Tuesday, March 25, 2014

Di antara dua bentuk ujian

Bismillahirrahmanirahim, pemula bicara bagi selemah-lemah kejadian ini disisi-Nya.

Kesenangan dan kemewahan sesuatu yang amat diimpikan dan digemari oleh setiap insan yang bernama manusia ini. Manusia sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kesusahan dan kemiskinan. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja agar nikmat hidup ini dapat dimanfaatkan sebaik yang mungkin.

Kekadang bila iman tidak mengiringi maka kejahatan menjadi petunjuk jalan dalam kehidupan. Bisikan syaitan dan nafsu yang haloba tidak pernah lekang dari membisikkan bisikan yang mengarahkan kita keluar dari garisan fitrah perjalanan hidup.

Hanya atas nama mengerja keseronokkan hidup yang sementara dan bila-bila sahaja ia akan hancur musnah.

Nilai keimanan dalam mengharungi musibah

Sering kali kita melihat setiap bala', ujian, musibah itu sebagai sesuatu yang sangat menyedihkan dan kadang kala memberikan seribu perasaan yang menggugat diri ini. Ramai yang dapat menempuh kesenangan tetapi tak ramai yang dapat menempuh ujian saat ia datang menyapa. Sekali ia datang kita mula hilang arah tuju seakan-akan anak kapal yang kehilangan nakhoda kapalnya.

Lalu bagi yang lemah imannya maka sandaran kesalahan itu dilemparkan pada tuhanNya. Nauzubillah min zalik, agar kita dijauhkan oleh Allah daripada perkara-perkara sebegini. Nilai iman tidak dapat dibandingkan peri pentingnya bagi seorang manusia ini kerana ialah menjadi 'check balance' dan timbang tara bagi seseorang manusia itu kembali.

Sudut pandangan terhadap musibah yang menimpa itulah yang akan menentukan sama ada akan meningkat atau menurunnya darjat seorang hamba itu. Bagi seorang hamba yang melihatnya sebagai satu ujian dan peringatan Allah bagi dirinya, sudah pasti Allah akan mengangkat dirinya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

Peringatan didalam surah al-fatihah di dalam ayat 5 dan 6 mengajar ini semua kepada kita selaku hamba yang mudah terlupa. Allah telah menerangkannya. Ya, benar! Tetapi manusialah yang lupa saat musibah menjentik sedikit mereka mula hilang arah tuju, sedangkan tuhan mengajar mereka tatkala ditimpa kesusahan minta tolonglah dengan solat dan sabar.

Minta tolong dengan solat dan sabar? Datangnya ujian dan tatkala ditimpa musibah kita diminta untuk solat dan sabar. Macam pelik sahaja caranya bagi anak-anak muda yang hidup pada hari ini kerana mata mereka telah dibutakan dengan kebendaan materialistil dan segala-gala masalah yang datang hendaklah merujuk kepada perkara itu semua.

Sedihnya, akhirnya mereka hilang arah pertunjuk fitrah yang menjadi landasan mereka yang sebenar sejak asalnya.

Minta tolonglah dengan solat dan sabar adalah peringatan yang besar bagi mereka yang mengerti bahawa saat ini tuhan memerintahkan mereka untuk kembali kepada-Nya. Bukan hanya solat yang kosong dan tidak difahami tetapi lebih daripada itu makna hakikat pengertian sebuah solat itu sendiri. Inilah peringatan yang besar bagi semua hamba bahawa hendaklah mereka kembali kepada tuhannya saat ditimpa apa-apa sahaja masalah.

Di antara dua bentuk ujian

Ujian boleh datang dalam bentuk yang sangat kita gemari dan kita sangat benci. Mmm, ada juga ke ujian yang datang dalam bentuk yang disukai dan digemari? Tidak ramai yang tahu dan bertanya ujian kesenangan yang datang dan kadang-kadang lebih dashyat dan bahaya dari ujian musibah yang menimpa. Hal ini kerana ujian kesenangan amat sukar dikesan berbanding ujian musibah yang sangat mudah dirasai.

