Wednesday, September 18, 2013

Ulama dan Profesional mereka adalah makhluk Allah

Isu yang tak pernah selesai dari dulu sampai sekarang, sehingga kadang-kadang menjadikan diri ini sudah muak dengan apa yang berlaku. Siapa yang mewujudkan perbalahan ini? Bagi aku yang memerhatikan kedua-dua keadaan ini tidak ada apa-apa pun sebenarnya melainkan satu pembodohan yang dirancang bagi melemahkan lagi gerakan jemaah islam ini.

Tetapi yang masalah kepada permasalah ini ialah mereka yang dengki dan hasad antara satu sama lain. Golongan yang sentiasa mencari peluang untuk mengapikan keadaan perlu dilihat dan diperhati dengan teliti, agar tidak termasuk ke dalam jerangkap samar yang dipasang.

Mereka yang bermasalah dengan golongan ulama' ini sentiasa mencari ruang-ruang untuk mewujudkan bibit pemusuhan dalam kalangan ulama dan profesional. Natijahnya, mereka yang tidak tahu menahu menjadi mangsa kuda tunggangan untuk menyemarakkan lagi api kedengkian ini.

Bila diperhati dalam kalangan ulama ini, mereka ini tidaklah seperti yang dikatakan. Bahkan bila bercakap penuh hikmat dan bijaksana dalam ucapannya. Malahan mereka cuba berikhtiar untuk merapatkan jurang yang terbina ini dek kerana kesalah fahaman yang dibuat mainan oleh sesetengah pihak.

Lalu apa peranan kita? Adakah untuk menyemarakkan lagi api yang sudah sekian lama marak ini. Tidak sama sekali tidak, peranan kita juga adalah sama iaitu menjadi perapat kepada kedua-dua golongan ini dan mengurangkan kesalah tanggapan terhadap apa yang berlaku.

Semoga selepas ini kita tidak lagi "share" sesuatu melalui apa-apa laman sosial jika kita tidak mengetahui pangkal baik buruk ceritanya. Kadang-kadang mereka yang share ni tidak tahu apa yang berlaku tetapi oleh kerana di dorong oleh fahaman taksub yang membabi buta kononnya atas nama ingin membela seseorang yang mereka kagumi menheret semakin ramai yang terperangkap dalam kebodohan ini.

Dan akhir kata bijaksanalah ketika jari-jari tangan sedang leka menari di atas papan-papan 'keyboard'. Agar perpecahan dapat dibendung, sepakatan dapat dibina.

Kejernihan air sungai

Tidak siapa tahu apa yang ditempuhnya suatu hari nanti tetapi setiap apa yang telah ditulis di luh mahfuz ini hanya tuhan yang esa yang maha mengetahui tiap-tiap sesuatu baik buruknya. Tak dapat dibayangkan bagaimana lumpur hitam yang terpalit pada pakaian pasti hilang apabila ia dibasuh dengan serbuk cucian yang terbaik, lalu mengalirlah air membawa kesan-kesan lumpur yang sudah tertanggal itu.

Setiap insan tidak pernah mendapat semua yang dikehendakinya di dunia ini. Tahu kenapa? Kerana Allah ingin melihat bagaimana setiap hambanya berdepan menghadapi setiap ujian dan cubaan yang dikenakan atas setiap hambaNya itu.

Disangka setiap ujian itu hanyalah berbentuk kesusahan tetapi siapa sangka bentuk kesenanganlah yang paling dasyhat sekali. Kerana kedamaian itu menjadikan kita semua leka sehingga terlena sehingga tidak sedar malapetaka kehancuran semakin hampir.

Sekali kita bangkit dari kejatuhan jangan pernah untuk jatuh lagi kerana sekali kita jatuh adalah amat sukar untuk kita bangkit kembali seperti mana saat pertama kita memulakannya.

Peliharalah dirimu dari larangan dan dosa kerana dibimbangi akan mengundang kemurkaan tuhanmu. Semua yang terhalang boleh jadi berpunca dari diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa maksiat sehinggakan menyebabkan hati ini mati.

