Monday, January 6, 2014

"2014" ke arah manakah aku akan melangkah selepas ini?

Merenung dan berfikir sejenak 2013 yang telah semalam selamat meninggalkanku dengan damai dan amannya sebuah negara yang bernama Malaysia ini membuatkanku bermuhasabah dalam diriku ini. Adakah pencapaian yang aku lakukan ini sudah cukup memuaskan bagi diriku ini? Cukupkah ia? Pertanyaan demi pertanyaan ini ku lantorkan pada diri yang serba dhoif ini.

Mengimbau kembali kenangan memori lama di bangku sekolah pada satu ketika dahulu, diriku ini yang acap kali berpesan dan mengingatkan adik-adik agar setiap ilmu yang dipelajari itu mestilah didasari dengan niat pada Allah. Lakukanlah ia sehabis baik dan bersungguh-sungguh agar mereka akan memandang gah kita ini suatu hari nanti dan kita boleh mendabik dada bahawa kejayaan dan kemuliaan ini adalah dari Islam.

Kini aku berasa sedikit malu terhadap diri sendiri melihatkan pencapaian yang tidak seberapa dan tidak kemana. Kadang-kadang seakan suara lama itu datang mengingatkanku dimanakah keazamanmu itu satu ketika dahulu. Adakah keazaman dan kepetahanmu itu pada masa itu di pentas ceramah atau kuliyah untuk menunjukkan kehebatanmu??? Satu suara seakan-akan datang mengejek dan memerliku dek kerana keampuhan semangatku masa kini.

Kesilapan demi kesilapan terus berulang tanpa mengenal erti henti. Sedangkan kata-kata yang menyebutkan bahawa umat islam tidak mungkin akan terjerat sebanyak dua kali. Andai beliau melakukan kesilapan pasti cepat-cepatmereka memperbaikinya kerana mengetahui begitu berharganya masa mereka untuk Islam.

Bagiku pula perangkap itu sudah menjadi asam garam dalam kehidupanku ini. Mungkinkah, mungkinkah aku bisa mengubah kembali kebiasaan durjana yang merugikan kehidupan yang bergelar MUSLIM ini.

Bagaimana untuk melangkau kepada muhsin sedangkan mukminnya lagi belum disinggahi, itukan pula ditambah dengan kegoyahan seorang muslim itu. Perubahan itu sangat pahit kerana akhirnya sangat manis. Soal tetapi perlu ditinggalkan dan perlu dibuang jauh-jauh dari kamus hidup. Kerana hal inilah yang menyebabkan kenapa kita sering kali beralasan dalam hidup, menangguh suatu pekerjaan, dan seribu alasan lagi yang natijah sebenarnya adalah kerugian bagi umat ini.

Aku tidak bimbang jika usaha yang perih dan jerih mengiringi perjuanganmu dan hasilnya tidak ke mana tetapi yang ku bimbangkan hasilnya entah ke mana, usahanya entah ke mana.

Generasi tertekan mempunyai asbab dan naluri yang kuat untuk meneruskan hidup ini. Adakah sampai datangnya peperangan, kekejaman, penindasan, baru mungkin nikmat ini dirasa sangat berharga. Dimanakah nilai itu, nilai kalian sebagai seorang muslim itu.

Di manakah seharusnya kalian letakkan diri kalian? Cukupkah pencapaian ini? Wang rakyat mengiringinya sedangkan hasilnnya biasa sahaja. Adakah ingin disalahkan sistem pendidikan, orang disekeliling, atau seribu macam alasan ingin dibina diatas kegagalanmu hari ini. Cukuplah beralasan!!!

Pandanglah kehadapan dan jangan sekali mundur kebelakang. Andai saat ini dirimu mundur maka cepat-cepatlah memaut dahan agar engkau punya tempat untuk berpaut. Panjatlah kembali pokok itu agar engkau bisa sampai ke puncaknya dan melihat langit yang terselindung di sebalik tutupan daun-daun.


