Monday, November 26, 2012

Aku Dan Dunia Akademik

Sudah 3 tahun rupanya keberadaan aku di USIM. Sebagai seorang penuntut ilmu di sini, banyak perkara yang perlu aku lakukan. Tugas sebagai seorang pelajar bukanlah sesuatu yang senang dan mudah. Jika dahulu aku di peringkat sekolah, tetapi tidak lagi kini.

Sebagai seorang yang telah menduduki marhalah yang ketiga daripada 3 marhalah pendidikan maka sudah pasti cara pemikiran kami berbeza seperti keadaan kami di sekolah.

Betul dan benarlah kata-kata seniorku dahulu bahawa apabila kita menjejakkan kaki di Universiti cepat-cepatlah biasakan diri. Tahu kenapa? Kerana di sini semuanya kita perlu cari dan terokai sendiri ilmu itu. Pensyarah ini hanya sebagai penunjuk jalan sahaja.

Jika kita masuk kedalam dewan kuliyah tanpa membuat persediaan dan membaca terlebih dahulu apa yang akan di ajar oleh pensyarah maka "belel lah jawabnya". Macam mana nak baca pensyarah tak beritahu pun apa yang perlu dibaca. Perlu di ingat sekali lagi bahawa di sini tidak lagi diajar makan suap.

Segala-galanya bukan pada pensyarah tetapi terletak pada diri sendiri untuk melakukan perubahan untuk menerima perubahan yang berlaku. Jika kita masih di takuk yang lama pasti kita akan ketinggalan jauh dalam dunia akademik ini.

Baca, ohhh bacaaa

Buku adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan daripada hidup mahasiswa. Mereka kena menerima bahawa budaya iqra' itu bukan sekadar-kadar budaya tetapi satu kewajipan yang terpikul di atas pundak mereka.

Ye, tepat sekali. Ini adalah amanah yang perlu mereka lakukan selaku pelajar "under graduate". 4 tahun pengajian mesti di isi dengan ilmu pengetahuan daripada pelbagai pembacaan dan selalu berdamping dengan para alim ulama' buat menjadi pembimbing diri dalam menuntut ilmu.

Penat k? Sabarlah kerana hidup kita ni sekejap sahaja. Macam mana kita nak tahan belajar sampai liang lahad sedangkan 4 tahun di universiti pun kita dah mula mengeluh.

Sabarlah dan banyakkan bermunajat kepada Allah kerana ia maha mendengar rintihan hati hamba-hambanya yang merintih memohon kepada-Nya. Hari ini kita bersusah payah adalah untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada manusia lain suatu hari nanti, jika khidmat ini diperlukan saat itu.

Semoga luahan hati ini menjadi penguat kepada ku untuk terus mara melangkah menuju ke depan sana. Aku akhiri bicara ini dengan kata-kata dari Al-Fadhil Ustaz Aizuddin, pensyarah kuliyyah halaqoh ku,

" Saya tidak berniat nak jadi sheik-sheikh Ilmu, tetapi saya berniat nak lahirkan sheikh-sheikh ilmu".

Saturday, November 24, 2012

USIM dalam memimpin arus perubahan


Tahniah kepada Pihak pengurusan majlis pesta konvokesyen USIM dan MPP USIM kerana berjaya mengetengahkan konsep yang lebih Islamik berbanding tahun-tahun yang sebelum ini.

Moga-moga usaha pertambah baikan dari semasa ke semasa akan dilakukan agar Islam semakin dekat dengan hati masyarakat.

Kepada sahabat-sahabat janganlah tergesa-gesa dalam meminta dilakukan perubahan secara drastik. Lihatlah ia dalam konteks dakwah yang luas.

Semoga masyarakat sekeliling dapat menerima perubahan yang berlaku di sekeliling mereka sekali gus memperbandingkan dengan konsert yang ada di luar sana.

Sesungguhnya kami menyokong usaha MPP USIM dan pihak pentadbiran USIM dalam usaha untuk mengetengahkan Islam sebagai "The way of life".

Friday, November 23, 2012

Bila ada yang masih mengharap

Sebentar tadi aku menerima panggilan telefon dari juniorku. Beliau bertanya bilakah aku akan bercuti kerana katanya sudah lama dia tidak berusrah bersamaku dan rindu untuk melakukannya bersamaku.

