Friday, May 16, 2014

Guruku Andai kalian mengetahui..

Guruku kalian merupakan seorang yang sangat mulia dek kerana ilmu yang terkandung dalam dada kalian. Tanpa kalian siapalah kami dalam melayari denai-denai kehidupan di kemudian hari. Oleh itu, peranan dan usaha kalian tidak dapat dipertikaikan dalam erti mendatangkan pencerahan terhadap umat ini. Sesuai dengan gelaran guru maka terpikul dibahumu satu amanah umat yang besar.

Andai ia dipandang enteng dan sambil lewa maka engkau tidak akan melihat pada pelajarmu sebagai pewaris masa depan melainkan melihat mereka sebagai untuk memperlengkapkan tanggungjawabmu sebagai seorang guru yang makan gaji.

Adakah begitu sahaja perjalanan hidupmu sebagai seorang manusia yang ingin di pandang sebagai guru. Jika begitu kalian sedang mempersediakan generasi yang tidak mempunyai nilai didikan atau tarbiyyah dan hanya semata-mata pembelajaran yang menunggu masa untuk basi laksana nasi goreng ayam lima hari yang lepas. Pembelajaran semata-mata tiada gunanya andai tiada didikan yang akan mencorak kehidupan mereka di masa hadapan.

Mungkin kalian mengatakan anak-anak dewasa ini manja dan tidak mudah dibentuk dan diajar kerana sistem pendidikan dan poerguruan hari ini yang jauh berbeza daripada dahulu sehinggakan segala perkara yang kalian hendak lakukan mestilah berasaskan kepada sistem.

Perlu diketahui dan dimaklumi manusia bukan robot, bahkan kitalah yang membuat sistem itu untuk membantu melicinkan tugas kita sebagai seorang guru. Tapi apa gunanya sistem itu apabila ia tidak berjaya menjadikan seorang pelajar yang berakhlak dan berjiwa tauhid, untuk apa!!!


Guru mengikut acuan al-Din

Dewasa ini, satu perkara yang sangat besar semakin hilang dari dada seorang pendidik. Mereka yang kita gelarkan sebagai guru tidak akan ada maknanya bila hubungan mereka dengan Allah begitu jauh sekali. Bagaimana mungkin kita mahu seseorang yang mengabaikan hubungan dengan tuhannya untuk menjadi guru keatas anak kita.

Oleh sebab itulah, para ulama' terdahulu sentiasa berpesan dan menasihati keatas anak murid mereka agar sebelum mempelajari ilmu itu dari seseorang maka perhalusilah siapa guru yang akan kamu temui itu untuk menadah ilmu darinya. Inilah beberapa adab yang di ajar oleh ulama' terdahulu agar kita tidak tergopoh-gapah dalam menuntut ilmu dari seseorang.

Adab ini agar kita menjadi orang mencermati terhadap siapa penyampai ilmu tersebut. Jangan sampai bila sudah menuntut barulah melahirkan kekecewaan dan ini akan mengundang kepada kurangnya berkat dalam menuntut ilmu.

Seorang guru itu seharunya berjiwa rabbani kerana ilmu yang disampaikan itu bersifat cahaya dan menerangi jalan bagi mereka yang mendapatnya. Sifat ilmu yang kita semua sedia maklum adalah terang dan cerah. Hal ini kerana ilmu itu walau dari mana sekali pun cabang ia berasal tidak kiralah ilmu sains, geografi, astronomi dan lain-lain, akhirnya membawa kepada satu tujuan iaitu semakin mengenal tuhan pencipta dan semakin dekat tunduk pada-Nya.


Golongan yang dimuliakan dengan Ilmu

Sungguh kalian dimuliakan dengan ilmu yang dimiliki. Sejak dahulu lagi kelebihan orang yang berilmu ini sering dilebihkan keatas manusia-manusia yang lain. Hal ini kerana merekalah orang yang mencorakkan dan memandu manusia di mana-mana sahaja mereka berada. Manusia lainnya ibarat pelaksana ke atas agenda kehidupan ini.