Peliharalah ia kerana dikau tidak tahu bila dikau akan kembali kepadanya.

Sunday, May 26, 2013

Dari tulisan turun ke hati


Dari tulisan turun ke hati

tetapi mana mungkin ia akan turun ke hati jika penulisnya tiada ikhlas. Waspadalah wahai teman kerana syaitan tak pernah lekang dari dirimu. Boleh sahaja ketika engkau meng update status2 islamik, syaitan melemparkan panah-panah berbisanya pada hatimu. Nilailah kembali perbuatanmu itu adakah ia ikhlas kerana Allah atau semata-mata untuk melihat ramainya orang LIKE pada statusmu itu.

Mungkin kisah pendek ini boleh jadi pengajaran pada kita semua.

Ada satu kisah di mana seorang tuan guru bersama pemandunya turun dari rumah untuk pergi menyampaikan ilmu di sebuah tempat pengajian agama. Dalam perjalanan tersebut tiba-tiba tuan guru tadi memerintahkan pemandunya untuk balik semula ke rumah.

Setibanya di rumah tuan guru tadi masuk melalui pintu rumah dan berhenti di belakang pintu dan memusingkan badannya menghadap ke luar rumah. Tuan guru berdiam diri sejenak kemudian melangkah kakinya keluar dari rumah lalu masuk kembali kedalam kereta.

Tuan guru memerintahkan kembali si pemandu kereta untuk membawanya kembali ke tempat pengajian tadi. Si pemandu merasa hairan dengan sikap dan perangai yang ditunjukkan tuan guru tersebut lalu beliau bertanya kepada tuan guru akan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.

Kata tuan guru ketika dalam perjalanan yang pertama tadi datang satu perasaan ria' dalam hatinya lalu apabila dia sedar akan hal ini dia ingin balik semula ke rumah dan melangkah keluar dari rumah dengan niat yang ikhlas kerana Allah untuk menyampaikan agamaNya.

SubhanaAllah, lihatlah bagaimana seseorang itu sanggup mengulangi perjalanannya dari awal agar awal perjalanannya hingga akhirnya adalah semata-mata kerana Allah.

Semoga kisah pendek ini dapat mengoreksi balik diri kita sejauh mana perhubungan kita dengan Allah SWT selama ini. Adakah hati kita merasa sebegini??? Tak perlu jawab, tanyalah pada diri masing-masing.

Saturday, May 18, 2013

Edward B. Tylor dalam mendefinisikan agama

Rasanya belum ada lagi yang menulis pasal Edward B. Tylor ni. Jadi penulis tampil untuk menulis penulisan akademik dalam bentuk yang santai dan mudah difahami. Selepas dua hari membaca dengan tekun dan teliti, inilah yang dapat penulis temui dari seorang tokoh yang tidak asing di dunia barat sana. Suatu masa dahulu Beliau Sir. E. B. Tylor pernah menggemparkan dunia anthropology apabila beliau tampil dengan teori yang diasaskannya. Buku beliau yang rasanya belum ada yang diterjemahkan dalam bahasa melayu iaitu Animism dan the primitive culture cukup sinonim dengan dunia anthropologi.

Sesiapa yang mengaku terlibat dengan dunia anthropology tidak akan asing dari membaca bukunya, sekaligus menemui titik persamaan dan kritikan terhadap pandangan beliau sendiri.

Edward telah mendefinisikan agama sebagai the belief in spiritual being. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan spiritual being itu tidak pula dijelaskan oleh beliau. Tetapi apa yang pasti Edward cuba menyadarkan sesuatu titik permulaan agama itu dengan animisme kerana katanya setiap perkara yang berlaku di dunia ini mesti mempunyai kaitan dengan animisme.

Teori yang menjadi sandaran Edward

Metod yang diguna pakai hanya bersandarkan pada teori spekulative semata-mata. Teori spekulative tidaklah berdasarkan mana-mana kajian tetapi hanya berdasarkan pandangan yang dilihat oleh beliau dan disandarkan kepada logik semata-mata.