Katanya dia berhasrat untuk menjemputku untuk menghandle kem di sekolahnya dan ingin berbincang dalam usrah bersamaku. Apakan daya sekarang ini aku masih mempunyai taklifan lain sebagai pelajar dan tidak dapat memenuhi tuntutannya itu. Apa-apa pun aku akan berusaha demi mereka.

Tak terasa bagaimana kesungguhan mereka walaupun masih muda tetapi menganggap bahawa usrah ini sebagai satu sistem tarbiyyah bagi mereka. Aku menyangkakan bahawa mereka telah melupai ku tetapi sebenarnya aku silap.

Sebenarnya mereka masih berharap untuk melihatku datang ke sekolah mereka dan mendengar pengisian yang bermanfaat daripadaku.

Sebenarnya itulah diri kita. kIta merasakan bahawa kita sudah tidak mempunyai apa-apa, tetapi siapa sangka ada orang yang sangat mengharapkan tunjuk ajar dari orang yang tidak mempunyai apa-apa ini.

Kadang-kadang aku sedih dengan diri sendiri. Macam mana aku boleh jadi lemah sebegini, sedangkan diluar sana sana masih ramai yang berharap pada diriku ini.

Apa aku nak jawab di depan Allah kelak jikalau aku tidak menunaikan amanah ini pada mereka. Tanggungjawab pada adik-adik, rakan-rakan, keluarga, masyarakat dan negara tergalas dibahuku ini. Adakah aku nak sia-siakan amanah ini dengan banyak bermain-main.

Mana perginya keseriusan aku dalam melakukan sesuatu perkara. Adakah aku ini dah lupa tentang soal peri pentingnya Ilmu dan tarbiyyah.

Kenapa ini terjadi, aku lemparkan kepada setiap diri yang membaca agar memikirkan dan bermuhasabah diri agar kalian akan menemui jawapannya untuk diri kalian.

Di manakah silap dan punca kepada segala perkara yang berlaku pada diri kalian. Tetapi apa yang pasti di luar sana masih ada yang mengharap pada kalian.

Bila ada yang masih mengharap, renung-renungkanlah...

Pemuda yang dinanti

Generasi pemuda pemudi Islam yang sanggup berkorban untuk Islam semakin bercambah-cambah pada hari ini. Semua ini berlaku kerana manusia sudah dapat lihat dengan mata kepala mereka sendiri bagaimana kerosakan yang disebabkan dengan tangan manusia sendiri.

Merera telah dapat melihat sendiri bagaimana balasannya kepada mereka yang meninggalkan sistem yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sendiri.

Usaha kearah pemulihan dengan kembali kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah sedang giat diusahakan oleh para pemuda dan pemudi yang mencintai agama Allah ini.

Sesungguhnya tidak dapat dinafikan peri pentingnya para pemuda islam ini. Perkara ini ditunjukkan sendiri bagaimana orang mudalah yang bersama Rasulullah SAW dalam menjulang dakwah baginda tatkala kaum tua menentangnya dengan sehebat-hebatnya.

Mungkin sudah tiba masanya untuk pemuda pemudi yang cintakan Islam ini untuk kembali menggerakkan dakwah ini. Moga-moga Islam akan terzahir dengan para pemuda pencinta Islam ini.

harapanku pada kalian

Harapanku pada kalian semua untuk bangun, duduk, susah, senang bersama dengan seluruh umat Islam. Kita selaku umat Islam seharusnya berasa bertanggungjawab dan terpanggil untuk mengembalikan manhaj Islam di atas muka bumi ini.

Sudah sekian lama kerajaan yang berkiblatkan thaghut dibiarkan berkuasa dan pada hematku sudah sampai masanya kita bersama-sama untuk menjatuhkannya.

Monday, November 19, 2012

Gaza, Kemenangan menghampirimu

Terpanggil untuk menulis berkenaan apa yang berlaku pada dunia umat Islam hari ini. Tanggal awal Muharam menyaksikan peristiwa menyayat hati apabila umat Islam Palestin di wilayah Gaza dibantai dengan seteruk-teruknya oleh bangsa Israel.

