Friday, August 10, 2012

Sahabat cilikku

Dua orang yang kukenali untuk barang seketika tetapi kesan dari mereka tak dapat dilupakan. Celoteh mereka bagaikan mengetuk kepala ini yang telah lena sejak sekian lamanya. Tiba-tiba merasakan bahawa saat penjemputan ke alam barzakh semakin hampir. Tatkala, disapa oleh kanak-kanak yang masih hijau umurnya ini sangat memberikan kesan kepada diri ini walaupun mereka mempertikaikannya antara satu sama lain.

Pak cik, pak cik selalu datang sini ye jual buku ni?

Banyaknya buku pak cik jual, saya nak beli pak cik tapi saya ada sepuluh ringgit sahaja.

Eh, bukan pak cik lah, urban pun takde lagi kat rambut.

Pak cik, pakcik, bagilah free buku ni. Nanti bolehlah kami ambik semua.

Pak cik datang sini tak lagi minggu depan?

Antara dialog aku dengan kanak-kanak ini yang sempat ku ingati. Antara kata-kata yang sangat memberikan kesan pada diriku ialah tatkala seorang kanak-kanak yang bernama Megat menyebut kepadaku,"Eh, bukan pak cik lah, urban pun takde lagi kat rambut."

Mungkin pada kalian semua ia adalah kata-kata yang biasa tetapi bagiku ia mempunyai makna yang pernuh tersirat yang perlu diselongkari bagi mengenali hakikat kehambaan seorang hamba pada tuhan-Nya.

Aku betul-betul bersyukur padamu tuhan kerana rahmatmu telah mengingatiku melalui hanya dengan melalui kanak-kanak yang sangat hijau umurnya. Aku tak tahu kenapa, kerana  saat ini aku merasakan bahawa bagaikan tiada apa-apa yang aku lakukan pada-Mu. Semuanya bagaikan Kosong.

Kini, usiaku sudah menjejak 20 an. Tetapi kenapa bagaikan masih banyak lagi perkara yang tidak aku tunaikan dan laksanakan pada-Mu. Terasa bagaikan diri ini mempunyai begitu banyak khilaf dan silap pada-Mu, Ya Rabb. Adakah ini sebagai peringatan dari-Mu untuk diriku yang hina ini, ya tuhanku yang maha pemurah.

Adakah aku masih belum mahu merebut peluang yang masih diberikan oleh-Nya ini. Masih belum tiba masakah aku untuk menerima hakikat ini. Hakikat yang perlu diterima oleh setiap jiwa-jiwa yang menempuhi laluan-laluan dakwah ini.

Tidak aku nafikan bahawa kebatilan dan haq, tidak akan sama sekali pernah bersama. Salah satu mesti berdiri, tetapi apa yang pasti yang HAQ tetap akan mungcul di akhirannya. Peringatan ini tanda kasih sayang-Nya kepada diriku ini tetapi bersediakah aku untuk menerimanya. Adakah kedegilan masih mengeras di hati ini.

Sesungguhnya Rahmat pengampunan-Nya sangat luas, malah lebih luas dari langit dan bumi serta seisi alamnya. Hakikat ubudiyyah ini perlu dikembalikan dan sudah sampai masanya nafsu dilumpuhkan demi sebuah cita-cita yang murni.

Sekali daku melepaskan peluang ini disini, aku sedar bahawa tiada lagi peluang ini buat kali kedua disana kelak. Kematian yang pernuh dengan seni kemuliaan perlu dicorakkan dari sekarang kerana mana mungkin aku akan memperolehinya jika aku masih di tangkuk yang lama.

Perubahan kearah itu perlu dilakukan kerana mungkin satu ketika nanti, di mana aku menatap kembali risalah  ini tatkala menjangkau usia di 40 an tiada lagi kata-kata penyesalan yang serupa ini. Apa yang lebih malang apabila tubuh ini sudah berada di dalam rumah yang tidak aku akan keluar lagi darinya. Tidak takkan ku benarkan ia terjadi.

Ya, Allah sesungguhnya aku memahami mesej yang engkau cuba sampaikan ini melalui hambamu yang masih cilik ini. Utusan-Mu ini persis tatkala dimana Khalifah Amirul Mukminin Umar ibn al-Khattab ditegur oleh seorang kanak-kanak dengan katanya," Wahai Amirul Mukminin , bertakwalah kamu kepada Allah".

Teguran ini telah menyebabkan saidina Umar berasa sebak di dada dan mengucapkan terima kasih kepada budak itu atas peringatan yang diberikan. Siapa tahu dalam bentuk bagaimana Allah menzahirkan kasih sayang-Nya pada hamba-Nya, tetapi bagi jiwa mukmin yang menerima pelbagai peristiwa yang melanda dirinya pasti disitu terselindungnya hikmah dari sang maha pengcipta.

Mungkin kita tidak akan berjumpa lagi wahai sahabat-sahabat cilikku, tetapi ketahuilah bahawa aku cukup senang dengan diri kalian semua. Minat kalian terhadap buku amat mengujakan diriku ini. Mahu sahaja aku hadiahkan khazanah ilmu ini pada kalian tetapi apakan daya ianya bukan milikku.

Terima kasih kepada kalian semua walaupun kalian tidak memahami apa yang berlaku tetapi inilah kasih si khaliq melalui perantaraan kata-kata kalian. Megat Daniel Aqlan, Naim, Azim, dan yang lain-lain lagi yang tidak ku sempat mengingati nama-nama mereka.

Moga kita akan bersua lagi suatu hari nanti dan kalianlah penyahut obor-obor bagi ummah ini dimasa hadapan kelak.

1 comment: