Tuesday, August 28, 2012

Bila kita jelas matlamat hidup


Perjalanan hidup yang bermacam ragam dan pelbagai jenis mencerminkan seseorang itu di akhirnya. Tetapi apa yang ingin di ungkapkan disini ialah natijah dari perjalanan yang dilalui itu untuk kemana? Setiap perjalanan yang tanpa destinasi di ibaratkan sebagai seseorang yang sesat di gurun sahara yang jauhnya sejauh mata memandang. Itu bukanlah kamus pengembaraan seseorang individu yang bergelar muslim. Sewajibnya harus tampak pada seorang muslim itu kepastian jalan yang ditempuhnya dan jelas kemana destinasi akhirnya.

Orang yang leka dalam perjalanannya sudah pasti kecelakaan siap sedia menunggunya di hadapan. Inilah yang kita tidak mahu berlaku dalam perjalanan yang masih panjang dan pernuh dengan liku-liku yang menuntut kita semua mempersediakan segala bentuk bekalan buat menempuhi ranjau di sepanjang denai-denai perjalanan.

Teringat satu ketika dahulu ketika ditanya di dalam satu program tarbiyyah, ketika mana fasilitator bertanya, "apakah matllamat hidup kamu." Ramai yang menjawab, menjadi mukmin yang sejati. tak kurang yang menjawab untuk masuk syurga Allah dan pelbagai lagi jawapan yang lain. Jawapan yang berbentuk skop umum dan tidak menyeluruh. Lalu para fasi membetulkan dengan mengatakan matlamat kita yang pertama adalah untuk mencapai mardhotillah kerana katanya inilah seharusnya tertanam dalam diri semua umat Islam iaitu untuk mendapatkan keredhoan Allah SWT.

Jawapan yang diberikan cukup besar maknanya tetapi sayangnya jika jawapan yang ringkas itu tidak dikoreksi oleh kita semua. Sekadar mengatakan ingin mencapai mardhotillah tidak memandai tanpa keperluannya dipenuhi. Disini aku cuba menyatakan beberapa perkara yang seharusnya kita ketahui, sekali gus memahaminya dengan sebenar-benarnya. Tinggal sahaja untuk dipraktikkan buat mengotakan syarat-syarat mendapat redho Allah itu.

Allah tuhan kami

Inilah perkara pertama yang harus kita jelas dalam kehidupan kita sebagai seorang yang mengakui dirinya seorang muslim. Perkara ini perlu diselidiki agar kita jelas antara makna hamba dan pencipta. Jika seseorang tidak mengenali kekasihnya, mana mungkin ia akan kasih dan cinta padanya. Sebab itulah ada orang yang sanggup berjaga malam, berjihad di medan perjuangan dan lain-lain lagi, kerana mereka jelas siapa rabb mereka.

Seharusnya 'title' muslim dan Islam bukan sekadar nama yang ada pada batang tubuh seseorang individu tersebut. Tetapi hakikat daripada kaliamah itu perlu difahami dengan  sebenar-benarnya. Amat jelek dan sedih apabila pada kad pengenalan tertulis Islam tetapi ketika diminta melafazkan kaliamah syahadah masih terangkat-rangkat. Apatah lagi jika di minta untuk menterjemahkan kalimah tersebut.

Sebab itulah kita perlu kembali memperkasakan diri ini selaku seorang yang beriman keapada rukun iman yang pertama iaitu beriman kepada Allah. Inilah asas yang perlu jelas kepada semua muslim.

Ada perpatah ulama yang menyebut, "Barang siapa yang mengenali dirinya, nescaya ia mengenali tuhannya". Bukan sekadar perpatah tetapi kebenaran yang hakikat kejadian manusia ini penuh dengan seni kehidupan yang menatijahkan di akhirnya adanya seorang pencipta alam yang telah mengatur sebaik-baik kejadian ini.

Rasul ikutan kami

Sudah pasti suri teladan yang terbaik ini tidak dapat lari dari kehidupan seluruh generasi manusia dari awal hinggalah akhir zaman nanti. Di utuskan oleh Sang Pencipta yang maha kuasa lagi maha kasih sayang buat menunjuki manusia ke arah kebaikan melalui utusan yang diutuskan-Nya.

