Tuesday, December 23, 2014

Satu tahun yang kehilangan November.

Bismillahirrahmanirahim,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan segala nikmat bagi hamba-hambanya. Nikmat yang tak mampu direnung dan difikirkan dengan akal kepala manusia. Terkadang ia datang tanpa disedari tatkala seorang manusia itu di ulit dengan pelbagai masalah.

Benarlah firman tuhan tatkala, ayat ini dibaca, "kun fayakun" jadilah maka jadilah ia. Persoalan yang tinggal bagi hamba yang serba lemah ini pernahkah kita bersyukur dan bersabar di atas tiap-tiap ujian yang diberikanNya. Tepuk dada tanyalah Iman.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, kini tahun juga akan melangkah ke hadapan yang mana kita tidak pasti apa yang akan menanti kita semua di hadapan.

Saat penulisan ini dicoretkan, di beberapa buah negeri pantai timur sedang di landa banjir yang teruk. Banjir yang sekian lamanya tidak hadir datang tanpa diundang. Mungkin inilah peringatan dari Allah bagi sekalian manusia bagi mengingati kemaha kuasaanNya di atas muka bumi ini.

Melihat langit yang mendung dan hitam seakan-akan tiada tanda mahu berlalu pergi bagaikan segerombolan tentera yang terpacak teguh di atas tanah dan menampakkan kekuatannya kepada manusia. Bersiap sedia menunggu arahan daripada si pemerintah bagi menjalankan tugasnya.

Nauzubillah min zalik, kita semua bermohon perlindungan daripada Allah dari bala yang akan ditimpakanNya ke atas hamba-hambaNya dengan sebab tangan manusia yang ingkar dan kufur terhadap segalan arahan dan perintahNya.

Selagi manusia hidup di dalam kelalaian dan keingkaran di tambah dengan pemerintah yang zalim, maka bersedialah tanpa mengenal yang baik atau jahat pasti akan disapu sekali gus dengan ledakan kemungkaran dariNya.

Sebelum kemungkaran itu dijelmakan dalam bentuk realiti, peringatan disampaikan buat kali terakhir berkali-kali. Puting beliung yang tak pernah berlaku terjadi dalam keadaan berkali-kali. Jika dahulu di Kedah, kini ia datang ke Sabak Bernam. Bermain-main diatas tanah sawah dan lapang seakan mengacah akan menghampiri binaan dengan tangan manusia dan jika saat itu manusia masih berdegil maka langit dan bumi akan berpadu menunggu arahan dari sang pencipta.

Ya Allah, peliharalah kami dari dosa noda yang menghambat kami ke arah kemungkaranMu. Ampunilah kami ya Allah di atas dosa-dosa kami kerana sesungguhNya Engkaulah tuhan yang maha pengampun dan maha mengasihani.


Tuesday, October 14, 2014

Andai anda penat, ingatlah...

Andai anda penat, ingatlah bahawa ada orang yang lebih penat dari diri  anda. Kepenatan yang kita sering laungkan ini bermula dari minda kita sendiri. Kitalah yang membentuk diri kita untuk apa kita dijadikan dan diprogramkan.

            Cuba bayangkan kepenatan yang dilalui oleh sahabat baginda rasulullah ketika menghadapi peperangan mu’tah yang mana kita ketahui dengan jarak perjalanan yang sangat jauh beribu-ribu batu kilometer dan dengan kelengkapan yang serba kekurangan dalam menghadapi musuh yang berganda-ganda dari bilangan tentera kaum muslimin, tetapi persoalannya dimanakah kekuatan mereka sehingga berjaya menempias jauh kepenatan  itu.

            SubhanaAllah, dari mana lahirnya kekuatan ini. Mereka juga manusia seperti kita tetapi apa yang membezakan mereka dengan kita semua. Apa yang menyebabkan keazaman mereka tertanam begitu rapi. Mengapa umat pada akhir zaman ini begitu lesu dan mudah mengalah dengan keadaan akhir zaman ini. Di manakah kehebatan orang-orang yang mengaku mereka sebagai muslim. Tidak terlihat lagi para-para pemuda Islam yang mendabik dada dengan pernuh kemegahan.