Friday, November 15, 2013

Usrah kehidupan: Di Lebatan Malam

Seusai tugas seharian, aku menjalani rutin harian seperti biasa di rumah bujangku. Kehidupan siang harinya sebagai penuntut ilmu tidak melupakan siapa aku sebagai seorang yang mesti punya tanggungjawab terhadap masyarakat. Ya, ilmu dituju tetapi dalam masa sama tugas sebagai sang pencerah tidak dilupakan.

Menemani teman yang setia berbuka puasa pada 10 muharam sempat membuka beberapa kisah kehidupan. Inilah yang dikatakan alam yang ditempuhi kini perlu sentiasa realiti agar kita sentiasa sedar bahawa kembali kelak, alam inilah yang menjadi kayu ukur berjaya atau gagal di alam seterusnya. Kadang-kadang bila kita berjumpa dan berbincang bersama sahabat kita, pasti kita akan temui beberapa perkara yang tak tersangka oleh pemikiran kita. Melihatnya dari luaran siapa sangka bagaimana dalamannya bermonolog. Oleh itu, disinilah peranan sahabat dalam memandu sahabatnya.

Melihat malam yang menunggu masa kehadiran hujan rahmat untuk membasahi bumi ilahi ini, diri termenung seketika sehingga disapa oleh seorang sahabat yang mengajakku dan teman serumahku untuk menjalankan beberapa aktiviti pada malam itu. Syah mengajak aku dan teman serumahku Fikri untuk menampal dan menggantung banner sempena program bicara ekonomi pasca 2014. Bagiku ini satu program yang bagus dan memberikan kesedaran terhadap masyarakat akan apa hak-hak mereka yang perlu mereka ketahui.

Dengan menaiki sebuah kereta kami bergerak ke Seremban dalam kerintikan hujan di malam hari. Setibanya di sana kami bergabung dengan dua orang lagi sahabat kami iaitu abang Rash dan abang Hal. Dengan abang Rash  sebagai master mind untuk operasi malam itu kami bergerak ke tempat-tempat tertentu untuk menggantung banner dan menampal poster pada malam itu.

Baru satu banner digantung dan hujan makin lebat sehingga kami terpaksa menangguh program kami di sebuah kedai makan di waktu dinihari ketika itu. Supper yang sepatutnya di waktu akhir diawalkan dek kerana menunggu hujan reda sedikit. Mmm, apa lagi aku dan saiful terus memesan "lamb chop" untuk hidangan "supper" kami pada malam itu. Hehehe, malu pua ada sebab melihat teman-teman yang lain hanya memesan hidangan yang biasa sahaja. Mataku terkebil-kebil keseorangan melihat orang didepan, kiri, dan terutamanya di kananku pada waktu itu.

Terasa bersalah juga pada waktu itu tetapi apakan daya "supper" kami pada malam itu ditanggung oleh seseorang. Huhuhu, balasannya aku tidak dapat makan "lamb chop" itu kerana tidak dapat diserasikan di dalam mulutku ini.Apa-apa pun terima kasih kepada yang sudi membelanja kami pada malam itu.

Sambil menikmati makan pada malam itu sempat kami berlima berbincang dan berdiskusi ringkas pada malam itu sebelum bergerak menyesalkan tugas kami yang sebelum ini tertangguh. Kami kembali menyesalkan tugas kami pada malam itu dalam keadaan hujan yang masih tetap turun menyimbah bumi ini. Walau apa sekali pun tugas mesti diselesaikan pada malam ini juga, kami bergegas ke tempat lokasi yang telah ditetapkan untuk menampal poster dan menggantung banner program.

Dalam hati, timbul rasa kekaguman terhadap jiwa-jiwa pemuda yang ada di sekelilingku ini. Mereka bukanlah pemuda yang hanya meletakkan setiap perkataan yang keluar dari mulut-mulut mereka tetapi setiap kata-kata mereka itu diletakkan pada tindakan mereka untuk menatijahkan keizzahan Islam itu, seakan-akan alam memahami tindakan kami pada malam itu dan turut serta menyimbahi bumi dengan hujan rahmat bagi melihat kehijauan alam ini terus berlansung.

