimpul di sebalik ingat mati.

Orang yang sentiasa mengingati pemutus kelazatan dunia ini sentiasa berfikir jauh buat menyediakan persediaan selepas mati, kerana dia tahu masih ada alam yang bakal di tempuhinya.

Tetapi mati yang macam mana yang dikehendaki? Oleh itu, kita dapat lihat bagaimana para salafusoleh terdahulu berlumba-lumba dalam mencipta seni kematian yang indah. Bagaimana syuhada dengan gayanya dalam mendepani musuh-musuh Allah SWT, ulama dengan gayanya dalam membimbing ummah dan pelbagai lagi seni kematian yang mereka coratkan buat menemui Allah dengan pernuh keindahan.

Mereka tahu dan sedar matlamat kejadian mereka tidak lain adalah semata-mata kerana Allah. Oleh itu, mati pun mereka jadikan semata-mata kerana Allah SWT.

Inilah cita-cita tertinggi orang-orang beriman yang tak dapat diterima oleh akal manusia yang satu ketika dahulu melonjakkan umat Islam Ke atas agama-agama yang lain.

Waspadalah sentiasa wahai sahabatku dengan sabda baginda Rasulullah ini," Cintakan dunia dan takutkan mati" kerana inilah yang menjadi pelemah kepada uamt Islam itu sendiri. Sekali gus menyebabkan janji kemenangan dari Allah tertangguh.

Bila kita jelas matlamat hidup.

Apabila semua perkara telah jelas kepada kita semua tunggu sahaja untuk dilaksanakan bagi mereka yang berfikir. Jika ia sekadar hiasan pembacaan dan buat menambah ilmu tanpa disertai dengan amal tunggu sahajalah kerosakkan yang lebih parah datang menjengah.

Matlamat hidup yang jelas bagi seorang muslim perlu digarap dari seawal usia mungkin sehinggalah mereka meniti kedewasaan. Umat Islam yang berwawasan dan bermatlamatkan jauh perlu dikembalikan sekali lagi di zaman ini.

Bukan lagi khayalan dan omong-omong kosong tetapi satu tindakan perlaksanaan untuk membuktikan keizzahan agama ini. Sudah tiba masanya untuk kita yang telah jelas arah tujuan hidup ini bergerak untuk menyedarkan mereka yang masih lena di luar sana.

Bila kita jelas matlamat hidup maka insyaAllah, Allah akan mempermudahkan jalan-Nya bagi kita untuk mencapai trofi kejayaan dunia akhirat yang penuh makna.

Friday, August 10, 2012

Sahabat cilikku

Dua orang yang kukenali untuk barang seketika tetapi kesan dari mereka tak dapat dilupakan. Celoteh mereka bagaikan mengetuk kepala ini yang telah lena sejak sekian lamanya. Tiba-tiba merasakan bahawa saat penjemputan ke alam barzakh semakin hampir. Tatkala, disapa oleh kanak-kanak yang masih hijau umurnya ini sangat memberikan kesan kepada diri ini walaupun mereka mempertikaikannya antara satu sama lain.

Pak cik, pak cik selalu datang sini ye jual buku ni?

Banyaknya buku pak cik jual, saya nak beli pak cik tapi saya ada sepuluh ringgit sahaja.

Eh, bukan pak cik lah, urban pun takde lagi kat rambut.

Pak cik, pakcik, bagilah free buku ni. Nanti bolehlah kami ambik semua.

Pak cik datang sini tak lagi minggu depan?

Antara dialog aku dengan kanak-kanak ini yang sempat ku ingati. Antara kata-kata yang sangat memberikan kesan pada diriku ialah tatkala seorang kanak-kanak yang bernama Megat menyebut kepadaku,"Eh, bukan pak cik lah, urban pun takde lagi kat rambut."

Mungkin pada kalian semua ia adalah kata-kata yang biasa tetapi bagiku ia mempunyai makna yang pernuh tersirat yang perlu diselongkari bagi mengenali hakikat kehambaan seorang hamba pada tuhan-Nya.

Aku betul-betul bersyukur padamu tuhan kerana rahmatmu telah mengingatiku melalui hanya dengan melalui kanak-kanak yang sangat hijau umurnya. Aku tak tahu kenapa, kerana  saat ini aku merasakan bahawa bagaikan tiada apa-apa yang aku lakukan pada-Mu. Semuanya bagaikan Kosong.