            Kesilapan apakah ini yang menyebabkan kita merasakan bahawa kita terus tenggelam dalam kekesiaan yang sering menghambat perjalanan hidup kita ini, sehingga terbit dari mulut ini, “Aduh, aku sudah penat dengan kerja ini”. Di manakah orang yang mampu menyatukan gerak kerja kita ini bagi menumpaskan kerajaan Rom moden pada hari ini? Siapakah pemimpin muda kita yang mampu memimpin barisan ketenteraan ummah yang rapuh pada hari ini seperti mana pernah dilakukan oleh Zaid bin Harithah.

            Ya, kita berasa sangat penat untuk memikirkan apa yang sedang melanda kita pada hari ini.Mengapa pemuda hari ini tidak sekelihatan pemuda di zaman Rasulullah. Apakah pemuda hari ini sebegitu lemah! Jadi dimanakah kesilapannya?

            Tiada yang silap dan tiada yang salah. Saudaraku, ketahuilah apa yang engkau persoalkan ini seakan-akan pertanyaan demi pertanyaan yang pernah ditanyakan sahabat Rasulullah saw pada baginda. Kita pun sama seperti mereka, jika kita merasa penat mereka pun merasa penat, bahkan lebih penat dari kita. Perjuangan mereka mununtut mereka untuk bersabar sangat lama sehingga mereka dibenarkan mengangkat senjata. Sehingga setiap pertanyaan dan cadangan untuk melawan dibalas dengan jawapan baginda dengan sabar.

            Mereka patuh dan taat walau mereka terpaksa bertahan dalam tempoh masa yang sangat lama. Kezaliman dan kekejaman serta penindasan yang mereka lalui dihadapi hari demi hari dengan tabah dan sabar. Ini kerana baginda Rasulullah bersama dengan mereka turut menghadapinya sehingga turun ayat perintah hijrah.

            Tiada beza kepenatan mereka dengan kita, apa yang mebezakan adalah kecekalan dan keazaman yang utuh untuk menghadapinya. Semua ini adalah ujian dari tuhan yang maha esa bagi melihat sejauh mana hamba-hambanya berusaha dalam meraih keredhoan-Nya. Selain itu juga, inilah tapisan dalam mengenali hamba-hambanya yang ikhlas dalam meniti liku-liku perjalanan yang penuh dengan ranjau duri ini.

            Akhir bicara, andai anda penat ketahuilah bahawa mereka yang sebelum kita telah berpenat terlebih dahulu sebelum kita. Nescaya pasti kalian akan tersenyum dan memandang ringan kepenatan ini. Teruskanlah langkahmu wahai teman dan jangan sesekali berhenti sehingga engkau dihentikan dengan pemutus kelazatan.




Monday, September 29, 2014

Jangan tanggungnya seorang diri

Jangan tanggungnya seorang diri kerana engkau punya teman dalam perjuangan ini. Ya, setiap apa yang dilakukan rasalah keberadaan teman seperjuanganmu di samping. Percayalah mereka juga sedang penat dan bersusah payah demi menjayakan misi dan agenda Islam ini. Kita semua sama-sama berpenat lelah dalam usaha yang mulia ini.

Sering kali kita merasakan keseorangan kerana emosi yang terusik dan ditambah lagi dengan godaan syaitan-syaitan yang menggoda kita dari semua ruang sudut yang ada untuk melemahkan gerak kerja dakwah kita ini. Kadang-kadang kita lupa siapa yang memberi kita kekuatan untuk terus kita beristiqomah dalam perjuangan ini. Jalan ini walaupun ia lurus tetapi di setiap persimpangan tersedia keindahan dan ujian yang kadang-kadang akan menlambatkan perjalanan kita dari destinasi yang sebenar, tetapi apa yang lebih teruk ialah kita terus terpesong dari jalan yang lurus tersebut.

Persediaan dan bekalan itu perlu agar kita tidak terpengaruh dengan ajakan pujuk rayu keindahan dunia ini. Bekalan inilah yang akan memastikan kita terus memacu laju untuk menyampai arah tuju sasaran. Reset your mind to achieve your goal. That is very important to us as muslim. Sayang seribu sayang bila musuh bergerak laju dari arah timur,barat,utara, dan selatan untuk menyerang Islam dari semua penjuru, kita semua masih leka dan alpa diulit dengan nafsu syahwat masing-masing.