Teringat satu kata-kata dalam cerita "Sang Murabbi" ketika mana ustaz Rahmat bercerita kepada anak usrahnya, " Monyet ini saat dia memanjat pokok kelapa dan tatkala pokok kelapa itu menerima angin ribut yang kuat lalu apa yang monyet itu perbuat? Sudah pasti memeluk pokok kelapa itu dengan sekuat-kuatnya agar ia tidak bisa jatuh. Tetapi saat angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup, sudah pasti monyet tadi berasa nyaman dan selesa sehingga tidak sedar pelukannya semakin longgar dan kemudiannya...bumbbb! Jadi apa kesimpulannya, jangan jadi monyet".

Mudah dikenal dan mudah dihadapi berbanding tak mudah dikenal dan sukar dihadapi. Dua bentuk ujian yang sentiasa mengiringi kehidupan manusia kerana dunia ini adalah tempat ujian bagi yang bergelar mukmin.

Semoga Allah SWT mengurniakan pada kita selaku hambanya untuk tabah dan kuat menghadapi ujian-Nya ini kerana peringatan ini telah Allah SWT peringatkan hamba-Nya di dalam kitab Al-Qur'an," Bahawa adakah hanya cukup kamu mengatakan, kami telah beriman. Sedangkan belum datang lagi ujian keatas kamu".

Di antara ujian kesenangan dan ujian kesukaran inilah yang menyebabkan musuh-musuh Islam menukar strategi mereka untuk memusnahkan umat Islam ini. Mereka tahu apabila umat Islam diserang melalui perang, mereka pasti kalah. Tetapi berbeza pula bila umat Islam ini ditidurkan dan dibiarkan terus lena, nescaya raksasa yang sebesar mana sekali pun pasti boleh ditumbangkan. Inilah yang terjadi pada dunia Islam hari ini. Kita terus dibiarkan lena tanpa memperdulikan saudara-saudara Islam kita yang lain.

Ujian kesenangan inilah yang perlu kita sedari dan peka agar kita tidak terkeluar daripada garisan sunnah Allah yang telah ditetapkan ke atas kita semua. Semoga peringatan terhadap ujian kesenangan seiring dengan ujian kesusahan kerana ramai mampu berdepan dengan musibah saat ia datang tetapi berbeza pula dengan kesenangan merakamkan ramai yang kecundang saat ia baru sahaja menyapa.

Semoga kita semua terus dalam bimbingan dan hidayah petunjuk Allah SWT dalam meneruskan kehidupan seharian ini.

~Memaknakan sebuah kehidupan~

Sunday, March 23, 2014

Mungkin masanya belum tiba

Saat kita merasa bahawa kita belum mampu mengecapi apa yang diimpikan itu, sebenarnya itulah saat Allah mahu memberi kita lebih masa untuk mencapai impian yang sekian lama bermain di dalam mimpi malam yang indah. Tak disangka bahawa penantian itu satu yang memenatkan ditambah dengan seribu kepahitan mujahadah disepanjang laluan perjalanan denai kehidupan.

Kenapa aku tak sama dengan dia? Mungkin ini selalu bermain di dalam pemikiranmu tetapi jangan bersedih wahai diriku kerana tuhan tahu apa yang terbaik bagi dirimu. Buat apa engkau menduduki tampuk kemuliaan bila mana rebah menanti bila-bila sahaja untukmu.

Sesuatu itu ada tempoh dan masanya dan ketahuilah banyak yang perlu engkau dalami dan fahami kerana tidak berlalu setiap fasa kehidupan itu melainkan pasti tuhan sekalian alam menyediakan hikmat yang besar untuk dirimu. Cuma tinggal sahaja untuk engkau mengoreksinya kembali hikmah itu.