Peperangan yang menyaksikan bagaimana satu pengisytiharan daripada bangsa Israel untuk melenyapkan dan menghapuskan umat Islam Gaza. Gaza tidak pernah menyerah malahan menantikannya sebagai satu perkara yang amat dinantikan oleh mereka. Mereka para pejuang mujahidin di Gaza bagaikan menerima pelawaan untuk menghadiri parti kesukaan. Begitulah erti peperangan pada mereka sekarang.

Bangsa yang cintakan mati. Nah, siapa yang menempah maut sekarang ni. Kalian berjuang untuk hidup sedangkan mujahid palestin berjuang untuk mencari mati. Bagaimana dua keadaan yang begitu kontra dalam kehidupan seorang muslim dan Israel.

Pernah terbaca satu artikel bagaimana para-para rahib ataupun dikenali sebagai orang-orang agama dalam yahudi sangat menentang terhadap penubuhan negara Israel. Hal ini kerana mereka ketahui bahawa bangsa Israel tidak boleh menubuhkan negara, dan jika ini berlaku bererti mereka membina kuburan bagi diri mereka sendiri.

Gaza, kemenangan menghampirimu kini. Ini janji yang pasti daripada tuhan Rabbul jalil. Bersabarlah kalian semua dan teruskanlah perjuangan ini sehingga kalian dijanjikan dua perkara, sama ada mati SYAHID atau PALESTIN KEMBALI BEBAS ke tangan umat Islam.


Friday, November 16, 2012

Antara pembohongan dalam jalan perjuangan DAKWAH



Kita dapat lihat sendiri dan merasai bagaimana pembohongan dalam jalan perjuangan Islam dilakukan. Amat sedih dan menyedihkan apabila ada dikalangan para daie yang terjebak dengan maksiat pada Allah, Apakah susah bagi kelian untuk melawan nafsu serakah yang membuak-buak dalam diri kalian itu. Akhirat yang kalian laungkan itu bisa jadi senjata makan tuan bagi kalian.

Penulisan ini aku lakukan untuk menyedarkan sesiapa yang tidak tahan dengan ujian lantas membiarkan dirinya hanyut dalam keseronokan yang sementara. Sedih dan memilukan. Mujahid melawan musuh Islam demi mengembalikan izzah agama ini .

Mereka bergelumang dengan darah dan pahala. Janji tuhan menepati dalam dada mereka. Tidak sekali-kali bagi mereka untuk melakukan maksiat pada Allah kerana mereka sedar bahawa kemenangan takkan turun kepada orang yang bermaksiat.

Nah, keuntungan apa yang engkau perolehi dari maksiat itu. Diri semakin jauh dari tuhan dan rahmatnya. Di mana mardhotillah yang kalian inginkan itu. Semuanya telah bertukar debu. Amalan-amalan kalian telah mati dan hilang bagaikan angin meniup debu pergi.

Kenapa ya penulisan kali ini bagaikan menempelak para-para daie di jalan dakwah. Sepatutnya penulis menukilkan sesuatu yang boleh menaikkan semangat mereka untuk terus istiqomah dalam jalan dakwah tetapi sebaliknya.

Bukan bermaksud untuk meruntuhkan semangat mereka tetapi bingkisan ringkas ini bertujuan untuk menyedarkan mereka dan terutama diri penulis.

Ayuh pengemudi bahtera dakwah sekalian, di sini ku bawakan kisah bagaimana ada seorang sahabat Rasulullah SAW ketika mana sahabat-sahabat yang lain bertanya perihal amal, beliau pula banyak bertanya apakah jalan-jalan yang membawa kepada dosa itu.

Tahukah kenapa sahabat-sahabat sekalian kerana amal itu dapat diketahui dan diamalkan tetapi bagaimana pula untuk mengetahui bagaimana bentuk dosa-dosa itu sendiri. Mana tahu dalam beramal ibadah pun ada dosa. Oleh sebab itulah beliau bertanyakan perihal dosa dan bentuk-bentuknya. Sekaligus,untuk  menghindari dari terjebak dalam dosa yang boleh menyebabkan diri ini tercampak kedalam murka Allah SWT.