Teman saat inilah engkau perlu dalam menguatkan dan menyuntik kembali bius-bius kekuatan bagi aku meneruskan jalan juang yang ditinggalkan ini bagi menyambung baki-baki sisa larian. Kerana aku sedar saat baton larian bertukar tangan itu saat untuk engkau berehat dan aku pula yang meneruskan larian ini. Doakan aku wahai teman yang telah berehat dari larian ini. Pecutanmu telah menyemarakkan diriku untuk menghabiskan larian ini.

Perjalanan yang jauh ini menuntut teman di samping kerana tanpa teman amat sukar bagi meneruskannya. Kadang-kadang teman disisi silih berganti bagi menemani perjalanan ini. Apa-apa pun aku tahu niat dan matlamat kita semua sama demi melihat sinaran cahaya agama ini kembali menyinari alam ini. Kekadang aku juga mengeluh padamu teman kenapa perjalanan kita ini begitu lambat untuk tiba di destinasi yang kita semua dambakan dan tidak kurang teman-teman perjalanan yang telah berehat di alam yang abadi sana.

Tetapi engkau teman sentiasa menasihatkan dan menjadi pendorong semangat untuk kami semua menghabiskan trek laluan ini melalui firman tuhan dan juga sabdaan baginda Rasulullah saw. Setiap kali kami mendengar firman tuhan yang mengemesik ke jiwa kami ini, kami sedar dengan kelemahan dan begitu kami sangat mengharap pertolongan dan bantuan dari empunya kerajaan langit dan bumi ini. Ungkapan dan kalam mulia baginda nabi Muhammad saw saat terucap di hadapan kami bagaikan saat itu kami menghadap baginda dan mendengar bait-bait mulia kalam baginda.

Inilah kekuatan kami bila kita semua berteman dan berjemaah. Oleh sebab itu wahai temam, janganlah menanggung sesuatu dengan bahumu bersendirian. Percayalah engkau juga mempunyai teman seperjuangan yang juga mempunyai pelbagai masalah dan malahan tidak sedikit untuk diselesaikan hanya semata-mata kerana ummah. Di mana-mana sahaja di bumi Allah ini, andai matlamat dan cita-citamu untuk meninggikan kemuliaan Islam ini, percayailah bahawa kami adalah teman kalian dan kami juga turut berusaha di tempat kami.

Janganlah bersedih wahai teman, kerana kita ada Allah dan Rasul untuk membimbing perjalanan ini. Semoga bayaran syurga menjadikan penat lelahmu hilang dari dirimu. Dan akhir sekali percayalah bahawa engkau tidak berseorangan di sini.


Monday, September 1, 2014

Malaysiaku

Malaysiaku

Malaysiaku kini engkau sudah menjangkau 57 tahun,
pengorbananmu satu ketika dahulu terpercik dengan darah syuhada,
Mereka bergerak di atas satu panji akidah demi pembebasanmu,
Berjuang tanpa kenal erti penat lelah,

Malaysiaku,

Jangan engkau lupai nama tokoh ulama pejuang ini,
Tok Ku Paloh penasihat sultan Terengganu dari kemasukan tipu muslihat British,
Membimbing Mat Kilau dan Datuk Bahaman dari pejuangan bangsa kepada pejuangan jihad ummah,
Mereka ulama tanah melayu berjasa besar,
Demi melihat tanah melayu berdaulat,

Malaysiaku,

Tuk Janggut pejuang pemberani, pemimpin masyarakat sekaligus ulama,
Dikata penjajah bagai penderhaka kononnya beliau si pemecah belah,
Kebenaran sentiasa bersama walau beliau terkorban syahid,
Jasa dan pejuangannya sentiasa diingati,

Malaysiaku,

Usah engkau lupa jasa pejuang agama,
Tanpa mereka engkau hilang arah tujumu,
Justeru mereka membimbing kearah pejuangan yang murni,
Agar kita semua sentiasa dalam lindungan dan pertolongan Allah,

Malaysiaku,

Daku melihat mereka sentiasa dikesampingkan,
Padahal merekalah orang yang banyak berjasa,
Agar mereka juga diingati,
Sebagai pahlawan pembebasan ummah.