Andai engkau pasti ia adalah pilihan yang tepat maka lakukanlah ia dan jangan lupa akan nasihat mereka yang soleh dan berpengalaman dalam hidup ini. Hal ini kerana hidup kita ini adalah ulangan yang mana kesilapannya pernah dilakukan oleh mereka yang terdahulu. Andai bijak jadikanlah nasihat dan sejarah mereka sebagai pendoman dirimu untuk bangkit merentas samudera kehidupan ini.

Hidup ini satu perkara yang tak boleh engkau duga sama sekali. Mungkin hari ini, engkau impikan yang sebegini tetapi siapa sangka apa yang engkau impikan itu tidak seperti mana yang engkau harapkan.

Teringat daku kalam yang pernah dilemparkan oleh seorang guruku dalam satu ceramahnya kepada semua pelajar di sekolah. Kalam yang ringkas tetapi padat dan membawa seribu satu wawasan bagi mukmin yang bertakwa, "Jadilah mukmin yang bertakwa nescaya kalian tidak akan gelincir".

Inilah cita-cita yang harus disemat dalam diri anak-anak sekalian kerana apabila kita jadi apa sahaja esok hari cita-cita takwa itu takkan lari tetapi jika kita bercita-cita menjadi polis, doktor, engineering, bahawa cita-cita itu belum pasti akan kita perolehi.

Besar maksudnya kepada kita semua kerana kata ini ingin menanam di dalam sanubari kita nilai bertuhan itu satu perkara yang tak dapat dipisahkan didalam kehidupan ini. Hal ini kerana perkara inilah yang akan mengingatkan kita tatkala musibah dan ujian datang melanda, bahwa ini semua adalah milik Allah yang berkuasa untuk melakukan apa sahaja keatas hambaNya.

Andai ia kejayaan maka bersyukurlah, tetapi andai ia musibah, kekecewaan dan tidak seperti mana yang engkau impikan jangan mudah mengalah dan berputus asa. Boleh jadi tuhan lebih tahu apa yang terbaik bagi dirimu dan mungkin mahu menunjukkan kesilapannu yang menjadi asbab terhalangnya kejayaan itu.

Maka untuk meraih sesuatu janganlah pekerjaan ini dilakukan dengan gopoh gapah dan hendaklah diperhalusi dan dicermati jangan sampai lubang-lubang syaitan dan nafsu terbuka mengiringi pekerjaan kalian. Hal ini kerana saat itu kalian telah menempah satu kemurkaan yang besar dari tuhan pencipta alam.

Jalan mujahadah ini tidak pernah senang dan mudah kerana ia dibentangkan bagi orang-orang yang benar mencintai saat pertemuan dengan tuhanNya suatu hari nanti.

Akhir sekali jangan engkau kecewa jika masanya belum tiba untuk dirimu dan bergembiralah kerana engkau masih terus diberikan peluang untuk meningkatkan darjatmu dengan kepayahan yang engkau tempuhi nanti.

Wednesday, March 12, 2014

Anak bagaimanakah dirimu nanti kelak?

Anak yang soleh sudah pasti akan mendamaikan kedua-dua ibu bapanya. Ibu bapa mana yang tidak mahu anaknya berpelakuan soleh dan baik di hadapan mereka. Sudah pasti bagi mereka inilah harta yang paling berharga buat mereka. Bagi mereka cukuplah hanya dengan permata yang dianugerahi oleh Ilahi ini.

Tetapi persoalannya kenapa masih wujudnya anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan berpelakuan buruk pada mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa suatu masa dahulu siapakah yang telah membesarkan mereka sehingga boleh hidup sampai hari ini.

Lalu suara apakah yang akan keluar dari anak-anak tersebut? Kamu melihat kami dengan keadaan kami yang buruk ini tetapi tidakkah kamu memandang ibu bapa kami bagaimanakah ia telah membesarkan kami. Kami selalu mendengar ungkapan tarbiyyah dan pendidikan tetapi apakah itu semua!!! Tidak ada maknanya bila kedua-dua ibu bapa kami adalah orang sentiasa melakukan keburukan. Maka bagaimana acuannya begitulah kami kini.