Tanpa panduan dan bimbingan dari guru maka setiap sesuatu yang ingin dilakukan ibarat tanpa sang pengemudi kehidupan bagi menentukan haluan destinasi yang ingin dituju. Bukan itu sahaja lihatlah sahaja bagaimana para ilmuwan terdahulu begitu dimuliakan oleh para pemerintah mereka kerana melihat merekalah aset terpenting negara dalam menggerakkan kemajuan dan kemakmuran negara.

Sebab itulah antara perkara yang cuba diselamatkan dahulu daripada musnah ialah ilmu dan para ilmuwan kerana mereka lebih berharga daripada segala apa bentuk kekayaan yang ada di dunia ini. Jika negara jatuh dapat dibangunkan kembali jika disana adanya golongan bijak pandai.

Tetapi andainya negara itu tidak mempunyai golongan ilmuwan dan bijak pandai, tunggu sahajalah masanya untuk rebah dan mustahil untuk mereka bangkit kembali. Kelebihan dan kemuliaan ini tidak datang kepada mereka melainkan hanya semata-mata ilmu yang ada bersama mereka.


Sedih bila ia hanya semata-mata pekerjaan duniawi

Hari ini tidak sama lagi seperti hari semalam, bukan ingin kukatakan keseluruhan tetapi mungkin sebahagian, yang mana yang sebahagian inilah yang bakal mencorakkan ratusan ribu anak bangsa suatu hari nanti, yang mungkin tidak lagi menganggap ini sebagai satu perbuatan mulia yang tergalas di bahu amanah mereka.

Hanya semata-mata pekerjaan, pergi pagi balik petang dan apabila tiba masanya hujung bulan makan gaji. Tahniah kepada guru-guru yang bersikap sebegini anda telah berjaya menjalankan pekerjaan anda dengan jayanya sebagai satu profesion perguruan yang cemerlang. Maka memang wajarlah sambutan hari guru setiap tahun untuk kalian semua.

Tetapi apa maknanya pada kami sebagai anak bangsa yang bakal dididik oleh kalian!!! Didikan apakah ini yang menyesakkan kami. Oh, silap. Ia tidak sepatutnya dipanggil pendidikan tetapi hanya layak dipanggil sebagai pembelajaran oleh kalian guru. Maaf guru dek kerana kami masih belajar dan kalian lebih mengetahui.

Terima kasih guru kerana menjadikan pembelajaran itu hanya semata-mata pembelajaran dan tidak meninggalkan sedikit apa pun kesan didikan di hati kami.


Guru sekolah bukan kilang dan kami bukan produk

Guru penulisan ini bukan bermaksud muridmu ini hendak memperlekehkan dirimu tetapi anak muridmu ini berasa terkilan dengan sikap sebahagian guru yang ada pada hari ini. Guru, muridmu ini tidak pernah memandang rendah pada kemuliaanmu itu dan sekali-kali tidak akan pernah merendahkan tingkat kemuliaanmu.

Dirimu sungguh mulia sehingga hadis Rasulullah SAW banyak mengungkapkan kelebihan dan kemuliaan orang yang berilmu.

Dikau wahai guruku sangat bererti bagi kami semua. Andai kalian tiada siapa yang akan memandu kami mengenal dunia di luar sana. Bahkan kalian seakan-akan merupakan ibu bapa kami yang kedua di rumah yang dikenali sebagai sekolah.

Tetapi jika kalian memandang kami sebagai produk yang akan dihasilkan oleh kilang yang bernama sekolah, alangkah dukacitanya hati anak muridmu ini. Kami tak salahkan kamu wahai guru, mungkin desakan dari sistem pendidikan menjadikan kalian sebegitu. Mungkin...Tetapi bukankah segala-galanya atas tangan kalian wahai guru.

Maafkanku wahai guru, kami amat sedih kerana apabila diri kami ini tak ubah hanya sebagai bahan produk yang akan dikeluarkan dari kilang yang bernama sekolah. Jika inilah diri kami dari pandangan kaca matamu wahai guru, terima kasih anak muridmu ucapkan.