Malaysiaku,

Kita bebas dari belenggu jasad tetapi tidak akal,
Semoga kita sedar bahawa jasad tanpa akal tidak kemana,
Kerana itulah syarat menuju masyarakat madani,
Semoga akal kita juga turut merdeka dari belitan pengaruh penjajah,

Malaysiaku,

Aku bangga menjadi sebagai salah seorang wargamu,
Semoga engkau terus gah dan memimpin di mana sahaja,
Kerana sejarah telah menzahirkan kehebatan kita,
Agar ia terlakar kembali di pentas duniawi.

Salam Merdeka.

Monday, August 11, 2014

Selangor kemana arah tujumu sebenarnya?

Bismilahirrahmanirrahim, daku mulakan bicara kalamku bagi memperkatakan isu yang menimpa rakyat Selangor kini. Bukan niat untuk membincangkan apalagi menganalisis isu yang berlaku kini. Siapalah diriku untuk memperkatakan hal ini sedemikian ini. Cukuplah pakar penganalisis politik dan orang yang berautoriti di luar sana untuk memperkatakan hal ini. Benda yang sudah serabut di tambah pula oleh pebagai perencah orang awam menambah lagi kerabutan ini.

Mengulas isu yang sangat memeningkan ini, aku awal-awal lagi mengambil tindakan berlepas diri dari apa yang berlaku kini. Kini apa yang menjadi sandaran dan peganganku kini ialah suara yang datang dari mulut Tuan Guru Presiden PAS. Cukuplah dia seorang sahaja yang menjadi dahan pokok buatku untuk berpaut dari terus terjerumus ke dalam lumrah jurang gunung yang dalam.

Apa yang berlaku kini?

Aku melihat dan terus melihat sehinggalah kini. Dari isu "Kajang Move" beralih pula kepada "Pertukaran MB Selangor" dan terus bergerak kepada masalah baru "Pinang Tunnel". Aku pun tak tahu berapa ramai orang yang diluar sana berasa meluat dengan permainan politik kepartian kalian semua. Dahulu kalian mengatakan kebajikan buat rakyat Selangor tetapi kini sebuah negeri menjadi mendan buat parti kalian menari-nari.

Satu demi satu yang kalian semua lakukan pasti akan mendatangkan kemuakan pada rakyat Selangor. Mereka masyarakat Selangor yang rata-ratanya masyarakat bandar yang mempunyai akses luas kepada internet pastinya sudah bosan dengan isu yang berantai ini. Satu demi satu masalah baru datang tanpa menyelesaikan masalah yang lama dan kini terus bertambah. Agak-agaknya berapa lama masyarakat awam akan bersabar dengan sketsa politik yang tanpa "Ending" ini.

Sampai satu tahap kami rakyat biasa melihat bahawa kebodohan demi kebodohan terhidang di atas pentas pentadbiran negeri yang telah dikuasai oleh politik yang bernama Pakatan Rakyat ini. Sampai bila ia akan berterusan? Sedangkan parti lawan tersenyum simpul mungkin agaknya mereka menantikan siapakah yang akan menyumbat gol kemenangan di akhirnya.

Bila semua bebas mengulas maka siapa terjejas?

Ini hak kami untuk menyatakan pandangan kami dan siapa kamu untuk menutup kebebasan kami bagi melahirkan analisis dan pandangan yang ingin kami nyatakan ini. Ooo, kamu menyatakan soal kebebasan dalam menyatakan pandangan nampak macam benar dan tiada salahnya tetapi cara dan kaedah itu yang tidak menepati. Ok, mudah dan "simple" kalian semua mari baca kisah ini.

Al-kisah tersebutlah kisah seekor ayam ini yang bernama Becok. Becok ini diberi nama kerana beliau suka memperkatakan sesuatu hal ayam yang lain. Tidak kiralah dari hal diri sendiri sampailah hal ayam yang lain. Sehingga hal ini menyebabkan semua ayam-ayam yang lain menjadi serabut dengan si Becok ini.

Berkata seekor ayam, "Kita pun riuh juga ayam-ayam yang lain tapi tak sampailah nak riuh-riuhkan pasal ayam-ayam yang lain". Ayam-ayam yang lain pun naik serabut bila ayam yang seumpama Becok ini bukan lagi menambah kesatuan para-para ayam, malahan menambah lagi perpecahan dikalangan ayam dan juga kebencian.