Alhamdulillah, akhirnya selesainya tugas kami pada malam itu dan berakhir pada pukul 3.30 pagi dan kami terus pulang ke rumah masing-masing. Ketika didalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah, aku melihat sahabatku yang di depan sudah ketiduran dan sahabatku yang seorang lagi masih memandu kereta mencari skill-skill baru pemanduan. Dalam hatiku terdetik kata-kata, "keletihan kalian semua pada hari ini demi umat, alangkah bangganya dan kagumnya aku kerana dapat bersama merintis perjalanan ini bersama kalian".

Thursday, November 14, 2013

Perjalanan kemarin untuk hari ini

Hari semalam

Tidak semua sedar bahawa apa yang telah ia lalui semalam adalah menentukan siapa mereka di kemudian hari. Bukan semua perjalan yang dirancang itu berjalan seperti apa yang dirancang, ada kalanya keenakan dan keselesaan yang diimpikan itu tidak seperti yang dihajati. Tetapi sedarlah kita semua, bahawa peribadi orang-orang yang namanya gah pada hari ini, sudah sepastinya kita akan mendapati setiap ayunan langkah kaki mereka pernuh dengan cabaran dan ujian yang mendatang. Ya, mereka juga macam kita merancang tetapi persediaan untuk menghadapi perancangan itulah yang meletakkan kelebihan kepada mereka. Justeru, persoalan itu berbalik kepada kita,pernahkah kita selepas merancang sesuatu memikirkan pula bagaimana untuk menghadapi perancangan itu?

Tidak ramai yang berjaya dengan mudah. Jika ada mungkin itu rezeki dan anugerah yang diberikan pada mereka. Sebaliknya kebanyakkan dari rata-rata mereka yang berjaya pasti melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan mereka dan hasilnya itulah mereka yang berdiri pada hari ini.

Sebut soal usaha, dari mana kemahuan itu datang

Persoalan usaha dan kemahuan, inilah yang akan menatijahkan sama ada diri istiqomah atau tidak ke arah matlamat yang ingin dicapai. Mudah, tidak! Ia tidak semudah itu.

Usaha ini bertitik tolak dari kemahuan yang kuat yang lahir dari hati. Apa yang mendorong kemahuan tersebut sehingga menatijahkan tindakan usaha untuk mencapai apa yang dihajati. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai kemahuan yang berpasak atau dipasak sehingga diterjemahkan sebagai satu keazaman yang bersimpul kukuh didalam hati untuk mencapai apa yang dihajati.

Adakah kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati? Ya, sudah tentu kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati jika ia diletakkan sebagai angan-angan kosong tetapi sebaliknya pasti berlaku jika kuasa dari kemahuan itu ditukar kepada kuasa keazaman untuk menggerakkan gear-gear usaha. Hal ini demikian kerana dari keazaman inilah yang sebenarnya akan diikuti pula oleh tindakan untuk mencapai matlamat yang diingini, sama ada matlamat jangka pendek atau panjang.

Dari kaca mata Islam

Soal hari semalam, hari ini dan masa hadapan, selalu dipandang serius oleh agama ini. Hal ini kerana Islam melihat tiga tempo masa ini saling berkait dalam kehidupan seorang individu muslim itu. Bukan itu sahaja, malah dari ketiga-tiga bahagian masa ini akan menterjemahkan jatuh bangun kehidupan umat itu sendiri. Lihat sahajalah bagaimana kombinasi dari tiga masa ini tidak pernah diabaikan dan disisihkan dari penceritaan di dalam al-Quran. Persoalannya, kenapa tiga masa ini diberi penekanan sebegitu rupa? Hal ini bertujuan umat manusia khususnya muslim sentiasa belajar dari kesilapan dan kejayaan umat-umat terdahulu untuk dibawa di dalam kehidupan mereka sehari-harian.

Hadis baginda Rasulullah saw ini yang tidak asing bagi kita ini berkenaan seseorang yang mana sabda baginda jika di tangan kamu mempunyai sebiji dari biji tamar dan pada masa sama kiamat terlalu hampir dengan dirimu, jika sempat kamu menanamnya maka tanamlah biji tamar tersebut. Dari hadis ini dapat kita mengambil pengajaran supaya sentiasa melihat kehadapan dan tidak mudah memandang kebelakang kerana inilah ciri kemuliaan seorang muslim. Moving Forward.