Pandanglah siapa muridmu

Guruku, seringkali kami dibeza-bezakan kerana nilai intelektual kami tidak sama antara satu sama lain. Jika yang pandai dan bijak pasti mereka akan menduduki kelas hadapan tetapi bagi yang lambat pasti menduduki kelas belakang. Kami bukannya bodoh wahai guruku, cuma kami lambat untuk menerima pembelajaran seperti mana kawan-kawan kami yang cepat menerimanya.

Kami sedar mereka yang bodoh ialah mereka yang malas belajar dan tidak mahu berusaha, tetapi kami mahu menjadi hebat di kemudian hari biarpuan kami amat lambat untuk memahami pembelajaranmu wahai guru. Kami akan terus berusaha dan berusaha kearah itu.

Tetapi ketahuilah wahai guruku, saat engkau memperlekeh dan merendahkan kami dan membandingkan kami dengan mereka dihadapan, kami berasa sangat sedih. Siapa yang tidak ingin menjadi bijak dan cepat mempelajari sesuatu? Semua mahu jadi sebegitu. Tetapi kami tidak marahkan kalian wahai guru kerana ini memang diri kami dan kami memohon maaf anda kelembapan kami dalam menerima pelajaranmu.

Cuma satu sahaja wahai guruku, kami juga sangat berharap pada dirimu wahai guru untuk merasai apa yang dikatakan sebagai "DIHARGAI" olehmu.


Guruku Andai kalian mengetahui...

Guruku, peranan kalian sungguh besar dan sangat mulia. Amanah ummah yang terpikul dibahu kalian bukan semata-mata amanah kosong. Kalian memegang amanah untuk mendidik ratusan ribu anak-anak baru di kemudian hari.

Guruku, jangan lupa untuk menghubungkan pekerjaan kalian hari ini sebagai satu ibadah pengabdian kepada tuhan rabbul jalil. Jika ini yang engkau lakukan wahai guruku, ternyata engkau wahai guruku telah meletakkan darjatmu tinggi di sisi Allah SWT. Ingatlah wahai guruku, walau apa sekalipun yang lakukan jangan lupa untuk sandarkan ia pada tuhan pencipta alam.

Andai engkau lemah Allah ada untuk memberikan kekuatan dan bimbingan padamu. Guruku, percayalah pekerjaanmu ini sangat mulia dan tinggi darjatnya.

Sesungguhnya wahai guruku, kami merasa dengki dan iri hati dengan pekerjaan yang sedang engkau lakukan kini. Dek kerana kemulian dan ketinggian yang menunggumu di hari sana kelak.


Kalian penyambung usaha mulia

Semoga kalian wahai guruku tidak pernah puas dan jemu untuk mendidik kami. Semoga didikan dan ajaran yang kalian limpahkan kepada kami menjadi pendoman buat kami untuk meneruskan kehidupan di alam yang penuh mencabar di luar sana.

Terima kasih wahai guru kerana sudi menyambung usaha mulia ini untuk kami.



Diriku hanya anak muridmu dan dirimu guruku.
Selamat Hari Guru Buat Semua Guru Yang Pernah Mendidik Diriku Ini.




Sunday, April 27, 2014

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

2014 kembali lagi dengan pesta buku antarabangsanya

*To be continue....................

Alumnai FCR

Sudah hampir dua tahun sejak mengikuti program Friendly Comparative Religion atau ringkasannya FCR sejak tahun 2012. Rasanya program fasa 3 itulah yang akhir sekali aku sertai sehingga memperolehi title sebagai alumnai FCR. Keterlibatan dengan FCR sejak tahun 2011 sangat mengujakan kerana program ini menghimpunkan pelajar dari semua latar belakang dan tidak ketinggalan juga orang yang dah berkeluarga dan bekerjaya.

Mereka hadir hanya semata-mata untuk mencari jawapan keatas semua persoalan yang dilontarkan oleh rakan-rakan non-muslim terhadap mereka. Bila ditanya soal Islam, kenapa memilih agama dan pelbagai lagi soalan yang akhirnya memukul kepala kita sendiri. Sehinggakan kebanyakkan mereka cuba mencari jawapannya dan sekaligus mungkin menjadi dakwah pada non-muslim.