Begitu juga kita, persediaan dan permantapan perlu dilakukan bagi menghindarkan diri dari murka Allah SWT. Kita bimbang lantaran dosa yang mengekori belakang kita ini menyebabkan kemenangan daripada Allah tertangguh dek lantaran diri kita ini.

Moga-moga coretan ini menjadi peringatan kepada kita semua supaya sedar dan waspada terhadap NAFSU dan SYAITAN kerana diri kita (para daie) inilah sasaran mereka yang pertama untuk melemahkan barisan tentera-tentera Allah di zaman ini.

Peringatan buat DIRI dan sahabat-sahabat seperjuangan yang dicintai sekalian

Wednesday, November 14, 2012

Makna disebalik Hijrah



Sayangnya bila masih ada yang LENA dalam TIDUR


Ada sesiapa yang masih tertidur? Tahukah anda tahun baru hijrah telah tiba dan ini bermakna kita semua telah berada pada tahun yang baru. Sekali gus, meninggalkan tahun yang lama. Perubahan? Atau masih ditakuk yang lama sampai lupa pembangunan diri yang mengikut acuan Islam yang sejahtera.


"Celupan Allah.Siapa yang lebih baik celupannya daripada Allah? dan kepadaNya kami menyembah." (AlBaqarah,138)




Soal Hijrah bagi yang mengerti

Tatkala bulan Muharam semakin hampir, umat Islam kembali sedar bahawa akan bermulanya tahun baru dalam kalendar Islam. Sekaligus tahun ini akan meninggalkan mereka dan digantikan dengan tahun yang baru. Mulalah disini niat dan azam baru kembali dipasakkan bagi membina hala tuju baru buat diri seseorang individu muslim itu.


Doa Awal dan akhir tahun dibacakan bagi memohon kepada Allah Yang Esa agar memberikan taufik dan hidayah dalam menempuhi dunia yang laksana ombok yang mengganas di lautan yang terbentang luas.

Berbalik kepada soal hijrah umat Islam hari ini. Kemana hala tuju hijrah itu? Adakah hijrah yang ingin dilaksanakan adalah seperti mana yang penah ditempuhi dan dilalui Rasulullah SAW? Persoalan demi persoalan keluar buat menjawab persoalan dalam diri. Hijrah yang manakah yang sebenarnya yang perlu aku lakukan dalam kehidupan ini.


Dari Umar bin al-Khattab r.a : Rasulullah SAW bersabda, "Tiap-tiap amal harus disertai dengan niat. Balasan bagi setiap amal munusia ialah pahala bagi apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa (niat) hijrahnya kerana Allah dan Rasul-Nya, baginya pahala hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya.
Dan barangsiapa (niat) hijrahnya kerana dunia yang hendak diperolehnya atau kerana perempuan yang hendak dikahwininya, maka (pahala) hijrahnya sesuai dengan niatnya, untuk apa dia hijrah."
(Sohih al-Bukhari)

Ya, tepat sekali niatlah hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya kerana Rasulullah SAW telah menekankan hal ini kepada seluruh umat Islam dengan sabdanya itu. Bila kembali membaca dan meneliti hadis diatas, kita dapat lihat bagaimana pentingnya niat kearah ini. 

Hal ini kerana, tujuan dan matlamat kejadian manusia itu sendiri adalah untuk beribadah kepada Allah SWT. Oleh itu, matlamat mengerja Mardhotillah iaitu mencapai redho Allah perlu ada dalam jiwa-jiwa setiap mukmin yang bertakwa. 

Maka tidak dapat tidak setiap pekerjaannya hendaklah kerana Allah. Lalu disertakan dengan intizam yang tinggi untuk melaksanakannya. 


Bersungguh-sungguh dalam pekerjaan

Bila menyentuh soal intizam dalam melakukan sesuatu perkara, maka tidak dapat tidak kita lari dari hadis yang menuntut kita bersungguh-sungguh dalam kehidupan.

"Tiada Hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Umat Islam adalah umat yang berjihad dalam setiap perkara yang dilakukan dalam kehidupan mereka. Mereka sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat dalam kehidupan mereka. Tetapi itu tidak ada gunanya jika usaha itu tidak diniatkan kerana Allah SWT.