Seharusnya kesedaran ini digerakkan bagi menggerakkan umat Islam yang masih lena dari tanggungjawab mereka. Supaya dengan ini mereka sedar akan peranan hidup mereka dan sekaligus bagaimana memperanankan kembali peranan hidup mereka sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Semoga hadis ini mengingatkan kembali urusan yang belum kita selesaikan di atas muka bumi ini, "tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinan kamu".

Masa sebagai teman dan juga mungkin sebagai musuh dan pada saat itu, waspadalah!!!

Thursday, October 3, 2013

Seputar wacana anak muda

Wacana anak muda yang dianjurkan oleh NGo semalam sangat mengujakan dan menarik minat penulis untuk memberikan sedikit pandangan dan komentar persendirian. Sebelum itu penulis memberikan kredit kepada mereka yang berusaha menganjurkan program sebegini. Wacana yang diberi tajuk "Survival PAS dalam arena politik Malaysia" merupakan satu wacana yang menarik yang menggunakan satu kaedah dan metod sangat membantu dalam membenihkan lagi pencambahan pemikiran dewasa ini melalui soal jawab peserta dan ahli panel.


Beberapa pandangan penulis terhadap wacana anak muda

Penulis cuba bersikap objektif dalam setiap perkara sehinggalah walau siapa pun yang mengadakan program penulis akan cuba melibatkan diri tidak kiralah ia adalah program yang dianjurkan oleh ulama', pemuda, dan profesional. Bagi penulis sikap sebeginilah yang akan menjanjikan keterbukaan dan bukan hanya duduk dan membela sesetengah pihak sahaja.

Minda terjajah sudah tidak relevan lagi pada pandangan penulis pada hari ini. Apa yang penulis maksudkan dengan minda terjajah ini ialah tanpa mengkaji dan meneliti terhadap sesuatu perkara dan tambah buruk lagi jika ia dibina atas dasar fanatik dan taksub. Lalu disini penulis ingin bertanya dimanakah sifat keterbukaan disitu jika itulah yang menjadi landasan pemikiran.

Masyarakat yang bebas mengakses pelbagai maklumat hari ini tidak boleh disekat dan dihalang pemikirannya. Tetapi perlulah disediakan satu ruang bagi memberi mereka peluang untuk mengatur bicara peluang bagi menyatakan segala pandangan dan kritikan mereka. Bukan itu sahaja malah pengurusan pemikiran yang pelbagai ini perlu dilakukan dengan bijaksana agar dapat meraihkan pelbagai cabang pemikiran yang ada.

Penulis melihat bagaimana budaya mengkritisi sesuatu wujud dari wacana anak muda yang diadakan ini. Pandangan serta candangan dan tak dilupakan kritikan datang dari pelbagai pihak yang terdiri dari pelbagai jalur pemikiran dan tidak kurang juga dari Non-muslim.

Wacana yang diadakan ini telah memberikan satu ruang yang sangat didahagakan oleh orang muda sejak sekian lama. Hal ini kerana kita diajar hanya semata-mata untuk patuh dan mengikut sahaja tanpa boleh menyatakan cadangan serta pandangan. Melihat kepada program wacana yang dianjurkan semalam sangat terbuka dan meraihkan keterbukaan yang selama ini dilihat agak sempit.

Mungkin beredarnya masa di ikuti keterbukaan langit yang terbuka hari ini, tidak dapat tidak PAS juga seharusnya menerima keterbukaan ini dengan berlapang dada. Jika PAS ingin menyediakan garis panduan bagi perkara ini tidak ada salahnya cuma apa yang penting disini ruang keterbukaan yang sanggup mendengar dan menghadapi golongan yang pelbagai yang ada.

Konsep keterbukaan dalam wacana yang dianjurkan ini sangat mengujakan penulis apabila soalan yang datang dari pelbagai peserta program wacana anak muda ini dijawab dengan penuh bijaksana oleh para ahli panel.

Penulis secara jujurnya sangat menyokong program sebegini kerana ia membuka satu dimensi baru bagi setiap ahli PAS agar tidak lagi takut untuk berdepan dan menghadapi arus gelombang pemikiran yang semakin rancak bermain-main di lautan samudera. Seharusnya wacana seperti ini perlu disokong dan diadakan lebih kerap lagi agar kita dapat dengan mudah meneliti dan menghayati pemikiran mereka, sekaligus menyediakan satu ruang yang sebaiknya pada mereka agar "survivor" PAS terus bertahan selama-lamanya.