Agenda dakwah yang lemah dalam kalangan umat islam di Malaysia terhadap non-muslim di Malaysia perlu diteliti dan difikirkan kembali. Hal ini kerana kita tidak mahu ada yang memandang bahawa agama ini adalah hak eklusif bagi sesebuah kaum sahaja.

Momokan terhadap masyarakat non-muslim di Malaysia satu ketika dahulu bahawa jika mereka mahu memeluk agama Islam, mereka hendaklah masuk melayu dahulu. Satu pandangan dan tanggapan yang sangat menyimpang dari kebenarannya yang sebenarnya.

Salah tanggapan inilah yang menyebabkan arus dakwah pada non-muslim di Malaysia masih lagi lemau dan keterbelakang berbanding negara-nagara lain di dunia. Di barat sahaja dakwah non-muslim di sana sangat rancak dan diterima oleh masyarakatnya dengan pandangan yang sangat positif.

Program yang dianjurkan oleh Islamic Information Service (IIS) dengan kerjasama dari JAKIM bertempat di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sangat mengujakan. Lebih mengujakan IIS telah menjemput wakil "team" dari SSR(*maaf lupa singkatannya) iaitu satu "Team" dari Harun Yahya yang dibawa khas dari Turki.

Pembentangan sehari suntuk yang bertemakan Handling Atheist Training- Signs Of The Creator. Tema seminar yang sangat menarik dari wakil pembentang dari "team" Harun Yahya. Bagaimana kita menjawab dengan kejadian alam yang sangat menakjubkan dan sudah pasti di sebaliknya pasti ada pencipta yang mengaturkan segala tiap-tiap sesuatu.

Tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terbabit dalam menganjurkan program seumpama ini. Semoga dengan adanya program sebegini akan memacu gerakan dakwah Islam untuk bergerak terus ke hadapan.

Memori hari semalam.



Wednesday, April 16, 2014

Pustaka Cahaya Kasturi Dan Sumber Hukamak

Pustaka Cahaya Kasturi Dan Sumber Hukamak menjadi satu lembaran baru dalam hidupku. Disinilah tempat aku berpraktikal kini menghabiskan baki sem akhir pengajianku di bumi USIM yang ku cintai.

Bersuhbah dengan al-Fadhil Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri

Alhamdulillah, peluang untuk bersama dan mendekati ulama' ilmuwan yang ku kagumi ini begitu mengembirakan diriku. Satu sosok tubuh yang sukar dan susah ditemui pada masa kini.

Mula mengenali al-Fadhil Ustaz saat tahun satu di bumi USIM, Nilai. Waktu itu Dr. Zulkifli memerlukan beberapa orang untuk membantunya dalam membuat dan menyiapkan beberapa usaha karyanya untuk ummah. Saat itu syarikat Pustaka Cahaya Kasturi (PCK) dan syarikat Sumber Hukamak masih lagi belum wujud. Sejak itu hati ini mula terpaut dengan sosok tubuh ilmuwan ulama ini di bumi Nilai.

Peluang bersama dengan al-Fadhil Ustaz Dr. Zulkifli menjadikan diriku sedikit sebanyak memahami bagaimana rutin harian beliau yang begitu sibuk dengan jadual yang begitu padat tetapi kepadatan jadual yang menghimpit beliau tidak pernah sama sekali menghalang misi penulisan beliau.

Pergilah celah mana sekalipun pasti ada ruang waktu dan masa yang beliau manfaatkan untuk menulis biarpun masa yang ada sangat suntuk.

Mungkin inilah falsafah yang dipegang beliau sehinggakan hari ini hasil penulisan beliau tidak lagi asing dari dada masyarakat, "Manusia pasti mati tetapi apa yang pasti buku akan terus menemani manusia sehingga alam ini musnah atau buku itu yang musnah".

Alam pekerjaan

Sebelum ini aku telah bekerja sebagai guru sementara, pekerja supermarket, buruh kontrak dan lain-lain lagi. Kini berpraktikal disini pasti tidak jauh corak perbezaannya dengan pekerjaanku yang lalu. Bukan aku maksudkan pekerjaan itu sama tetapi ragam manusia yang akan aku temui dan watak itu pasti wujud dimana-mana.