Tidak kurang suara anak-anak yang berkata, walau macam mana buruk sekalipun kedua ibu bapaku mereka masih tetap ibu bapaku dan akan aku bawa mereka keluar daripada lorong-lorong gelap suatu hari nanti. Sesungguhnya aku mengharapkan bahawa aku akan menjadi anak-anak yang soleh sekaligus membawa rahmat tuhan pada mereka.

Ibu bapaku bodoh kerana segala keinginanku dituruti oleh mereka. Andai ia tidak dituruti pasti aku akan mengamuk dan sudah pasti mereka akan turuti jua. Walaupun kedua ibu bapaku orang yang baik dan sentiasa taat pada perintah tuhan tetapi kelemahan tarbiyah mereka telah mencampakkan aku kepada siapa aku hari ini.

Kesakitan dan keperitan yang dilalui hasil daripada tarbiyyah oleh kedua ibu bapaku telah menjadikan aku seorang manusia yang kenal erti tuhan. Ayahku seorang yang garang, andai dia tahu anak-anaknya tidak sembahyang pasti kami akan dinasihati jika malas maka libasan rotan akan hinggap di kaki. Ketegasan mereka ketika kami masih rebun telah membina kami menjadi pokok yang teguh dengan akar yang takkan berubah.

Ibu bapa yang baik dan anak-anak yang baik mungkin ada yang merasai nikmat kurnian Allah ini. Bagi mereka mungkin ini satu kurnian daripada Allah kepada mereka dengan kehadiran anak-anak yang soleh dan menyenangkan mata mereka. Anak-anak tidak perlu disuruh tetapi andai melihat sahaja diperbuatnya kerana merasakan bahawa itu adalah tanggungjawab mereka. Mungkin inilah yang selalu di sebut orang sebagai dari keturunan yang baik, lalu oleh sebab mereka menjaga diri mereka maka Allah mengurniakan mereka pula dari baka yang baik dan soleh.

Itulah keluarga-keluarga yang ada dan mungkin pelbagai lagi karenah-karenah keluarga yang tak sempat penulis sertakan di sini tetapi apa yang pasti bila di tanya pada sesiapa sahaja, pasti mereka inginkan ANAK YANG SOLEH dalam hidup mereka.

Apa yang pasti tarbiyyah Islami tidak dapat ditinggalkan kerana ia adalah satu kompenan yang penting dalam pendidikan generasi Islam pada masa akan datang. InsyaAllah, inilah jalan yang telah ditinggalkan, cuma apa yang perlu bagi kita adalah untuk melalui jalan itu kembali.


Monday, February 10, 2014

Demi memulakan perjalanan tidak perlu menunggu engkau sempurna

Apa-apa perjalanan yang kita tempuhi sekali pun bukan bermula dalam keadaan kita mempunyai segala kelengkapan. Ada masa tetap disitu masih ada kekurangan yang perlu dibaiki. Ada manusia memerlukan dan berhajat kepada manusia lain untuk melepaskan diri dari kemelut yang mereka alami. Hal ini kerana mereka tidak mempunyai kelebihan dan kemahiran untuk menyelesaikannya melainkan perlukan kepada bantuan orang lain.

Melihat kepada proses kejadian manusia itu sendiri, kita dapat memerhatikan bagaimana dalam keadaan bayi lagi kita dalam keadaan yang sangat lemah dari segala segi, sama ada jasad atau pun pemikiran. Mereka mengambil masa untuk membesar dan memperolehi tubuh badan yang kuat serta dalam masa sama membina daya pemikiran mereka.