Mungkin inilah pengertian yang terkandung disebalik Hadis Rasulullah SAW dalam sabdanya ketika mana baginda menyebut, "Tiada hijrah selepas pembukaan kota Makkah, tetapi yang ada adalah jihad dan niat".

Jihad dan niatlah yang menjadi nadi penggerak kepada umat ini untuk terus "Excelent" dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana umat Islam hari ini tidak dituntut melakukan perkara yang sama dilakukan oleh Rasulullah tetapi mereka dituntut untuk memahami makna yang terselindung di sebalik hijrah itu.

Mereka perlu bangkit untuk berhijrah kearah yang lebih baik dalam kehidupan mereka. Tidak kiralah apa-apa sahaja bentuknya kerana "Islam Is Way Of Life" dalam kehidupan orang Islam itu sendiri.


Monday, November 12, 2012

Belajarlah hidup untuk memberi


"Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah". Hadis ini amat besar maknanya kepada seorang yang bergelar muslimin , hal ini kerana di sebalik hadis ini terkandung satu erti yang amat besar dan perlu diterokai oleh umat Islam keseluruhannya. Hadis yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam r.a :

Dari Hakim bin Hizam r.a katanya:”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.” (al-Bukhari)

"Tangan yang di atas" bukan semata-mata membawa erti tangan yang bersedekah sahaja tetapi jauh di situ terdapatnya sesuatu yang tersirat yang harus diketahui oleh seluruh umat Islam untuk diguna pakai dalam kehidupan mereka seharian. Apa falsafah yang terselindung dari sabda Rasulullah SAW dengan "tangan yang di atas" itu? Ertinya umat Islam seharusnya sedar terhadap usaha pembangunan diri mereka. Ya, mereka seharusnya berusaha untuk membangunkan diri mereka setinggi yang mungkin, sekaligus meletakkan satu peranan ke arah untuk bersedia melakukan sesuatu perkara. Persediaan ke arah itu perlu digarap sejak seawal mungkin.

Hal ini bukan menjadikan sesuatu kearah itu sebagai matlamat yang dituju dan dikejar dalam kehidupan kita di atas muka bumi ini. Tetapi apa yang lebih penting, ia adalah wasilah dakwah dalam meraih kejayaan dalam mengenderai bahtera dakwah yang terbentang luas diluar sana.

Umat Islam adalah umat yang proaktif dan produktif dalam memberikan sesuatu kepada orang lain. Mereka sentiasa berlumba-lumba kearah kebaikan. Peluang yang tersedia tidak akan mudah dilepaskan begitu sahaja. Hal ini kerana mereka tahu guna pakai sesuatu perkara itu di masa kelak.

Contoh yang jelas yang dapat kita pelajari dari sirah nabawiyyah sendiri, bagaimana kita dapat lihat praktikal dari kehidupan para sahabat. Mereka hidup untuk memberi dan melebihkan segala hal kepada sahabat yang lain. Kisah bagaimana daging kambing yang diberikan kepada sahabat dan berpindah pemberian tersebut kepada sahabat yang lain dan akhirnya kembali kepada tangan sahabat yang asal yang memberi daging tersebut. Satu contoh yang jelas dalam hidup mereka. Kehidupan untuk memberikan sesuatu manfaat kepada manusia.

Satu contoh yang lain pula, sifat berlumba-lumba para sahabat untuk menginfakkan sesuatu pada jalan Allah SWT. Satu ketika Umardatang menghadap Rasulullah dan menyatakan bahawa dia mahu menginfakkan sebahagian hartanya pada jalan Allah. Kemudian datang Abu Bakar dan menyatakan bahawa beliau mahu menginfakkan keseluruhan hartanya untuk jalan Allah. Lalu Rasulullah bertanya, apa yang engkau telah tinggalkan untuk keluargamu? Jawab Saidina Abu Bakar, aku tinggalkan untuk keluargaku Allah dan Rasul.

Lihatlah bagaimana mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik untuk Islam. Oleh  sebab itulah mereka sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan mereka dan meletakkan posisi mereka di kalangan orang-orang yang hebat.