Balik-balik siapa akan rasa muak dengan panaroma yang berlaku ini? Sudah tentu rakyat sendiri. Pentadbiran entah kemana, apa lagi untuk membicarakan isu-isu berkenaan rakyat. Akhir sekali setiap orang sibuk buat forum kenapa kita perlu pecat dan kenapa begini dan begini tanpa temui titik noktah. Kalau aku mungkin aku akan tunggu dan lihat macam pihak lawan yang sedang menanti dengan sabar gol kemenangan ini.

Tapi apa pula kata bagi rakyat biasa yang tiada tahu menahu perkara ini,"mungkin mereka akan berkata kamu ni nak perintah negeri ke nak main-main!!!". Pelbagai lagi kata-kata lain yang akan keluar yang menunjukkan kebosanan mereka untuk mengikut arus yang tidak mengenal yang mana hulu dan hilirnya malahan terus bercabang sehingga memeningkan arah tuju yang sepatutnya.

Ada kalanya mungkin perpisahan jalan yang terbaik.

Susah dan sukar untuk mengungkapnya tetapi ada masanya itulah pilihan yang terbaik yang perlu diungkapkan jika perkara sebegini tidak menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Adanya penCERAIan bila kata kesefahaman itu tidak dapat lagi dijadikan sebagai satu puncak kesefahaman.

Tidak mengapa walau kita akan berpisah tetapi agenda kebajikan yang menjadi tujuan dan matlamat politik bagi semua pihak masih lagi boleh dilakukan. Penulisanku ini seakan-akan aku mengharapkan Pakatan Rakyat bubar suatu hari nanti.

Ya, memang benar aku sangat mengharapkan Pakatan Rakyat untuk bubar kerana perkara ini sangat meletihkan dan aku sedia maklum walaupun kalian berada di atas kapal yang bernama Pakatan tetapi ideologi setiap penumpangnya tidaklah sama. Ada yang membawa misi kebajikan demi rakyat dan ada yang membawa kebajikan menurut Islam demi rakyat dan pelbagai lagi kepentingan di dalam hati yang tiada siapa yang tahu melainkan pemilik bagi para-para hati.

Penyatuan masih relevan untuk diteruskan andai kata masih ada seorang nakhoda kapal yang mampu memimpin keseluruhan anak kapal yang pelbagai ini. Dan ini bukanlah penulisan yang menari megah di atas papan "keyboard" buat merancakkan lagi suasana senario yang berlaku kini, tetapi inilah getusan hatiku yang mengatakan andai kata tiada nakhoda penyatuan maka berpisahlah.

Walau diriku bermatlamatkan Islam tetapi aku bisa bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang membawa matlamat kebajikan, keadilan dan apa sahaja asal sahaja ia tidak bercanggah dengan Islam.

Akhir kata, jika sudah tidak ada "Nakhoda Penyatuan" di atas kapal yang besar ini maka kembalilah ke kapal masing-masing dengan nakhoda kalian yang takkan ada perselisihan di atasnya.



Ku terus menanti dan menunggu..



Tuesday, August 5, 2014

Alangkah indahnya jika KITA adalah "DOTA".

Aku melihat dan meneliti golongan manakah yang akan menjadi juara di akhir permainan. Ternyata permainan DOTA ini pernuh dengan cabaran dan halangan yang mencabar untuk seseorang itu bergelar juara. Tidak ada yang mudah dalam melansungi permainan yang penuh mencabar ini. Jika berseorangan alamatnya kita menunggu mati tapi yang pasti musuh sentiasa bertambah dan datang ke mari.

Perancangan strategi dan memiliki teman-teman yang mempunyai kemahiran yang berbeza perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi merealisasikan sebuah harapan yang mencanang di gunung yang tinggi. Jika tidak ia rebah tersungkur menyembah bumi.

Jika kita perasan setiap kemahiran yang dikurniakan adalah berbeza-beza bagi setiap karakter pemainan kerana setiap karakter itu mempunyai kebolehan dan kemahiran yang bermanfaat dalam masa-masa tertentu dan di keadaan tentu. Lihat sahaja kita tidak mampu mengalahkannya berseorangan walaupun kuasa karakter tersebut berada di "level" tertinggi. Hal ini kerana ia tetap memerlukan bantuan dari yang lain.