Edward juga turut sama terlibat dengan teori evolusi yang diasaskan oleh Darwin walaupun dalam beberapa perkara beliau tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh Darwin. Tetapi beliau cuba mengaitkan setiap evololusi itu mempunyai kaitan dengan primitive culture.

Kritikan terhadap Edward

Apa yang pasti mengenai idea yang dilantorkan oleh Edward ini dilihat terlalu primitif dan ke belakang. Hal ini disebabkan takrif sempit yang diberikan oleh Edward sendiri dalam meletakkan definisi terhadap agama itu. Ramai cendikiawan dari barat sekali pun melahirkan kritikan terhadap tulisan Taylor sendiri dalam bukunya berjudul 'Animism'.

Jika dilihat dari sudut pandang Islam sendiri sudah pasti ini jauh bertentangan dengan prisip al-Din dalam Islam itu sendiri.

Beberapa perkara yang dipersetujui

Tidak dapat tidak bukan semua perkara yang tertolak dari teori yang diasaskan oleh E.B.Taylor. Dalam keadaan ramai dikalangan para sarjana yang menolak perkara-perkara ghaib, Taylor tampil dengan mengentengahkan isu animism dalam masyarakat. Sekali gus membuktikan kepercayaan akan adanya alam ghaib di luar sana.

Akhir kata, ini hanyalah pandangan kerdil penulis terhadap Taylor kerana masih banyak kajian dan pembacaan perlu dilakukan jika kita hendak memperkatakan sesuatu hal terhadap seseorang itu. Moga penulisan ini sedikit sebanyak menjadi pembuka cerita terhadap siapa sebenarnya pelopor bidang Anthropology ini.

Segala kesilapan dan teguran serta kritikan amat dialu-alukan.

Wednesday, May 15, 2013

Manuskrip Melayu antara kebenaran dan penyelewengan sejarah

sejarah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita kerana ia mempunyai sisi pandang yang amat bermakna bagi menjadi persoalan kepada jawapan siapa diri kita dan dari mana kita datang. Melalui sejarah kita dapat mengenali tamadun yang telah dicipta oleh sesuatu manusia itu.

Keilmuan, senibudaya, ketamadunan yang dilangkarkan kalam, kemanakah ia?

Penulisan-penulisan yang mencatatkan peristiwa penting sejarah telah banyak hilang. Penulisan ini yang lebih sinonim dengan pamggilan manuskrip melayu lama, kebanyakan telah dibawa keluar dari negara kita.

Hari ini, negara-negara barat menyimpan segala hasil khazanah dan sejarah negara kita. Mereka yang telah menjajah kita suatu masa dahulu telah membawa keluar segala manuskrip yang menunjukkan sejarah peradaban melayu di alam melayu suatu masa dahulu. Di dalam manuskrip itulah yang menjelaskan siapa kita sebenarnya.

Segala-galanya telah dirompak keluar dan jika kita ingin membelinya sekalipun dengan harga yang sangat mahal mereka tidak akan menjualnya kerana bimbang kebenaran yang telah disembunyikan akan tersingkat. Jika dapat pun hanya cebisan manuskrip yang tidak mempunyai harga dan kepentingan pada mereka.

Penyelewengan sejarah tanah melayu oleh para penjajah barat.

Ada kata-kata yang mengatakan bahawa jika kamu mahu menawan sesuatu bangsa, maka dalamilah dahulu keilmuan mereka. Hari ini sudah terbukti apabila sejarah negara kita tidak dimiliki oleh kita malahan tersimpan kemas di perpustakaan luar negara antaranya perpustakaan British, Landon dan lain-lain.

Oleh itu, mereka amat jelas dengan perilaku dan tabiat orang melayu kerana mereka mengkaji manuskrip-manuskrip sejarah tanah melayu. Lalu apa jadinya pada kita kini ialah kita dihidangkan dengan sejarah yang telah diputar belitkan oleh tangan-tangan durjana agar bangsa ini tidak dapat melihat kebenaran yang hak.

Tambahan lagi bangsa yang menghuni nusantara tanah melayu ini telah menerima Islam sebagai pegangannya sejak sekian lamanya. Sudah tentu ini mengundang permusuhan antara agama. Justeru, kita memahami bahawa Islam tidak akan pernah suram dari dimusuhi dan diserang.

Kesedaran generasi hari ini untuk mengembalikan kembali sejarah negara amat wajar. Pembersihan sejarah tanah melayu dari penyelewengan sejarah perlu dilakukan. Seharusnya tindakan sewajarnya perlu dilakukan kerana kita tidak mahu lagi para pejuang tanah air kita yang kebanyakannya terdiri dari para ulama ditohmah sebagai pemberontak dalam buku teks sejarah dalam negara kita.

Masyarakat kita perlu disedarkan bahawa nadi keilmuan  pernah bertapak di negara kita suatu masa terdahulu adalah kerana jasa para ulama di nusantara tanah melayu.

Cukuplah kita telah diperbodohkan oleh sejarah yang diputarbelitkan ini. Kita seharusnya mencari dan berusaha menjaga manuskrip melayu yang masih tersisa dan memeliharanya. 

Serta dalam masa sama berusaha mencari dan mengumpulkan manuskrip lama yang masih ada dalam negara kita agar ia terus terpelihara untuk tatapan keilmuan generasi masa depan agar mereka tidak lagi diperbodohkan seperti generasi yang ada pada hari ini.

Sunday, March 31, 2013

Aku menulis untuk apa

Bila difikirkan balik untuk apa aku menulis selama ini, adakah semata-mata untuk meraih populariti atau glamor atau mungkin dengan pelbagai lagi niat. Mmm, terserah. Tetapi apa yang pasti setiap penulisan itu mesti ada tujuan dan matlamat yang jelas dan memudahkan para pembaca untuk menghadamnya. Mungkin sedikit muhasabah untuk penulis untuk merenungi sejauh mana hubungannya dengan Allah selama ini.

Bila melihat beberapa penulisan dari blog yang lain aku rasa perlu untuk aku memuhasabah bahan penulisanku yang selama ini aku coretkan di atas kertas maya ini. Bagi kalian semua yang pernah ikut blog kebenaran tersirat ini mungkin sedikit kecewa kerana bahan bacaannya yang berterabur dan tidak tersusun rapi.

InsyaAllah dalam masa yang terdekat ini aku akan baiki persembahanku ini agar memudahkan kalian untuk membacanya. Mungkin beberapa sisi perubahan yang perlu aku lakukan untuk menjadikan ia lebih mudah dan menarik untuk ditatapi.

Apa yan pasti pengklafikasian bahan bacaan perlu dilakukan. Untuk sementara ini beberapa domain penulisan yang aku akan fokuskan adalah isu semasa, dakwah, tarbiyah, cerpen islamik, pengalaman penulis, dan keluarga.

Semoga penulis dapat sajikan yang terbaik dari masa ke semasa kepada semua pembaca.

Friday, March 8, 2013

Lahad Datu bergolak

Beberapa hari lepas tidak semena-mena negeri Sabah iaitu negeri kelahiran ibuku bergolak. Peristiwa penyerangan tentera sulu keatas wilayah sabah itu menggemparkan seluruh negara kerana menyebabkan kematian beberapa orang anggota polis Malaysia.

Deretan dari peristiwa ini, askar di bawah Kementerian Pertahanan telah dikerah ke kawasan tersebut bagi mengawal keadaan.

Buat pertama kalinya Malaysia kembali berada dalam situasi peperangan setelah sekian lama menyepi darinya. Serangan ini benar-benar mengejutkan keseluruhan rakyat negara ini.

Bersatu adalah jalan yang terbaik buat masa ini bagi semua pihak di Malaysia kerana tidak kurang juga yang mempolitikkan isu ini demi meraih undi dari rakyat kerana dalam masa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sudah semakin begitu hampir menjelang.

Jalan yang terbaik bagi menyelesaikan tragedi ini perlu difikirkan kerana kedua-dua yang sedang berperang ini adalah dari umat Islam sendiri. Semoga perkara ini tidak merugikan umat Islam kelak kerana yang untungnya adalah pihak yang lain.