Kisah seterusnya berkenaan Abdul Rahman bin Aus, seorang yang jutawan dan kaya raya di kota mekah sanggup melepaskan segala-galanya hartanya demi menyahut seruan Hijrah Rasulullah SAW. Datangnya ke kota mekah dalam keadaan tidak mempunyai apa-apa pun di sisinya, hanya sehelai sepinggan. Tetapi kerana kematangan pemikirannya disertai dengan tarbiyyah yang diacukan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat-sahabatnya menjadikan para sahabat Rasulullah sentiasa kreatif dan proaktit. Sesampainya di kota madinah, Abdul Rahman terus bertanyakan di manakah pasar dan dengan bekal modal pinjaman dari sahabatnya, beliau sekali lagi kembali melakukan perniagaan di pasar madinah dan kembali menjadi jutawan Islam yang berjaya sekali lagi seperti mana keadaannya sebelum hijrah dahulu.

Kesulitan yang dihadapi tidak memutuskan dirinya untuk terus berusaha dan bangkit sebagai kaum muslimin yang hebat dan gah. Inilah yang menggeruni kaum yahudi yang ada di kota madinah saat itu.

Kisah Saidina Usman bin Affan r.a membeli perigi dari orang yahudi. Kaum yahudi yang menduduki madinah  sangat menyulitkan umat Islam. Hal ini kerana mereka mengenakan harga yang sangat tinggi kepada umat Islam dalam urusan jual beli tetapi sebaliknya pula sesama mereka. Malahan riba yang dikenakan cukup menyukarkan kehidupan umat Islam. Kisah berkenaan perigi ini telah mendorong saidina Usman untuk memudahkan kehidupan umat islam di kota madinah kerana banyak aduan yang diadukan mengatakan mereka hanya boleh menggunakan perigi dalam jangka masa yang singkat sahaja, malahan turut dikenakan bayaran menggunakannya.

Lalu saidina Usman membeli satu perigi dari orang yahudi tersebut dengan harga yang sangat mahal. Akhirnya umat Islam bebas menggunakan perigi itu bila-bila masa sahaja sehinggakan perigi yang lain tidak lagi digunakan menyebabkan orang yahudi itu mengalami kerugian. Orang yahudi tersebut datang menawarkan kepada saidina Usman untuk membeli semua periginya dengan harga yang berpatutan. Lalu saidina Usman membeli keseluruhan perigi tersebut dan dengan izin Allah umat Islam telah bebas dari kesempitan yang membelenggu hidup mereka.

Nah, lihatlah bagaimana kehidupan mereka. Apaakah kita tidak malu dengan kehidupan yang kita jalani hari ini. Kita lebih sibuk mengutamakan diri sendiri dari orang lain. Nasib umat Islam di luar sana tidak di peduli sama ada mereka sihat, lapar, disakiti, dan seribu masalah yang membelenggu kehidupan mereka. Sikap tidak mempedulikan mereka seakan-akan mereka bukan sebahagian dari kita.


“Barangsiapa tidak peduli dengan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk ke dalam golongan mereka.” (HR Thabrani)

Kita seharusnya insaf dengan diri kita pada hari ini, untuk apa hidup kita ini melainkan pasti akan bertemu Allah SWT jua suatu hari nanti. Oleh itu, kita sebagai umat Islam seharusnya sedar dari dilema yang membelenggu umat Islam pada hari ini. Tidakkah kita mahu mencontohi generasi yang terbaik yang telah dicoratkan Rasulullah SAW? Tidakkah kita mahu menjadi orang yang memberi dan menerima? Tidakkah kita mahu menjadi orang Islam yang kuat dan hebat dalam segala hal?

Ayuh syabab letakkanlah dirimu dikalangan orang-orang yang hebat. Agar suatu hari nanti engkau mempunyai sesuatu untuk diberikan. Belajarlah hidup untuk memberikan sesuatu kepada agama dan umat ini. Ya, belajarlah hidup untuk memberi.

 Mungkin inilah maksud di sebalik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:


“Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada semua daripada mereka adalah baik, berlumba-lumbalah kamu ke atas manfaat dan mintalah pertolongan daripada Allah dan janganlah bersikap lemah atau malas.” (HR Muslim)