Surah al-Ahzab ayat 21 membenarkan hal ini yang bermaksud," Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu, terdapat contoh tauladan yang terbaik". Sunnah-sunnah kehidupan baginda perlu dihidupkan kembali kerana inilah yang lebih diredhoi oleh Allah SWT keatas umat manusia.

Tetapi amat malang dan dukacitanya kini kerana bukan sahaja tidak mehu beramal dengan sunnah baginda Rasulullah, lebih teruk dari itu sanggup mentohmah dan mengatakan bahawa ia telah ketinggalan zaman dan sudah tidak relevan pada masa kini.

Siapakah mereka untuk berani memperkatakan sebegitu rupa? Sudahkah mereka mendapat jaminan dan pujian dari Allah seperti mana Rasulullah di dalam surah al-Ahzab. Jawapannya, tidak sekali-kali TIDAK!!!

Mereka menganggap bahawa dengan cara ini umat akan lebih maju tetapi sebaliknya berlaku apabila Allah menunjukkan balasan perbuatan terhadap manusia yang ingkar kepada segala perintah-Nya melalui para-para Nabi dan Rasul yang diutuskan.

Jadi siapa lagi yang dapat menggantikan para nabi dan rasul kerana kini mereka telah tiada. Jangan bimbang kerana agama ini adalah agama rahmat dan penuh dengan kesejahteraan. Sabda Rasulullah SAW, " Ulama itu pewaris para nabi".

So, apa tunggu jom bersama para Ulama yang benar.


Al-Quran perlembagaan kami

Mukjizat yang agung ini tidak akan lenyap sehinggalah di akhir zaman. Inilah mukjizat al-Quran begitu indah seni bahasanya, sehinggakan jika dihimpunkan bangsa jin dan manusia untuk membuat satu surah dari al-Quran nescaya tidak dapat diperbuat akan al-Quran ini.

Isi dalamnya penuh menceritakan pelbagai perkara berkenaan umat ini buat dihayati dan diteliti. Bukan hanya semata-mata di simpan di rak buku sehingga menyebabkan ia berabuk lantaran sudah lama tidak disentuh.

Seharusnya kita semua harus insaf dengan apa yang menimpa dewasa ini terhadap generasi muda yang ketandusan cahaya al-Quran di dalam dada. Jika dahulu anak-anak orang Islam sibuk menghafaz bait-bait ayat al-Quran, tetapi tidak lagi kini.

Lagu-lagu rock dan segala jenis lagu hiburan lebih senang di hafaz daripada al-Quran. Barangkali ia lebih mengasyikkan. Umat hari ini telah buta dari al-Quran sehinggakan jika dibuat kajian ada di antara mereka yang khatam al-Quran selepas kecil tidak lagi membacanya selepas itu.

Cukup bagi mereka apabila telah tamat bacaan al-Quran, maka semuanya telah selesai. Sungguh dangkal dan singkat pemikiran sebegini. Oleh itu, fungsi al-Quran perlu dikembalikan dalam hidup seorang muslim, bukan hanya sekadar bacaan tetapi juga penghayatan terhadap isi al-Quran itu sendiri.


Jihad jalan kami

Kehebatan sebenar umat Islam tersimpul di dalam kaliamh JIHAD. Justeru itulah kenapa musuh-musuh Islam amat bimbang jika umat Islam bangkit dengan jihad. Bagi mereka jika perkara ini berlaku tidak ada apa-apa lagi yang dapat menghalang kemaraan umat Islam dari pentas dunia.

Jadi untuk meredakan kegusaran ini, langkah yang terbaik adalah dengan melenakan umat Islam dengan selena-lenanya agar mereka tidak menyedari di sisi mereka punyai kekuatan buat menggegar dunia dan seisi alam ini.

Apa itu jihad? Jihad adalah dari kalimah arab yang bermaksud bersungguh-sungguh. Yakni, perlakuan yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan akhirnya diserahkan kepada Allah SWT. Umat yang bersungguh dalam tindakannya ini tidak lagi kelihatan kerana mereka masih lagi lena di atas tilam yang empuk.

Cuma segelintir sahaja yang sudah bangkit dan menggerakkan kekuatan jihad ini. Walaupun mereka sedikit tetapi mereka tidak pernah berputus asa kerana mereka yakin dengan janji kemeneangan daripada Allah SWT.

Kembali kepada persoalan yang diperbincangkan, seharusnya kekuatan ini dikembalikan dari dalam dada umat Islam. Mereka seharusnya sedar bahawa sudah tidak ada masa lagi untuk bermain-main dengan tipu daya yang telah dirancang oleh musuh-musuh Islam ini.

Persediaan kearah itu perlu dilakukan, bukan bermakna dengan mengangkat senjata dan terus menuju ke medan perang tetapi pelbagai cara lagi antaranya berjuang dalam pembelajaran, berjuang dalam ekonomi dan pelbagai lagi. Sesungguhnya skop jihad ini amat luas tetapi telah disempitkan oleh orang yang dengki terhadap agama yang benar ini.

Jadi, kesimpulannya sudah sampai masa untuk kita semua kembali bersungguh-sungguh dalam melakukan segala jenis amal perbuatan dalam kehidupan ini. Do the best brother.


Mati pada jalan Allah, cita-cita tertinggi kami

Perkataan mati tidak dapat dipisahkan dari kamus hidup seorang mukmin yang beriman. Bahkan inilah yang selalu dikejar dan dicari dalam hidup mereka. Teringat seorang mujahid pernah berkata," andai kata aku mempunyai sepuluh nyawa, ingin aku gunakan ia untuk mati syahid dijalan Allah".

Mati juga di sabdakan oleh Rasulullah, "Barang siapa yang mengingati mati, nescaya dia adalah orang yang cerdik dan bijak". Kenapa orang yang mengingati mati adalah orang yang cerdik? Hal ini bukan kerana dengan mengingati mati menjadikan dirinya cerdik tetapi falsafah yang tersimpul di sebalik ingat mati.

Orang yang sentiasa mengingati pemutus kelazatan dunia ini sentiasa berfikir jauh buat menyediakan persediaan selepas mati, kerana dia tahu masih ada alam yang bakal di tempuhinya.

Tetapi mati yang macam mana yang dikehendaki? Oleh itu, kita dapat lihat bagaimana para salafusoleh terdahulu berlumba-lumba dalam mencipta seni kematian yang indah. Bagaimana syuhada dengan gayanya dalam mendepani musuh-musuh Allah SWT, ulama dengan gayanya dalam membimbing ummah dan pelbagai lagi seni kematian yang mereka coratkan buat menemui Allah dengan pernuh keindahan.

Mereka tahu dan sedar matlamat kejadian mereka tidak lain adalah semata-mata kerana Allah. Oleh itu, mati pun mereka jadikan semata-mata kerana Allah SWT.

Inilah cita-cita tertinggi orang-orang beriman yang tak dapat diterima oleh akal manusia yang satu ketika dahulu melonjakkan umat Islam Ke atas agama-agama yang lain.

Waspadalah sentiasa wahai sahabatku dengan sabda baginda Rasulullah ini," Cintakan dunia dan takutkan mati" kerana inilah yang menjadi pelemah kepada uamt Islam itu sendiri. Sekali gus menyebabkan janji kemenangan dari Allah tertangguh.

Bila kita jelas matlamat hidup.

Apabila semua perkara telah jelas kepada kita semua tunggu sahaja untuk dilaksanakan bagi mereka yang berfikir. Jika ia sekadar hiasan pembacaan dan buat menambah ilmu tanpa disertai dengan amal tunggu sahajalah kerosakkan yang lebih parah datang menjengah.

Matlamat hidup yang jelas bagi seorang muslim perlu digarap dari seawal usia mungkin sehinggalah mereka meniti kedewasaan. Umat Islam yang berwawasan dan bermatlamatkan jauh perlu dikembalikan sekali lagi di zaman ini.

Bukan lagi khayalan dan omong-omong kosong tetapi satu tindakan perlaksanaan untuk membuktikan keizzahan agama ini. Sudah tiba masanya untuk kita yang telah jelas arah tujuan hidup ini bergerak untuk menyedarkan mereka yang masih lena di luar sana.

Bila kita jelas matlamat hidup maka insyaAllah, Allah akan mempermudahkan jalan-Nya bagi kita untuk mencapai trofi kejayaan dunia akhirat yang penuh makna.

No comments:

Post a Comment