Monday, November 12, 2012

Belajarlah hidup untuk memberi


"Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah". Hadis ini amat besar maknanya kepada seorang yang bergelar muslimin , hal ini kerana di sebalik hadis ini terkandung satu erti yang amat besar dan perlu diterokai oleh umat Islam keseluruhannya. Hadis yang diriwayatkan oleh Hakim bin Hizam r.a :

Dari Hakim bin Hizam r.a katanya:”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.” (al-Bukhari)

"Tangan yang di atas" bukan semata-mata membawa erti tangan yang bersedekah sahaja tetapi jauh di situ terdapatnya sesuatu yang tersirat yang harus diketahui oleh seluruh umat Islam untuk diguna pakai dalam kehidupan mereka seharian. Apa falsafah yang terselindung dari sabda Rasulullah SAW dengan "tangan yang di atas" itu? Ertinya umat Islam seharusnya sedar terhadap usaha pembangunan diri mereka. Ya, mereka seharusnya berusaha untuk membangunkan diri mereka setinggi yang mungkin, sekaligus meletakkan satu peranan ke arah untuk bersedia melakukan sesuatu perkara. Persediaan ke arah itu perlu digarap sejak seawal mungkin.

Hal ini bukan menjadikan sesuatu kearah itu sebagai matlamat yang dituju dan dikejar dalam kehidupan kita di atas muka bumi ini. Tetapi apa yang lebih penting, ia adalah wasilah dakwah dalam meraih kejayaan dalam mengenderai bahtera dakwah yang terbentang luas diluar sana.

Umat Islam adalah umat yang proaktif dan produktif dalam memberikan sesuatu kepada orang lain. Mereka sentiasa berlumba-lumba kearah kebaikan. Peluang yang tersedia tidak akan mudah dilepaskan begitu sahaja. Hal ini kerana mereka tahu guna pakai sesuatu perkara itu di masa kelak.

Contoh yang jelas yang dapat kita pelajari dari sirah nabawiyyah sendiri, bagaimana kita dapat lihat praktikal dari kehidupan para sahabat. Mereka hidup untuk memberi dan melebihkan segala hal kepada sahabat yang lain. Kisah bagaimana daging kambing yang diberikan kepada sahabat dan berpindah pemberian tersebut kepada sahabat yang lain dan akhirnya kembali kepada tangan sahabat yang asal yang memberi daging tersebut. Satu contoh yang jelas dalam hidup mereka. Kehidupan untuk memberikan sesuatu manfaat kepada manusia.

Satu contoh yang lain pula, sifat berlumba-lumba para sahabat untuk menginfakkan sesuatu pada jalan Allah SWT. Satu ketika Umardatang menghadap Rasulullah dan menyatakan bahawa dia mahu menginfakkan sebahagian hartanya pada jalan Allah. Kemudian datang Abu Bakar dan menyatakan bahawa beliau mahu menginfakkan keseluruhan hartanya untuk jalan Allah. Lalu Rasulullah bertanya, apa yang engkau telah tinggalkan untuk keluargamu? Jawab Saidina Abu Bakar, aku tinggalkan untuk keluargaku Allah dan Rasul.

Lihatlah bagaimana mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik untuk Islam. Oleh  sebab itulah mereka sentiasa melakukan yang terbaik dalam kehidupan mereka dan meletakkan posisi mereka di kalangan orang-orang yang hebat.

Kisah seterusnya berkenaan Abdul Rahman bin Aus, seorang yang jutawan dan kaya raya di kota mekah sanggup melepaskan segala-galanya hartanya demi menyahut seruan Hijrah Rasulullah SAW. Datangnya ke kota mekah dalam keadaan tidak mempunyai apa-apa pun di sisinya, hanya sehelai sepinggan. Tetapi kerana kematangan pemikirannya disertai dengan tarbiyyah yang diacukan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat-sahabatnya menjadikan para sahabat Rasulullah sentiasa kreatif dan proaktit. Sesampainya di kota madinah, Abdul Rahman terus bertanyakan di manakah pasar dan dengan bekal modal pinjaman dari sahabatnya, beliau sekali lagi kembali melakukan perniagaan di pasar madinah dan kembali menjadi jutawan Islam yang berjaya sekali lagi seperti mana keadaannya sebelum hijrah dahulu.

Kesulitan yang dihadapi tidak memutuskan dirinya untuk terus berusaha dan bangkit sebagai kaum muslimin yang hebat dan gah. Inilah yang menggeruni kaum yahudi yang ada di kota madinah saat itu.

Kisah Saidina Usman bin Affan r.a membeli perigi dari orang yahudi. Kaum yahudi yang menduduki madinah  sangat menyulitkan umat Islam. Hal ini kerana mereka mengenakan harga yang sangat tinggi kepada umat Islam dalam urusan jual beli tetapi sebaliknya pula sesama mereka. Malahan riba yang dikenakan cukup menyukarkan kehidupan umat Islam. Kisah berkenaan perigi ini telah mendorong saidina Usman untuk memudahkan kehidupan umat islam di kota madinah kerana banyak aduan yang diadukan mengatakan mereka hanya boleh menggunakan perigi dalam jangka masa yang singkat sahaja, malahan turut dikenakan bayaran menggunakannya.

Lalu saidina Usman membeli satu perigi dari orang yahudi tersebut dengan harga yang sangat mahal. Akhirnya umat Islam bebas menggunakan perigi itu bila-bila masa sahaja sehinggakan perigi yang lain tidak lagi digunakan menyebabkan orang yahudi itu mengalami kerugian. Orang yahudi tersebut datang menawarkan kepada saidina Usman untuk membeli semua periginya dengan harga yang berpatutan. Lalu saidina Usman membeli keseluruhan perigi tersebut dan dengan izin Allah umat Islam telah bebas dari kesempitan yang membelenggu hidup mereka.

Nah, lihatlah bagaimana kehidupan mereka. Apaakah kita tidak malu dengan kehidupan yang kita jalani hari ini. Kita lebih sibuk mengutamakan diri sendiri dari orang lain. Nasib umat Islam di luar sana tidak di peduli sama ada mereka sihat, lapar, disakiti, dan seribu masalah yang membelenggu kehidupan mereka. Sikap tidak mempedulikan mereka seakan-akan mereka bukan sebahagian dari kita.


“Barangsiapa tidak peduli dengan urusan kaum Muslimin, maka ia tidak termasuk ke dalam golongan mereka.” (HR Thabrani)

Kita seharusnya insaf dengan diri kita pada hari ini, untuk apa hidup kita ini melainkan pasti akan bertemu Allah SWT jua suatu hari nanti. Oleh itu, kita sebagai umat Islam seharusnya sedar dari dilema yang membelenggu umat Islam pada hari ini. Tidakkah kita mahu mencontohi generasi yang terbaik yang telah dicoratkan Rasulullah SAW? Tidakkah kita mahu menjadi orang yang memberi dan menerima? Tidakkah kita mahu menjadi orang Islam yang kuat dan hebat dalam segala hal?

Ayuh syabab letakkanlah dirimu dikalangan orang-orang yang hebat. Agar suatu hari nanti engkau mempunyai sesuatu untuk diberikan. Belajarlah hidup untuk memberikan sesuatu kepada agama dan umat ini. Ya, belajarlah hidup untuk memberi.

 Mungkin inilah maksud di sebalik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:


“Daripada Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: Seorang mukmin yang kuat itu adalah lebih baik dan disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada semua daripada mereka adalah baik, berlumba-lumbalah kamu ke atas manfaat dan mintalah pertolongan daripada Allah dan janganlah bersikap lemah atau malas.” (HR Muslim)



No comments:

Post a Comment