Hairan dan ironinya, kita sentiasa meningkatkan dan menambahkan atau dalam bahasa "gaming" nya "upgrade". Kita sentiasa meningkatkan kekuatan, kebijaksanaan, pertahanan, kelajuan dan pelbagai lagi tingkatan bagi memastikan pahlawan atau karakter permainan kita terus kuat dan hebat untuk terus mendaki peringkat-peringkat yang seterusnya.

Ya, memang benar mereka terus mendaki dan menaik dengan susah payahnya sehinggakan kekadang kita mengeluh kenapa dan mengapa peringkat ini sukar ditawan dan dimenangi. Walau apa-apa pun kita terus berusaha kerana keyakinan pada masa itu jika kita menyerah dan berhenti sudah pasti "game" ini tidak dapat diselesaikan.

Kita berusaha dan terus berusaha sehingga kita meminta bantuan dari rakan-rakan "online" untuk membantu. Bantuan dari luar dari segi nasihat, tunjuk ajar, semangat, teknik, dan juga bantuan, memudahkan kita sekali lagi untuk terus mara walaupun tentangan dan cabaran dari musuh terus meningkat. Musuh semakin kuat tetapi kita teruskan jua kerana mempunyai rakan seperjuangan di sisi.

Berkat kesungguhan dan ketabahan maka kita berjaya menghabisi permainan yang bernama "DOTA" ini. Pernat tetapi amat berbaloi walaupun masa yang diambil sampai menelan berminggu-minggu dan kekadang berbulan-bulan. Siang malam bertungkus lumus demi satu misi dan visi bahawa aku mahu bergelar pemenang arjuna di atas sana.

Ya, kita telah menang dan kita akan mengulang kembali kemenangan tersebut dalam "DOTA" versi baru yang lebih mencabar dan menarik, sehingga mengabaikan makan minum, tidur, interaksi dengan manusia sebenar dan apa yang lebih malang lagi hubungan dengan tuhan.

Ironinya, sedang karakter permainan yang kita main pun mahu ditingkatkan nilai "SPIRITUAL" mereka.


Tidak dapat aku bayangkan jika kita adalah "DOTA" tersebut di alam realiti. Dan ku yakin tidak akan ada negara yang bernama Israel.

Monday, July 14, 2014

Apa Ramadan dah dekat?

Bismillahirrahmanirrahim, Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur dipanjatkan kepada tuhan rabbul jalil atas kurniaan umur yang dikurniakan-Nya kepada kita pada hari ini.

Sedar tak sedar rupanya ramadan sudah amat dekat dengan kita dan tidak sampai beberapa hari lagi kita akan meraikan bulan ramadan. Begitu dekatnya ramadan ini adakah kita telah memuhasabah diri kita kerna mungkin ini adalah ramadan yang terakhir buat kita.

Tak perlu tunggu lama-lama wahai teman, segerakan langkahmu untuk menjana keazaman baru buat membuahkan hasil di padang kenikmatan yang tak dapat dibayang. Keazaman yang sentiasa kita perbaharui setiap kali masuknya tahun baru itu kenapa tidak kita jadikan hal sebegini rupa pada bulan Ramadan. Siapa tahu mungkin inilah ramadan terakhir buat kita.

Teman-teman, sedar atau tidak kita ini sentiasa hanyut dibuai kelekaan dan kenikmatan dunia ni. Kedatangan ramadan ini menyedarkan kita bahawa ada kehidupan orang lain yang perlu kita selami dan dalami. Kedatangan ramadan mengajak kita untuk merenung dan melihat sejenak golongan ini. Golongan fakir miskin yang perlu sentiasa kita perhatikan.

Bulan puasa pasti akan menyaksikan banyaknya kaunter zakat fitrah yang akan dibuka di mana-mana sahaja tempat yang ada, tentu sahaja apabila ditanya oleh sesiapa sahaja kita dengan mudah dan yakin dapat menunjukkan arah tuju kaunter zakat. Tetapi ironinya, bila ditanya tempat agihan zakat untuk mendapatkan zakat pasti kita akan terkial-kial untuk menjawabnya laksana makan laksa pinang yang tidak diberikan kuahnya.

Semoga kedatangan ramadan ini bukan menjadikan alasan untuk umat Islam mengurangkan produktiviti mereka tetapi sebaliknya kita harus sedar bahawa inilah bulan yang menjadikan umat Islam semakin kuat di tahap spiritualnya di latih oleh Allah SWT.