Sesuatu bangunan itu sendiri tidak terbina dengan tersendirinya, melainkan perlu  didirikan dahulu cerucuknya bagi menjadi asas kepada pembinaan sang pengcakar langit. Jika cerucuk itu tidak di letakkan di tempat pembinaan tersebut mana mungkin bangunan yang tersenggam indah itu dapat terpacak di atas muka bumi ini. Boleh sahaja ia terpacak hari ini jika tanpa asas yang kukuh tapi siapa tahu nasibnya esok hari. Masihkah ia di tempat itu.

Setiap perjalanan yang dilalui itu pasti mempunyai kesinabungan dengan apa yang telah kita lalui pada masa yang lepas. Siapa kita hari ini adalah siapa kita pada masa yang lepas. Apa yang penulis ingin gambarkan disini bagaimana diri setiap orang yang “ZERO” keadaannya tetapi menjadi “HERO” di akhirnya. Hal ini pasti banyak berlaku kepada mereka yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam meraih sesuatu kejayaan demi masa depan yang lebih baik dan terjamin.

Berbalik kepada apa yang ingin diperkataakan disini tidak semestinya seseorang itu perlu berada dalam keadaan “perfect” atau sempurna untuk melakukan setiap pekerjaan itu. Tetapi apa yang penting belajarlah dari keadaan tersebut dan jangan membiarkan dirimu masih tetap di tangkup yang lama.

Mereka yang berani menghadapi kegagalan dan terus berubah untuk memastikan agar kegagalan itu tidak lagi berulang dalam hidupnya, adalah orang yang “success”. Inilah yang kita mahukan tetapi amat dukacita dan mengecewakan apabila mereka yang gagal dan tahu yang mereka sedang gagal tidak pernah mengambil peluang itu untuk menebus kegagalan. Bahkan mereka pula seringkali mengulang kegagalan ini.

Semoga kita dijauhkan daripada golongan yang tidak pernah mengambil pelajaran dan iktibar daripada hidup. Perjalanan yang kita lalui pada hari ini adalah untuk menuju hari esok kita. Laluan yang semalam sudah ditinggalkan dan cuma hanya yang tinggal adalah sejarah buat untuk dimanfaatkan atau ditinggalkan menyepi begitu sahaja.

Laluan hari ini perlu diteruskan dan dirancang dengan bijaksana agar kesilapan hari semalam tidak lagi terulang untuk hari ini. Hidup dengan perancangan dan aturan yang bijaksana akan menatijahkan kecemerlangan serta kegemilangan yang akan digapai hari esok.


Tiap-tiap perjalanan itu pasti ada permulaan dan pengakhirannya, dan bagaimana pengankhiran itu adalah bagaimana kita memulakan perjalanan tersebut.

Monday, January 6, 2014

"2014" ke arah manakah aku akan melangkah selepas ini?

Merenung dan berfikir sejenak 2013 yang telah semalam selamat meninggalkanku dengan damai dan amannya sebuah negara yang bernama Malaysia ini membuatkanku bermuhasabah dalam diriku ini. Adakah pencapaian yang aku lakukan ini sudah cukup memuaskan bagi diriku ini? Cukupkah ia? Pertanyaan demi pertanyaan ini ku lantorkan pada diri yang serba dhoif ini.

Mengimbau kembali kenangan memori lama di bangku sekolah pada satu ketika dahulu, diriku ini yang acap kali berpesan dan mengingatkan adik-adik agar setiap ilmu yang dipelajari itu mestilah didasari dengan niat pada Allah. Lakukanlah ia sehabis baik dan bersungguh-sungguh agar mereka akan memandang gah kita ini suatu hari nanti dan kita boleh mendabik dada bahawa kejayaan dan kemuliaan ini adalah dari Islam.

Kini aku berasa sedikit malu terhadap diri sendiri melihatkan pencapaian yang tidak seberapa dan tidak kemana. Kadang-kadang seakan suara lama itu datang mengingatkanku dimanakah keazamanmu itu satu ketika dahulu. Adakah keazaman dan kepetahanmu itu pada masa itu di pentas ceramah atau kuliyah untuk menunjukkan kehebatanmu??? Satu suara seakan-akan datang mengejek dan memerliku dek kerana keampuhan semangatku masa kini.

