Thursday, October 3, 2013

Seputar wacana anak muda

Wacana anak muda yang dianjurkan oleh NGo semalam sangat mengujakan dan menarik minat penulis untuk memberikan sedikit pandangan dan komentar persendirian. Sebelum itu penulis memberikan kredit kepada mereka yang berusaha menganjurkan program sebegini. Wacana yang diberi tajuk "Survival PAS dalam arena politik Malaysia" merupakan satu wacana yang menarik yang menggunakan satu kaedah dan metod sangat membantu dalam membenihkan lagi pencambahan pemikiran dewasa ini melalui soal jawab peserta dan ahli panel.


Beberapa pandangan penulis terhadap wacana anak muda

Penulis cuba bersikap objektif dalam setiap perkara sehinggalah walau siapa pun yang mengadakan program penulis akan cuba melibatkan diri tidak kiralah ia adalah program yang dianjurkan oleh ulama', pemuda, dan profesional. Bagi penulis sikap sebeginilah yang akan menjanjikan keterbukaan dan bukan hanya duduk dan membela sesetengah pihak sahaja.

Minda terjajah sudah tidak relevan lagi pada pandangan penulis pada hari ini. Apa yang penulis maksudkan dengan minda terjajah ini ialah tanpa mengkaji dan meneliti terhadap sesuatu perkara dan tambah buruk lagi jika ia dibina atas dasar fanatik dan taksub. Lalu disini penulis ingin bertanya dimanakah sifat keterbukaan disitu jika itulah yang menjadi landasan pemikiran.

Masyarakat yang bebas mengakses pelbagai maklumat hari ini tidak boleh disekat dan dihalang pemikirannya. Tetapi perlulah disediakan satu ruang bagi memberi mereka peluang untuk mengatur bicara peluang bagi menyatakan segala pandangan dan kritikan mereka. Bukan itu sahaja malah pengurusan pemikiran yang pelbagai ini perlu dilakukan dengan bijaksana agar dapat meraihkan pelbagai cabang pemikiran yang ada.

Penulis melihat bagaimana budaya mengkritisi sesuatu wujud dari wacana anak muda yang diadakan ini. Pandangan serta candangan dan tak dilupakan kritikan datang dari pelbagai pihak yang terdiri dari pelbagai jalur pemikiran dan tidak kurang juga dari Non-muslim.

Wacana yang diadakan ini telah memberikan satu ruang yang sangat didahagakan oleh orang muda sejak sekian lama. Hal ini kerana kita diajar hanya semata-mata untuk patuh dan mengikut sahaja tanpa boleh menyatakan cadangan serta pandangan. Melihat kepada program wacana yang dianjurkan semalam sangat terbuka dan meraihkan keterbukaan yang selama ini dilihat agak sempit.

Mungkin beredarnya masa di ikuti keterbukaan langit yang terbuka hari ini, tidak dapat tidak PAS juga seharusnya menerima keterbukaan ini dengan berlapang dada. Jika PAS ingin menyediakan garis panduan bagi perkara ini tidak ada salahnya cuma apa yang penting disini ruang keterbukaan yang sanggup mendengar dan menghadapi golongan yang pelbagai yang ada.

Konsep keterbukaan dalam wacana yang dianjurkan ini sangat mengujakan penulis apabila soalan yang datang dari pelbagai peserta program wacana anak muda ini dijawab dengan penuh bijaksana oleh para ahli panel.

Penulis secara jujurnya sangat menyokong program sebegini kerana ia membuka satu dimensi baru bagi setiap ahli PAS agar tidak lagi takut untuk berdepan dan menghadapi arus gelombang pemikiran yang semakin rancak bermain-main di lautan samudera. Seharusnya wacana seperti ini perlu disokong dan diadakan lebih kerap lagi agar kita dapat dengan mudah meneliti dan menghayati pemikiran mereka, sekaligus menyediakan satu ruang yang sebaiknya pada mereka agar "survivor" PAS terus bertahan selama-lamanya.


Beberapa perkara yang dikritisi penulis

Ahli panel tak tahu tajuk

Penulis terkejut juga apabila mengetahui apabila para ahli panel sendiri tidak tahu akan inti pati progran yang sedang diikutinya. Seharunya pihak penganjur perlu memastikan perkara yang kecil sebegitu tidak berulang lagi. Ia seakan program yang dijalankan ini tidak serius dan main-main. Ya, memang benar ia adalah hanya wacana orang muda tetapi janganlah memandang wacana ini seakan-akan program kanak-kanak sekolah.