Kini, usiaku sudah menjejak 20 an. Tetapi kenapa bagaikan masih banyak lagi perkara yang tidak aku tunaikan dan laksanakan pada-Mu. Terasa bagaikan diri ini mempunyai begitu banyak khilaf dan silap pada-Mu, Ya Rabb. Adakah ini sebagai peringatan dari-Mu untuk diriku yang hina ini, ya tuhanku yang maha pemurah.

Adakah aku masih belum mahu merebut peluang yang masih diberikan oleh-Nya ini. Masih belum tiba masakah aku untuk menerima hakikat ini. Hakikat yang perlu diterima oleh setiap jiwa-jiwa yang menempuhi laluan-laluan dakwah ini.

Tidak aku nafikan bahawa kebatilan dan haq, tidak akan sama sekali pernah bersama. Salah satu mesti berdiri, tetapi apa yang pasti yang HAQ tetap akan mungcul di akhirannya. Peringatan ini tanda kasih sayang-Nya kepada diriku ini tetapi bersediakah aku untuk menerimanya. Adakah kedegilan masih mengeras di hati ini.

Sesungguhnya Rahmat pengampunan-Nya sangat luas, malah lebih luas dari langit dan bumi serta seisi alamnya. Hakikat ubudiyyah ini perlu dikembalikan dan sudah sampai masanya nafsu dilumpuhkan demi sebuah cita-cita yang murni.

Sekali daku melepaskan peluang ini disini, aku sedar bahawa tiada lagi peluang ini buat kali kedua disana kelak. Kematian yang pernuh dengan seni kemuliaan perlu dicorakkan dari sekarang kerana mana mungkin aku akan memperolehinya jika aku masih di tangkuk yang lama.

Perubahan kearah itu perlu dilakukan kerana mungkin satu ketika nanti, di mana aku menatap kembali risalah  ini tatkala menjangkau usia di 40 an tiada lagi kata-kata penyesalan yang serupa ini. Apa yang lebih malang apabila tubuh ini sudah berada di dalam rumah yang tidak aku akan keluar lagi darinya. Tidak takkan ku benarkan ia terjadi.

Ya, Allah sesungguhnya aku memahami mesej yang engkau cuba sampaikan ini melalui hambamu yang masih cilik ini. Utusan-Mu ini persis tatkala dimana Khalifah Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab ditegur oleh seorang kanak-kanak dengan katanya," Wahai Amirul Mukminin , bertakwalah kamu kepada Allah".

Teguran ini telah menyebabkan saidina Umar berasa sebak di dada dan mengucapkan terima kasih kepada budak itu atas peringatan yang diberikan. Siapa tahu dalam bentuk bagaimana Allah menzahirkan kasih sayang-Nya pada hamba-Nya, tetapi bagi jiwa mukmin yang menerima pelbagai peristiwa yang melanda dirinya pasti disitu terselindungnya hikmah dari sang maha pengcipta.

Mungkin kita tidak akan berjumpa lagi wahai sahabat-sahabat cilikku, tetapi ketahuilah bahawa aku cukup senang dengan diri kalian semua. Minat kalian terhadap buku amat mengujakan diriku ini. Mahu sahaja aku hadiahkan khazanah ilmu ini pada kalian tetapi apakan daya ianya bukan milikku.

Terima kasih kepada kalian semua walaupun kalian tidak memahami apa yang berlaku tetapi inilah kasih si khaliq melalui perantaraan kata-kata kalian. Megat Daniel Aqlan, Naim, Azim, dan yang lain-lain lagi yang tidak ku sempat mengingati nama-nama mereka.

Moga kita akan bersua lagi suatu hari nanti dan kalianlah penyahut obor-obor bagi ummah ini dimasa hadapan kelak.

Indahnya kejadianmu

Kalian dan kami

Sekali lagi tak dinafikan keindahanmu, kalian sungguh indah dan cantik tanpa diri kalian maka kami tidak dapat melakukan sesuatu dengan baikyang kadang-kadang memerlukan bantuan kalian semua. Kejadianmu sebagai peneman dalam hidup ini sesuatu yang amat luar biasa. 