Apa-apa pun kebijaksanaan untuk mengurus situasi keadaan itu sangat penting, di sinilah saatnya rational dan pertimbangan akal yang waras perlu menjadi wawasan. Kadang-kadang perkara ini kita pandang enteng dan remeh sahaja kerana pada anggapan kita yang dipandang di depan hanya satu pekerjaan.

Tetapi sebenarnya persediaan inilah penting bagi kita menanggapi semua perkara yang akan kita berdepan saat diri sudah memasuki alam pekerjaan.

Tolong jangan hanya fikirkan diri sendiri

Inilah dalam banyak-banyak perkara yang sangat penting dan besar dalam satu organisasi pekerjaan. Bila kita meletak kepentingan diri di depan maka apa yang kita akan liha bahawa hanya diri kita yang benar dan orang lain semua salah.

Sifat kematangan inilah amat penting agar kita dapat melahirkan kewarasan dalam berfikir dan sekaligus berlapang dada dalam mendengar pandangan orang lain.

Bekerja sebagai satu jemaah yang saling lengkap melengkapi itulah yang perlu disemai dalam sanubari setiap orang daripada kita kerana bukan semua perkara yang dapat kita lakukan seorang diri. Sistem jemaah untuk melahirkan diri manusia yang saling lengkap melengkapi atas dasar memenuhu keperluan manusia.

Memacu PCK dan SOHO kearah kejayaan

Semoga dengan adanya kita semua sebagai tulang belakang kepada al-Fadhil Ustaz Dr. Zulkifli al-Bakri akan dapat mengembangkan empayar syarikat dan mewujudkan anak-anak syarikat yang lain suatu hari nanti.

Hal ini agar supaya budaya ilmu akan terus subur dalam masyarakat Islam di Malaysia khusunya dan dalam masa sama meraih habuan dunia daripada nikmat kurniaan Ilahi.

Tuesday, March 25, 2014

Di antara dua bentuk ujian

Bismillahirrahmanirahim, pemula bicara bagi selemah-lemah kejadian ini disisi-Nya.

Kesenangan dan kemewahan sesuatu yang amat diimpikan dan digemari oleh setiap insan yang bernama manusia ini. Manusia sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kesusahan dan kemiskinan. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja agar nikmat hidup ini dapat dimanfaatkan sebaik yang mungkin.

Kekadang bila iman tidak mengiringi maka kejahatan menjadi petunjuk jalan dalam kehidupan. Bisikan syaitan dan nafsu yang haloba tidak pernah lekang dari membisikkan bisikan yang mengarahkan kita keluar dari garisan fitrah perjalanan hidup.

Hanya atas nama mengerja keseronokkan hidup yang sementara dan bila-bila sahaja ia akan hancur musnah.

Nilai keimanan dalam mengharungi musibah

Sering kali kita melihat setiap bala', ujian, musibah itu sebagai sesuatu yang sangat menyedihkan dan kadang kala memberikan seribu perasaan yang menggugat diri ini. Ramai yang dapat menempuh kesenangan tetapi tak ramai yang dapat menempuh ujian saat ia datang menyapa. Sekali ia datang kita mula hilang arah tuju seakan-akan anak kapal yang kehilangan nakhoda kapalnya.

Lalu bagi yang lemah imannya maka sandaran kesalahan itu dilemparkan pada tuhanNya. Nauzubillah min zalik, agar kita dijauhkan oleh Allah daripada perkara-perkara sebegini. Nilai iman tidak dapat dibandingkan peri pentingnya bagi seorang manusia ini kerana ialah menjadi 'check balance' dan timbang tara bagi seseorang manusia itu kembali.

Sudut pandangan terhadap musibah yang menimpa itulah yang akan menentukan sama ada akan meningkat atau menurunnya darjat seorang hamba itu. Bagi seorang hamba yang melihatnya sebagai satu ujian dan peringatan Allah bagi dirinya, sudah pasti Allah akan mengangkat dirinya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

Peringatan didalam surah al-fatihah di dalam ayat 5 dan 6 mengajar ini semua kepada kita selaku hamba yang mudah terlupa. Allah telah menerangkannya. Ya, benar! Tetapi manusialah yang lupa saat musibah menjentik sedikit mereka mula hilang arah tuju, sedangkan tuhan mengajar mereka tatkala ditimpa kesusahan minta tolonglah dengan solat dan sabar.