Beberapa perkara yang dikritisi penulis

Ahli panel tak tahu tajuk

Penulis terkejut juga apabila mengetahui apabila para ahli panel sendiri tidak tahu akan inti pati progran yang sedang diikutinya. Seharunya pihak penganjur perlu memastikan perkara yang kecil sebegitu tidak berulang lagi. Ia seakan program yang dijalankan ini tidak serius dan main-main. Ya, memang benar ia adalah hanya wacana orang muda tetapi janganlah memandang wacana ini seakan-akan program kanak-kanak sekolah.

Hal ini kerana penulis yakin semua peserta yang hadir adalah terdiri dari pelbagai latar belakang akademik, kerjaya dan lain-lain. Apa yang lebih penting ia adalah melibatkan nama PAS itu sendiri. Sedangkan yang hadir ada juga dari kalangan cina dan india di negara kita ini.

Perkara yang remeh tetapi pada penulis ia adalah satu perkara yang besar apabila ia menunjukkan bagaimana standard pengurusan mengendalikan sesuatu program itu. Jangan kerana kesilapan kita, orang lain yang mendapat nama.


Kain rentang tertulis wacana anak muda dan profesional, dimanakah keterbukaan dikatakan?

Apabila moderator menyebut wacana ini adalah bertujuan untuk meraihkan segala jenis keterbukaan yang ada, lalu penulis bertanya pada diri kenapa pada kain rentang tertulis perkataan ini "Wacana anak muda dan profesional". Dari perkataan yang tertulis itu penulis merasakan keterbukaan itu masih lagi sempit dan hanya berlegar-legar dalam kelompok yang syok sendiri. Lalu persoalannya dimanakah keterbukaan yang dikatakan itu.

Adakah wacana ini semata-mata golongan profesional sahaja yang boleh ikut turut serta. Jadi dimanakan tempat bagi golongan agama dalam wacana ini. Sepatutnya jika benar ia sebuah wacana yang terbuka perlu diteliti setiap perkataan yang dititipkan di atas kain rentang. Penulis beranggapan perkara ini perlu dilihat dan diamati di masa hadapan agar ia tidak berulang lagi.

Dengan ini penulis yakin keterbukaan yang dikatakan itu pasti mencapai matlamat dan objektif yang dikehendaki oleh penganjur di masa hadapan.

Hentaman terhadap Program Multaqa' ulama

Penulis sempat menghadiri dan mengikuti program Multaqo' Ulama' yang diadakan di Kedah baru-baru ini. Tetapi bayang-bayang moderator yang laju memperkatakan tentang sisi negatif program yang diadakan di kedah itu tidak pula penulis temui. Penulis tidak menyalahkan para moderator yang bertungkus lumus menjayakan program ini dengan bertanyakan beberapa soalan bagi mehidupkan suasana program.

Tetapi penulis tidak dapat terima sesuatu kritikan soalan dari sesiapa sahaja jika ia tidak turut serta mengikuti program multaqo' ulama'. Seseorang yang tidak tahu tentang sesuatu perkara itu lalu ia bercakap tentang perkara itu. Lalu dimanakah keabsahan dari kata-katanya itu, sedangkan ia tidak menghadapi dan mengalami sendiri pengalaman itu.

Jadi dimanakah objektifnya soalan itu? Penulis melihat dan menekuni sesuatu perkara secara objektif. Ok, baiklah mungkin beliau para moderator melihat u-stream melalui internet. Tetapi soalan yang dibawa oleh para moderator seakan ingin membina jurang yang tinggi. Sedangkan beberapa resolusi dari program Multaqo' ulama' yang salah satunya dari resolusi itu adalah ingin melihat kesatupaduan dua kelompok ini dalam satu bahtera tidak pula dinyatakan.

Adakah benar para moderator mengikuti perkembangan program Multaqo' ulama di kedah melalui internet atau mungkin ada "hidden agenda" di sebalik soalan yang berbau permusuhan dan seakan membina jurang yang semakin dalam seakan-akan jurang Mariana di Filipina.