Kesilapan demi kesilapan terus berulang tanpa mengenal erti henti. Sedangkan kata-kata yang menyebutkan bahawa umat islam tidak mungkin akan terjerat sebanyak dua kali. Andai beliau melakukan kesilapan pasti cepat-cepatmereka memperbaikinya kerana mengetahui begitu berharganya masa mereka untuk Islam.

Bagiku pula perangkap itu sudah menjadi asam garam dalam kehidupanku ini. Mungkinkah, mungkinkah aku bisa mengubah kembali kebiasaan durjana yang merugikan kehidupan yang bergelar MUSLIM ini.

Bagaimana untuk melangkau kepada muhsin sedangkan mukminnya lagi belum disinggahi, itukan pula ditambah dengan kegoyahan seorang muslim itu. Perubahan itu sangat pahit kerana akhirnya sangat manis. Soal tetapi perlu ditinggalkan dan perlu dibuang jauh-jauh dari kamus hidup. Kerana hal inilah yang menyebabkan kenapa kita sering kali beralasan dalam hidup, menangguh suatu pekerjaan, dan seribu alasan lagi yang natijah sebenarnya adalah kerugian bagi umat ini.

Aku tidak bimbang jika usaha yang perih dan jerih mengiringi perjuanganmu dan hasilnya tidak ke mana tetapi yang ku bimbangkan hasilnya entah ke mana, usahanya entah ke mana.

Generasi tertekan mempunyai asbab dan naluri yang kuat untuk meneruskan hidup ini. Adakah sampai datangnya peperangan, kekejaman, penindasan, baru mungkin nikmat ini dirasa sangat berharga. Dimanakah nilai itu, nilai kalian sebagai seorang muslim itu.

Di manakah seharusnya kalian letakkan diri kalian? Cukupkah pencapaian ini? Wang rakyat mengiringinya sedangkan hasilnnya biasa sahaja. Adakah ingin disalahkan sistem pendidikan, orang disekeliling, atau seribu macam alasan ingin dibina diatas kegagalanmu hari ini. Cukuplah beralasan!!!

Pandanglah kehadapan dan jangan sekali mundur kebelakang. Andai saat ini dirimu mundur maka cepat-cepatlah memaut dahan agar engkau punya tempat untuk berpaut. Panjatlah kembali pokok itu agar engkau bisa sampai ke puncaknya dan melihat langit yang terselindung di sebalik tutupan daun-daun.


Friday, November 15, 2013

Usrah kehidupan: Di Lebatan Malam

Seusai tugas seharian, aku menjalani rutin harian seperti biasa di rumah bujangku. Kehidupan siang harinya sebagai penuntut ilmu tidak melupakan siapa aku sebagai seorang yang mesti punya tanggungjawab terhadap masyarakat. Ya, ilmu dituju tetapi dalam masa sama tugas sebagai sang pencerah tidak dilupakan.

Menemani teman yang setia berbuka puasa pada 10 muharam sempat membuka beberapa kisah kehidupan. Inilah yang dikatakan alam yang ditempuhi kini perlu sentiasa realiti agar kita sentiasa sedar bahawa kembali kelak, alam inilah yang menjadi kayu ukur berjaya atau gagal di alam seterusnya. Kadang-kadang bila kita berjumpa dan berbincang bersama sahabat kita, pasti kita akan temui beberapa perkara yang tak tersangka oleh pemikiran kita. Melihatnya dari luaran siapa sangka bagaimana dalamannya bermonolog. Oleh itu, disinilah peranan sahabat dalam memandu sahabatnya.