Minta tolong dengan solat dan sabar? Datangnya ujian dan tatkala ditimpa musibah kita diminta untuk solat dan sabar. Macam pelik sahaja caranya bagi anak-anak muda yang hidup pada hari ini kerana mata mereka telah dibutakan dengan kebendaan materialistil dan segala-gala masalah yang datang hendaklah merujuk kepada perkara itu semua.

Sedihnya, akhirnya mereka hilang arah pertunjuk fitrah yang menjadi landasan mereka yang sebenar sejak asalnya.

Minta tolonglah dengan solat dan sabar adalah peringatan yang besar bagi mereka yang mengerti bahawa saat ini tuhan memerintahkan mereka untuk kembali kepada-Nya. Bukan hanya solat yang kosong dan tidak difahami tetapi lebih daripada itu makna hakikat pengertian sebuah solat itu sendiri. Inilah peringatan yang besar bagi semua hamba bahawa hendaklah mereka kembali kepada tuhannya saat ditimpa apa-apa sahaja masalah.

Di antara dua bentuk ujian

Ujian boleh datang dalam bentuk yang sangat kita gemari dan kita sangat benci. Mmm, ada juga ke ujian yang datang dalam bentuk yang disukai dan digemari? Tidak ramai yang tahu dan bertanya ujian kesenangan yang datang dan kadang-kadang lebih dashyat dan bahaya dari ujian musibah yang menimpa. Hal ini kerana ujian kesenangan amat sukar dikesan berbanding ujian musibah yang sangat mudah dirasai.

Teringat satu kata-kata dalam cerita "Sang Murabbi" ketika mana ustaz Rahmat bercerita kepada anak usrahnya, " Monyet ini saat dia memanjat pokok kelapa dan tatkala pokok kelapa itu menerima angin ribut yang kuat lalu apa yang monyet itu perbuat? Sudah pasti memeluk pokok kelapa itu dengan sekuat-kuatnya agar ia tidak bisa jatuh. Tetapi saat angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup, sudah pasti monyet tadi berasa nyaman dan selesa sehingga tidak sedar pelukannya semakin longgar dan kemudiannya...bumbbb! Jadi apa kesimpulannya, jangan jadi monyet".

Mudah dikenal dan mudah dihadapi berbanding tak mudah dikenal dan sukar dihadapi. Dua bentuk ujian yang sentiasa mengiringi kehidupan manusia kerana dunia ini adalah tempat ujian bagi yang bergelar mukmin.

Semoga Allah SWT mengurniakan pada kita selaku hambanya untuk tabah dan kuat menghadapi ujian-Nya ini kerana peringatan ini telah Allah SWT peringatkan hamba-Nya di dalam kitab Al-Qur'an," Bahawa adakah hanya cukup kamu mengatakan, kami telah beriman. Sedangkan belum datang lagi ujian keatas kamu".

Di antara ujian kesenangan dan ujian kesukaran inilah yang menyebabkan musuh-musuh Islam menukar strategi mereka untuk memusnahkan umat Islam ini. Mereka tahu apabila umat Islam diserang melalui perang, mereka pasti kalah. Tetapi berbeza pula bila umat Islam ini ditidurkan dan dibiarkan terus lena, nescaya raksasa yang sebesar mana sekali pun pasti boleh ditumbangkan. Inilah yang terjadi pada dunia Islam hari ini. Kita terus dibiarkan lena tanpa memperdulikan saudara-saudara Islam kita yang lain.

Ujian kesenangan inilah yang perlu kita sedari dan peka agar kita tidak terkeluar daripada garisan sunnah Allah yang telah ditetapkan ke atas kita semua. Semoga peringatan terhadap ujian kesenangan seiring dengan ujian kesusahan kerana ramai mampu berdepan dengan musibah saat ia datang tetapi berbeza pula dengan kesenangan merakamkan ramai yang kecundang saat ia baru sahaja menyapa.