Sehebat Aisyah masihkah wujud pada hari ini, Kejituan muslimah ashabul Uqdud masih adakah kini, Seteguh   Khadijah yang sanggup menggadaikan tulangnya demi Islam, adakah kini,

Tak dinafikan kalian sebagai tulang belakang kami dalam menguatkan agama ini. Kalianlah yang menghantar tentera Allah dengan megahnya tatkala semboyang jihad berkumandang. Dimanakah para pengoncang dunia itu kini yang hanya mengayun buaian di rumah.

Apa yang membezakan kalian kini dan kalian yang dahulu. Mahukah kalian, aku ceritakannya. Sesungguhnya aku tidak bermaksud memeperkecilkan kalian, dan aku sedar kalianlah kepada penerus kepada generasi yang akan datang suatu hari nanti.

Tetapi sekali lagi aku bertanya kepada kalian adakah kalian berpuas hati dengan generasi yang ada pada hari ini. Di sini aku mengatakan dengan tegas bahawa aku sama sekali tidak akan setuju dengan apa yang telah berlaku pada hari ini. Ya, benar ini bukan sahaja terpukul di pundak kalian tetapi juga kami tatkala melihat kerosakan yang ada pada generasi yang ada pada hari ini.

Ya, benar kalian sungguh indah sehinggakan kami begitu takjub dan hairan dengan keindahan ini, tetapi untuk apa keindahan ini jika ia juga akan mencapakkan kami kelembah kehinaan dan duka nestapa kelak. Tidak sama sekali kami mahu meremehkan kalian tetapi kalian sungguh indah dan cantik kejadiannya yang dicipta oleh-Nya.

Boleh jadi kalian menjadi penguat kami dan boleh jadi juga kalian menjadi pelemah kepada kami. Kenapa kalian semua mencampakkan kemuliaan yang telah diberikan-Nya kepada kalian. Aku merasakan kalian juga sedar hakikat kemuliaan yang telah diberikan kepada kalian, tatkala sinar agama ini menerangi jalan-jalan kalian semua.

Kalian dimuliakan dan dimartabatkan kembali dengan pernuh kemuliaan. Kalian tidak lagi dipandang dan dianggap sebagai sebuah objek oleh kami yang pernah dianggap kami ketika era ketamadunan jahiliyyah dahulu kala. Kemuliaan kalian betul-betul dimartabatkan oleh agama ini.

Jahiliyyah kembali bersarang

Tetapi kini aku melihat jahiliyyah kembali membelit kalian sekali lagi. Tidaklah aku melihat kemuliaan yang pernah disandang oleh orang-orang seperti kalian satu ketika dahulu. Kalian kembali hidup dengan pasca jahiliyyah moden yang kembali lagi pada hari ini.

Bukan semua antara kami yang mempunyai kesedaran ini, dan juga bukan semua dari kalian yang menyedari hakikat kejahiliyyahan yang membelit  hidup ummah Islam pada hari ini. Hanya segelintir yang menyedari barah yang semakin menjarah dalam darah daging umat ini. 

Usaha pemulihan segera dilakukan walaupun kami sedar bahawa usaha yang kami lakukan ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan kehancuran yang melanda umat ini.

Tiada istilah penat

Penat bukan istilah kami, kami para pemuda dan pemudi Islam akan kembali mengibarkan panji ini walaupun menyedari bahawa untuk membaiki kerosakan yang berlaku pada hari ini bukannya satu usaha yang mudah dan senang. Dan serta kira sudinya kalian yang berada diluar sana yang memahami mesej ini untuk turut bersama kami dalam mengembalikan keizzahan dan kehebatan agama ini.

Kalian bukan penyaing tetapi kalianlah pelengkap kami dalam perjuangan ini. Kalianlah yang akan membimbing dan mendidik generasi baru yang akan datang sebagai pemuka agama ini suatu hari nanti. Oleh itu, kami sangat mengharapkan kesedaran ini berputik dalam dada kalian semua kerana tanpa kalian mana mungkin dakwah ini dapat berjalan dengan lancar.