Hal ini kerana penulis yakin semua peserta yang hadir adalah terdiri dari pelbagai latar belakang akademik, kerjaya dan lain-lain. Apa yang lebih penting ia adalah melibatkan nama PAS itu sendiri. Sedangkan yang hadir ada juga dari kalangan cina dan india di negara kita ini.

Perkara yang remeh tetapi pada penulis ia adalah satu perkara yang besar apabila ia menunjukkan bagaimana standard pengurusan mengendalikan sesuatu program itu. Jangan kerana kesilapan kita, orang lain yang mendapat nama.


Kain rentang tertulis wacana anak muda dan profesional, dimanakah keterbukaan dikatakan?

Apabila moderator menyebut wacana ini adalah bertujuan untuk meraihkan segala jenis keterbukaan yang ada, lalu penulis bertanya pada diri kenapa pada kain rentang tertulis perkataan ini "Wacana anak muda dan profesional". Dari perkataan yang tertulis itu penulis merasakan keterbukaan itu masih lagi sempit dan hanya berlegar-legar dalam kelompok yang syok sendiri. Lalu persoalannya dimanakah keterbukaan yang dikatakan itu.

Adakah wacana ini semata-mata golongan profesional sahaja yang boleh ikut turut serta. Jadi dimanakan tempat bagi golongan agama dalam wacana ini. Sepatutnya jika benar ia sebuah wacana yang terbuka perlu diteliti setiap perkataan yang dititipkan di atas kain rentang. Penulis beranggapan perkara ini perlu dilihat dan diamati di masa hadapan agar ia tidak berulang lagi.

Dengan ini penulis yakin keterbukaan yang dikatakan itu pasti mencapai matlamat dan objektif yang dikehendaki oleh penganjur di masa hadapan.

Hentaman terhadap Program Multaqa' ulama

Penulis sempat menghadiri dan mengikuti program Multaqo' Ulama' yang diadakan di Kedah baru-baru ini. Tetapi bayang-bayang moderator yang laju memperkatakan tentang sisi negatif program yang diadakan di kedah itu tidak pula penulis temui. Penulis tidak menyalahkan para moderator yang bertungkus lumus menjayakan program ini dengan bertanyakan beberapa soalan bagi mehidupkan suasana program.

Tetapi penulis tidak dapat terima sesuatu kritikan soalan dari sesiapa sahaja jika ia tidak turut serta mengikuti program multaqo' ulama'. Seseorang yang tidak tahu tentang sesuatu perkara itu lalu ia bercakap tentang perkara itu. Lalu dimanakah keabsahan dari kata-katanya itu, sedangkan ia tidak menghadapi dan mengalami sendiri pengalaman itu.

Jadi dimanakah objektifnya soalan itu? Penulis melihat dan menekuni sesuatu perkara secara objektif. Ok, baiklah mungkin beliau para moderator melihat u-stream melalui internet. Tetapi soalan yang dibawa oleh para moderator seakan ingin membina jurang yang tinggi. Sedangkan beberapa resolusi dari program Multaqo' ulama' yang salah satunya dari resolusi itu adalah ingin melihat kesatupaduan dua kelompok ini dalam satu bahtera tidak pula dinyatakan.

Adakah benar para moderator mengikuti perkembangan program Multaqo' ulama di kedah melalui internet atau mungkin ada "hidden agenda" di sebalik soalan yang berbau permusuhan dan seakan membina jurang yang semakin dalam seakan-akan jurang Mariana di Filipina.


Kesudahannya.

Ini semua adalah pandangan, cadangan serta kritikan penulis terhadap wacana anak muda yang berlangsung semalam. Semoga program ini akan diteruskan lagi di masa hadapan dengan lebih "Objective" kerana di situ akan memperlihatkan lagi kematangan dan keterbukaan dalam meraih segala jenis pemikiran yang ada.

Semoga dengan penulisan ini penulis berharap inilah keterbukaan yang kita dambakan dan inginkan. Semoga ia dilihat sebagai satu kritikan yang positif oleh sesiapa sahaja. Akhir kata, penulis sangat menyokong program yang sebegini.

~Be Objective In Your Word And Action~