Semoga kita semua terus dalam bimbingan dan hidayah petunjuk Allah SWT dalam meneruskan kehidupan seharian ini.

~Memaknakan sebuah kehidupan~

Sunday, March 23, 2014

Mungkin masanya belum tiba

Saat kita merasa bahawa kita belum mampu mengecapi apa yang diimpikan itu, sebenarnya itulah saat Allah mahu memberi kita lebih masa untuk mencapai impian yang sekian lama bermain di dalam mimpi malam yang indah. Tak disangka bahawa penantian itu satu yang memenatkan ditambah dengan seribu kepahitan mujahadah disepanjang laluan perjalanan denai kehidupan.

Kenapa aku tak sama dengan dia? Mungkin ini selalu bermain di dalam pemikiranmu tetapi jangan bersedih wahai diriku kerana tuhan tahu apa yang terbaik bagi dirimu. Buat apa engkau menduduki tampuk kemuliaan bila mana rebah menanti bila-bila sahaja untukmu.

Sesuatu itu ada tempoh dan masanya dan ketahuilah banyak yang perlu engkau dalami dan fahami kerana tidak berlalu setiap fasa kehidupan itu melainkan pasti tuhan sekalian alam menyediakan hikmat yang besar untuk dirimu. Cuma tinggal sahaja untuk engkau mengoreksinya kembali hikmah itu.

Andai engkau pasti ia adalah pilihan yang tepat maka lakukanlah ia dan jangan lupa akan nasihat mereka yang soleh dan berpengalaman dalam hidup ini. Hal ini kerana hidup kita ini adalah ulangan yang mana kesilapannya pernah dilakukan oleh mereka yang terdahulu. Andai bijak jadikanlah nasihat dan sejarah mereka sebagai pendoman dirimu untuk bangkit merentas samudera kehidupan ini.

Hidup ini satu perkara yang tak boleh engkau duga sama sekali. Mungkin hari ini, engkau impikan yang sebegini tetapi siapa sangka apa yang engkau impikan itu tidak seperti mana yang engkau harapkan.

Teringat daku kalam yang pernah dilemparkan oleh seorang guruku dalam satu ceramahnya kepada semua pelajar di sekolah. Kalam yang ringkas tetapi padat dan membawa seribu satu wawasan bagi mukmin yang bertakwa, "Jadilah mukmin yang bertakwa nescaya kalian tidak akan gelincir".

Inilah cita-cita yang harus disemat dalam diri anak-anak sekalian kerana apabila kita jadi apa sahaja esok hari cita-cita takwa itu takkan lari tetapi jika kita bercita-cita menjadi polis, doktor, engineering, bahawa cita-cita itu belum pasti akan kita perolehi.

Besar maksudnya kepada kita semua kerana kata ini ingin menanam di dalam sanubari kita nilai bertuhan itu satu perkara yang tak dapat dipisahkan didalam kehidupan ini. Hal ini kerana perkara inilah yang akan mengingatkan kita tatkala musibah dan ujian datang melanda, bahwa ini semua adalah milik Allah yang berkuasa untuk melakukan apa sahaja keatas hambaNya.

Andai ia kejayaan maka bersyukurlah, tetapi andai ia musibah, kekecewaan dan tidak seperti mana yang engkau impikan jangan mudah mengalah dan berputus asa. Boleh jadi tuhan lebih tahu apa yang terbaik bagi dirimu dan mungkin mahu menunjukkan kesilapannu yang menjadi asbab terhalangnya kejayaan itu.

Maka untuk meraih sesuatu janganlah pekerjaan ini dilakukan dengan gopoh gapah dan hendaklah diperhalusi dan dicermati jangan sampai lubang-lubang syaitan dan nafsu terbuka mengiringi pekerjaan kalian. Hal ini kerana saat itu kalian telah menempah satu kemurkaan yang besar dari tuhan pencipta alam.

Jalan mujahadah ini tidak pernah senang dan mudah kerana ia dibentangkan bagi orang-orang yang benar mencintai saat pertemuan dengan tuhanNya suatu hari nanti.

Akhir sekali jangan engkau kecewa jika masanya belum tiba untuk dirimu dan bergembiralah kerana engkau masih terus diberikan peluang untuk meningkatkan darjatmu dengan kepayahan yang engkau tempuhi nanti.

Wednesday, March 12, 2014

Anak bagaimanakah dirimu nanti kelak?

Anak yang soleh sudah pasti akan mendamaikan kedua-dua ibu bapanya. Ibu bapa mana yang tidak mahu anaknya berpelakuan soleh dan baik di hadapan mereka. Sudah pasti bagi mereka inilah harta yang paling berharga buat mereka. Bagi mereka cukuplah hanya dengan permata yang dianugerahi oleh Ilahi ini.

Tetapi persoalannya kenapa masih wujudnya anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan berpelakuan buruk pada mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa suatu masa dahulu siapakah yang telah membesarkan mereka sehingga boleh hidup sampai hari ini.

Lalu suara apakah yang akan keluar dari anak-anak tersebut? Kamu melihat kami dengan keadaan kami yang buruk ini tetapi tidakkah kamu memandang ibu bapa kami bagaimanakah ia telah membesarkan kami. Kami selalu mendengar ungkapan tarbiyyah dan pendidikan tetapi apakah itu semua!!! Tidak ada maknanya bila kedua-dua ibu bapa kami adalah orang sentiasa melakukan keburukan. Maka bagaimana acuannya begitulah kami kini.

Tidak kurang suara anak-anak yang berkata, walau macam mana buruk sekalipun kedua ibu bapaku mereka masih tetap ibu bapaku dan akan aku bawa mereka keluar daripada lorong-lorong gelap suatu hari nanti. Sesungguhnya aku mengharapkan bahawa aku akan menjadi anak-anak yang soleh sekaligus membawa rahmat tuhan pada mereka.

Ibu bapaku bodoh kerana segala keinginanku dituruti oleh mereka. Andai ia tidak dituruti pasti aku akan mengamuk dan sudah pasti mereka akan turuti jua. Walaupun kedua ibu bapaku orang yang baik dan sentiasa taat pada perintah tuhan tetapi kelemahan tarbiyah mereka telah mencampakkan aku kepada siapa aku hari ini.

Kesakitan dan keperitan yang dilalui hasil daripada tarbiyyah oleh kedua ibu bapaku telah menjadikan aku seorang manusia yang kenal erti tuhan. Ayahku seorang yang garang, andai dia tahu anak-anaknya tidak sembahyang pasti kami akan dinasihati jika malas maka libasan rotan akan hinggap di kaki. Ketegasan mereka ketika kami masih rebun telah membina kami menjadi pokok yang teguh dengan akar yang takkan berubah.

Ibu bapa yang baik dan anak-anak yang baik mungkin ada yang merasai nikmat kurnian Allah ini. Bagi mereka mungkin ini satu kurnian daripada Allah kepada mereka dengan kehadiran anak-anak yang soleh dan menyenangkan mata mereka. Anak-anak tidak perlu disuruh tetapi andai melihat sahaja diperbuatnya kerana merasakan bahawa itu adalah tanggungjawab mereka. Mungkin inilah yang selalu di sebut orang sebagai dari keturunan yang baik, lalu oleh sebab mereka menjaga diri mereka maka Allah mengurniakan mereka pula dari baka yang baik dan soleh.

Itulah keluarga-keluarga yang ada dan mungkin pelbagai lagi karenah-karenah keluarga yang tak sempat penulis sertakan di sini tetapi apa yang pasti bila di tanya pada sesiapa sahaja, pasti mereka inginkan ANAK YANG SOLEH dalam hidup mereka.

Apa yang pasti tarbiyyah Islami tidak dapat ditinggalkan kerana ia adalah satu kompenan yang penting dalam pendidikan generasi Islam pada masa akan datang. InsyaAllah, inilah jalan yang telah ditinggalkan, cuma apa yang perlu bagi kita adalah untuk melalui jalan itu kembali.