Berpaksikan dengan Al-Quran dan As-Sunnah kembali kita kembalikan generasi Islam yang hebat. Sudah tiba masanya Asiah, isteri Firaun yang sanggup mendepani suaminya demi Islam dikembalikan, Semangat perjuangan Khadijah dihidupkan kembali, keberanian Sumayyah dalam mendepani kebatilan ditampilkan kembali. Sudah masanya, kita pula mahu melihat srikandi Islam era ini tampil pernuh gah seperti mereka yang terdahulu.

Syarat-syarat yang perlu ditetapi

Untuk ini rasanya tak perlu bagiku menuturkan kalam yang panjang, cukup bagiku mengulangi kembali apa yang telah mereka terdahulu perkatakan iaitu," Tidak akan sesat seseorang dikalangi kamu, selagi mana ia masih berpegang teguh dengan dua perkara, iaitu Al-Quran dan Sunnahku.

Ya, itu sahaja penyelesaian bagi diri kami dan kalian. AL-QURAN dan AS-SUNNAH.

Indahnya kejadianmu

Sekali lagi daku mengatakan bahawa kejadian kalian semua sangat indah dan tidak dapat dipertikaikan lagi, apatah lagi jika keindahan ini bersemi dengan iman dan takwa yang ditanam dalam jiwa kalian.

Sesungguhnya, kami hanya berharap agar keindahan kalian itu bukanlah sebagai pelemah kami dalam perjuangan ini, kerna kami belum mahu lagi berhenti dari jalan ini sehingga rahmat agama ini tersebar kepada seluruh manusia. 


Semoga kalianlah penguat kami di jalan dakwah yang penuh liku dan pernuh cabaran ini, dan bukanlah sebagai orang yang akan melemah kami semua. Semoga risalah yang ringkas ini memberi pendoman bagi diri kami dan kalian semua.

Di 10 hari terakhir ramadan


Aduh, apa yang telah aku buat ni. Banyak lagi perkara yang tak settle ni, 
macam mana ni? monolog diri dalamanku.

Apa tak peningnya, masalah kerja, masalah assignment, masalah rumah sewa, 
masalah, masalah dan masalah tak pernah selesa dalam hidup ini.

Kenapa aku rasa kosong dan serba tak kena sahaja dalam hidupku ini. 
Tapi bila aku tengok kawan aku Ahmad tu "happy good lucky" je ku lihat.

Ni mesti ada sesuatu yang dia ada dan aku takde, tapi yang hairannya sejak akhir-akhir ini 
selalu pula aku nampak dia keluar malam. Sedar-sedar, pagi baru dia balik rumah.

Tapi nak kata buat benda buruk, ceria lagi berserilah pula mukanya bila dilihat. 
Aku pun rasa sejuk hati bila lihat muka si Ahmad ini.

Mad, kau ni malam-malam pergi mana hah? dah, tu balik lewat pagi pulak tu. 
Siap keluar bawa beg pula tu.

Dah, tu kau nak ikut?

Hai, lain yang ditanya, lain pula yang dijawab.

Mmm, boleh k? Program kau pergi ni menarik tak?

Apa tak menariknya, kalau kau pergi boleh dapat banyak ganjaran Roy.
Tapi kau kena pergi tiap-tiap malamlah. Untung-untung kau pun dapat seribu. Kih,kih,kih..

Boleh pula dia ketawa, kataku dalam diri.

Ok lah, aku nak ikut sekali.

Setibanya, di satu tempat.

Eh, ni tempat apa ni? Macam aku kenal je tempat ni Mad. 
Kita boleh dapat seribu ke duduk sini?
Kataku, buat tanya-tanya dalam keadaan segan-segan malu.

Apa taknya Roy, ni tempat yang dah lama kau tinggalkan sejak kau kenal alam U ni. 
Aku ajak kau kat sini agar kita sama merebut malam 
yang lebih baik dari seribu bulan tapi apa yang kau nampak duit je.. 
Sedarlah, kita ni hamba dia Roy.

Aduh, rasa hari tu kalbuku (hati) betul-betul terpukul. 
Apa-apa pun terima kasih sahabatku kerana sudi membimbing diriku ini.

Di sepuluh malam yang terakhir hidayahmu datang menyapaku Ya Rabb. 
Engkau, bimbinglah diri ini yang serba kekurangan lagi hina.

n_n ramadan kareem