Melihat malam yang menunggu masa kehadiran hujan rahmat untuk membasahi bumi ilahi ini, diri termenung seketika sehingga disapa oleh seorang sahabat yang mengajakku dan teman serumahku untuk menjalankan beberapa aktiviti pada malam itu. Syah mengajak aku dan teman serumahku Fikri untuk menampal dan menggantung banner sempena program bicara ekonomi pasca 2014. Bagiku ini satu program yang bagus dan memberikan kesedaran terhadap masyarakat akan apa hak-hak mereka yang perlu mereka ketahui.

Dengan menaiki sebuah kereta kami bergerak ke Seremban dalam kerintikan hujan di malam hari. Setibanya di sana kami bergabung dengan dua orang lagi sahabat kami iaitu abang Rash dan abang Hal. Dengan abang Rash  sebagai master mind untuk operasi malam itu kami bergerak ke tempat-tempat tertentu untuk menggantung banner dan menampal poster pada malam itu.

Baru satu banner digantung dan hujan makin lebat sehingga kami terpaksa menangguh program kami di sebuah kedai makan di waktu dinihari ketika itu. Supper yang sepatutnya di waktu akhir diawalkan dek kerana menunggu hujan reda sedikit. Mmm, apa lagi aku dan saiful terus memesan "lamb chop" untuk hidangan "supper" kami pada malam itu. Hehehe, malu pua ada sebab melihat teman-teman yang lain hanya memesan hidangan yang biasa sahaja. Mataku terkebil-kebil keseorangan melihat orang didepan, kiri, dan terutamanya di kananku pada waktu itu.

Terasa bersalah juga pada waktu itu tetapi apakan daya "supper" kami pada malam itu ditanggung oleh seseorang. Huhuhu, balasannya aku tidak dapat makan "lamb chop" itu kerana tidak dapat diserasikan di dalam mulutku ini.Apa-apa pun terima kasih kepada yang sudi membelanja kami pada malam itu.

Sambil menikmati makan pada malam itu sempat kami berlima berbincang dan berdiskusi ringkas pada malam itu sebelum bergerak menyesalkan tugas kami yang sebelum ini tertangguh. Kami kembali menyesalkan tugas kami pada malam itu dalam keadaan hujan yang masih tetap turun menyimbah bumi ini. Walau apa sekali pun tugas mesti diselesaikan pada malam ini juga, kami bergegas ke tempat lokasi yang telah ditetapkan untuk menampal poster dan menggantung banner program.

Dalam hati, timbul rasa kekaguman terhadap jiwa-jiwa pemuda yang ada di sekelilingku ini. Mereka bukanlah pemuda yang hanya meletakkan setiap perkataan yang keluar dari mulut-mulut mereka tetapi setiap kata-kata mereka itu diletakkan pada tindakan mereka untuk menatijahkan keizzahan Islam itu, seakan-akan alam memahami tindakan kami pada malam itu dan turut serta menyimbahi bumi dengan hujan rahmat bagi melihat kehijauan alam ini terus berlansung.

Alhamdulillah, akhirnya selesainya tugas kami pada malam itu dan berakhir pada pukul 3.30 pagi dan kami terus pulang ke rumah masing-masing. Ketika didalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah, aku melihat sahabatku yang di depan sudah ketiduran dan sahabatku yang seorang lagi masih memandu kereta mencari skill-skill baru pemanduan. Dalam hatiku terdetik kata-kata, "keletihan kalian semua pada hari ini demi umat, alangkah bangganya dan kagumnya aku kerana dapat bersama merintis perjalanan ini bersama kalian".