Kesudahannya.

Ini semua adalah pandangan, cadangan serta kritikan penulis terhadap wacana anak muda yang berlangsung semalam. Semoga program ini akan diteruskan lagi di masa hadapan dengan lebih "Objective" kerana di situ akan memperlihatkan lagi kematangan dan keterbukaan dalam meraih segala jenis pemikiran yang ada.

Semoga dengan penulisan ini penulis berharap inilah keterbukaan yang kita dambakan dan inginkan. Semoga ia dilihat sebagai satu kritikan yang positif oleh sesiapa sahaja. Akhir kata, penulis sangat menyokong program yang sebegini.

~Be Objective In Your Word And Action~



Wednesday, September 25, 2013

Berbicaralah dengan ulama' walau beliau sudah pergi

Berbicaralah selalu dengan ulama' walau beliau sudah tiada lagi di alam dunia ini. Ulama adalah penerang kepada kegelapan yang menyelimuti ulama. Merekalah yang menggalas amanah ini dibahu buat meneruskan perjuangan para ambiya' dan rasul. Kehadiran mereka menjadikan ummat ini celik akan ilmu pengetahuan. Kehilangan mereka merupakan satu kehilangan yang besar kepada ummah ini.

Mereka sedar akan hal ini, oleh itu mereka telah meninggalkan satu khazanah yang amat berharga kepada umat ini agar umat ini terus dibimbing dalam menelusuri lautan ilmu yang terbentang luas ini. Merekalah yang telah bersusah payah demi mempermudahkan urusan kita yang ada pada hari ini dalam mencari dan meneliti pelbagai ilmu pengetahuan yang ada pada hari ini.

Kitab-kitab karangan mereka menjadikan mereka sentiasa hidup disamping manusia yang ada pada hari ini, walau mereka telah meninggalkan dunia ini beratus-ratus tahun dahulu. Nasihat dan ajaran mereka terus hidup sehinggalah sudah tidak ada lagi masa buat dunia ini.

Membayangkan diri sedang duduk di kuliyah yang diajar oleh para ulama'-ulama' tatkala tangan ini membelek setiap lembaran kertas yang mengandungi penulisan ulama' silam yang sanggup menanggung jerit perih ini demi generasi ummah akan datang. Alangkah indahnya perasaan ini saat diri merasakan seakan-akan para cendikiawan islam sentiasa hidup dan terus hidup demi mendampingi mereka yang cintakan akan ilmu.

Mereka tidak pernah letih dan penat untuk menerangkan dan mencerahkan ummah ini agar sentiasa berada dalam lembayung rahmat ilahi. Tetapi sayangnya bila kebanyakan antara kita mula merasa jemu untuk membelek lembaran khazanah yang ditinggalkan ini. Hanya tinggal untuk difahami dan disampaikan sahaja, itu pun dikira susah dan sukar oleh ummat pada hari ini. Muhasabah diri perlu dilakukan bagi menginsafi diri kerana lihat sahaja bagaimana pengorbanan yang dilakukan umat terdahulu sehingga sanggup mengorbankan masa rehat mereka, sehingga ada juga yang tidak berkahwin kerana tidak pernah terlintas di fikirannya lantaran hanya memikirkan perihal ilmu setiap masa.

Semangat dan usaha yang pernah dirintis oleh ulama' terdahulu perlu dicontohi para pencinta ilmu yang ada pada hari ini. Hal ini kerana kalian telah selangkah melangkah menjejaki perjalanan sang pencerah ummah ini.Semoga suatu hari nanti nama kalian pula yang seharum nama-nama mereka yang telah menyediakan diri mereka demi menyambung perjuangan baginda Rasulullah saw terhadap ummah ini.

Thursday, September 19, 2013

Bila aku mengerti apa itu kehidupan

Nak mengerti bukan satu perkara yang mudah kerana banyak proses kehidupan yang perlu dilalui bagi membuahkan kematangan mendepani hari esok.