Thursday, November 14, 2013

Perjalanan kemarin untuk hari ini

Hari semalam

Tidak semua sedar bahawa apa yang telah ia lalui semalam adalah menentukan siapa mereka di kemudian hari. Bukan semua perjalan yang dirancang itu berjalan seperti apa yang dirancang, ada kalanya keenakan dan keselesaan yang diimpikan itu tidak seperti yang dihajati. Tetapi sedarlah kita semua, bahawa peribadi orang-orang yang namanya gah pada hari ini, sudah sepastinya kita akan mendapati setiap ayunan langkah kaki mereka pernuh dengan cabaran dan ujian yang mendatang. Ya, mereka juga macam kita merancang tetapi persediaan untuk menghadapi perancangan itulah yang meletakkan kelebihan kepada mereka. Justeru, persoalan itu berbalik kepada kita,pernahkah kita selepas merancang sesuatu memikirkan pula bagaimana untuk menghadapi perancangan itu?

Tidak ramai yang berjaya dengan mudah. Jika ada mungkin itu rezeki dan anugerah yang diberikan pada mereka. Sebaliknya kebanyakkan dari rata-rata mereka yang berjaya pasti melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan mereka dan hasilnya itulah mereka yang berdiri pada hari ini.

Sebut soal usaha, dari mana kemahuan itu datang

Persoalan usaha dan kemahuan, inilah yang akan menatijahkan sama ada diri istiqomah atau tidak ke arah matlamat yang ingin dicapai. Mudah, tidak! Ia tidak semudah itu.

Usaha ini bertitik tolak dari kemahuan yang kuat yang lahir dari hati. Apa yang mendorong kemahuan tersebut sehingga menatijahkan tindakan usaha untuk mencapai apa yang dihajati. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai kemahuan yang berpasak atau dipasak sehingga diterjemahkan sebagai satu keazaman yang bersimpul kukuh didalam hati untuk mencapai apa yang dihajati.

Adakah kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati? Ya, sudah tentu kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati jika ia diletakkan sebagai angan-angan kosong tetapi sebaliknya pasti berlaku jika kuasa dari kemahuan itu ditukar kepada kuasa keazaman untuk menggerakkan gear-gear usaha. Hal ini demikian kerana dari keazaman inilah yang sebenarnya akan diikuti pula oleh tindakan untuk mencapai matlamat yang diingini, sama ada matlamat jangka pendek atau panjang.

Dari kaca mata Islam

Soal hari semalam, hari ini dan masa hadapan, selalu dipandang serius oleh agama ini. Hal ini kerana Islam melihat tiga tempo masa ini saling berkait dalam kehidupan seorang individu muslim itu. Bukan itu sahaja, malah dari ketiga-tiga bahagian masa ini akan menterjemahkan jatuh bangun kehidupan umat itu sendiri. Lihat sahajalah bagaimana kombinasi dari tiga masa ini tidak pernah diabaikan dan disisihkan dari penceritaan di dalam al-Quran. Persoalannya, kenapa tiga masa ini diberi penekanan sebegitu rupa? Hal ini bertujuan umat manusia khususnya muslim sentiasa belajar dari kesilapan dan kejayaan umat-umat terdahulu untuk dibawa di dalam kehidupan mereka sehari-harian.

Hadis baginda Rasulullah saw ini yang tidak asing bagi kita ini berkenaan seseorang yang mana sabda baginda jika di tangan kamu mempunyai sebiji dari biji tamar dan pada masa sama kiamat terlalu hampir dengan dirimu, jika sempat kamu menanamnya maka tanamlah biji tamar tersebut. Dari hadis ini dapat kita mengambil pengajaran supaya sentiasa melihat kehadapan dan tidak mudah memandang kebelakang kerana inilah ciri kemuliaan seorang muslim. Moving Forward.

Seharusnya kesedaran ini digerakkan bagi menggerakkan umat Islam yang masih lena dari tanggungjawab mereka. Supaya dengan ini mereka sedar akan peranan hidup mereka dan sekaligus bagaimana memperanankan kembali peranan hidup mereka sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Semoga hadis ini mengingatkan kembali urusan yang belum kita selesaikan di atas muka bumi ini, "tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinan kamu".

Masa sebagai teman dan juga mungkin sebagai musuh dan pada saat itu, waspadalah!!!