Kehidupan sesuatu perkataan yang tidak dapat tidak pasti akan ditempuhi oleh setiap orang yang bergelar insan. Selagi nyawa masih dikandung badan selagi itulah proses ini akan terus berjalan.

Kegagalan bukan suatu perkara yang asing dalam kehidupan ini. Kadang ialah peneman yang terbaik bagi kehidupan agar supaya rencana kehidupan dapat di atur dengan lebih baik selepas ini.

Hidup ini penuh dengan warna-warni tetapi persoalannya bagaimanakah kita mencorakkan warna tersebut agar ia menjadi satu seni yang agung dan tidak akan dilupakan manusia serta menjadi sebutan makhluk langit.
Seni, coretan, warna-warni, inilah yang sebenarnya menjadi pengisi keindahan dalam kehidupan itu.

Ujian dan cubaan tidak pernah sepi disepanjang lereng-lereng perjalanan agar menjadi satu latihan menuju kejayaan yang agung.

Teman-teman dan mereka yang disisi menjadi satu aspek pelonjak ke arah itu. Merekalah yang menjadi tempat buat mengadu suka duka kehidupan yang penuh mencabar ini. Oleh itu, bijaklah memilih rakan-rakan di samping agar mereka sudi berpimping tangan denganmu dalam meredah samudera kehidupan ini.

Kehidupan bukan sesuatu yang statik tetapi ia akan berubah-ubah mengikut keadaan seseorang itu, cuma bijaklah menilainya agar tidak tersilap langkah dalam memilih perjalanan ini.

Semoga Allah SWT membimbing setiap jiwa-jiwa ini dalam mencapai keredhoanNya di dalam dunia milikNya ini. Agar cabaran dan dugaan yang mendatang dapat dihadapi dengan hati yang tenang dan tabah.

Wednesday, September 18, 2013

Ulama dan Profesional mereka adalah makhluk Allah

Isu yang tak pernah selesai dari dulu sampai sekarang, sehingga kadang-kadang menjadikan diri ini sudah muak dengan apa yang berlaku. Siapa yang mewujudkan perbalahan ini? Bagi aku yang memerhatikan kedua-dua keadaan ini tidak ada apa-apa pun sebenarnya melainkan satu pembodohan yang dirancang bagi melemahkan lagi gerakan jemaah islam ini.

Tetapi yang masalah kepada permasalah ini ialah mereka yang dengki dan hasad antara satu sama lain. Golongan yang sentiasa mencari peluang untuk mengapikan keadaan perlu dilihat dan diperhati dengan teliti, agar tidak termasuk ke dalam jerangkap samar yang dipasang.

Mereka yang bermasalah dengan golongan ulama' ini sentiasa mencari ruang-ruang untuk mewujudkan bibit pemusuhan dalam kalangan ulama dan profesional. Natijahnya, mereka yang tidak tahu menahu menjadi mangsa kuda tunggangan untuk menyemarakkan lagi api kedengkian ini.

Bila diperhati dalam kalangan ulama ini, mereka ini tidaklah seperti yang dikatakan. Bahkan bila bercakap penuh hikmat dan bijaksana dalam ucapannya. Malahan mereka cuba berikhtiar untuk merapatkan jurang yang terbina ini dek kerana kesalah fahaman yang dibuat mainan oleh sesetengah pihak.

Lalu apa peranan kita? Adakah untuk menyemarakkan lagi api yang sudah sekian lama marak ini. Tidak sama sekali tidak, peranan kita juga adalah sama iaitu menjadi perapat kepada kedua-dua golongan ini dan mengurangkan kesalah tanggapan terhadap apa yang berlaku.

Semoga selepas ini kita tidak lagi "share" sesuatu melalui apa-apa laman sosial jika kita tidak mengetahui pangkal baik buruk ceritanya. Kadang-kadang mereka yang share ni tidak tahu apa yang berlaku tetapi oleh kerana di dorong oleh fahaman taksub yang membabi buta kononnya atas nama ingin membela seseorang yang mereka kagumi menheret semakin ramai yang terperangkap dalam kebodohan ini.

Dan akhir kata bijaksanalah ketika jari-jari tangan sedang leka menari di atas papan-papan 'keyboard'. Agar perpecahan dapat dibendung, sepakatan dapat dibina.