Monday, August 11, 2014

Selangor kemana arah tujumu sebenarnya?

Bismilahirrahmanirrahim, daku mulakan bicara kalamku bagi memperkatakan isu yang menimpa rakyat Selangor kini. Bukan niat untuk membincangkan apalagi menganalisis isu yang berlaku kini. Siapalah diriku untuk memperkatakan hal ini sedemikian ini. Cukuplah pakar penganalisis politik dan orang yang berautoriti di luar sana untuk memperkatakan hal ini. Benda yang sudah serabut di tambah pula oleh pebagai perencah orang awam menambah lagi kerabutan ini.

Mengulas isu yang sangat memeningkan ini, aku awal-awal lagi mengambil tindakan berlepas diri dari apa yang berlaku kini. Kini apa yang menjadi sandaran dan peganganku kini ialah suara yang datang dari mulut Tuan Guru Presiden PAS. Cukuplah dia seorang sahaja yang menjadi dahan pokok buatku untuk berpaut dari terus terjerumus ke dalam lumrah jurang gunung yang dalam.

Apa yang berlaku kini?

Aku melihat dan terus melihat sehinggalah kini. Dari isu "Kajang Move" beralih pula kepada "Pertukaran MB Selangor" dan terus bergerak kepada masalah baru "Pinang Tunnel". Aku pun tak tahu berapa ramai orang yang diluar sana berasa meluat dengan permainan politik kepartian kalian semua. Dahulu kalian mengatakan kebajikan buat rakyat Selangor tetapi kini sebuah negeri menjadi mendan buat parti kalian menari-nari.

Satu demi satu yang kalian semua lakukan pasti akan mendatangkan kemuakan pada rakyat Selangor. Mereka masyarakat Selangor yang rata-ratanya masyarakat bandar yang mempunyai akses luas kepada internet pastinya sudah bosan dengan isu yang berantai ini. Satu demi satu masalah baru datang tanpa menyelesaikan masalah yang lama dan kini terus bertambah. Agak-agaknya berapa lama masyarakat awam akan bersabar dengan sketsa politik yang tanpa "Ending" ini.

Sampai satu tahap kami rakyat biasa melihat bahawa kebodohan demi kebodohan terhidang di atas pentas pentadbiran negeri yang telah dikuasai oleh politik yang bernama Pakatan Rakyat ini. Sampai bila ia akan berterusan? Sedangkan parti lawan tersenyum simpul mungkin agaknya mereka menantikan siapakah yang akan menyumbat gol kemenangan di akhirnya.

Bila semua bebas mengulas maka siapa terjejas?

Ini hak kami untuk menyatakan pandangan kami dan siapa kamu untuk menutup kebebasan kami bagi melahirkan analisis dan pandangan yang ingin kami nyatakan ini. Ooo, kamu menyatakan soal kebebasan dalam menyatakan pandangan nampak macam benar dan tiada salahnya tetapi cara dan kaedah itu yang tidak menepati. Ok, mudah dan "simple" kalian semua mari baca kisah ini.

Al-kisah tersebutlah kisah seekor ayam ini yang bernama Becok. Becok ini diberi nama kerana beliau suka memperkatakan sesuatu hal ayam yang lain. Tidak kiralah dari hal diri sendiri sampailah hal ayam yang lain. Sehingga hal ini menyebabkan semua ayam-ayam yang lain menjadi serabut dengan si Becok ini.

Berkata seekor ayam, "Kita pun riuh juga ayam-ayam yang lain tapi tak sampailah nak riuh-riuhkan pasal ayam-ayam yang lain". Ayam-ayam yang lain pun naik serabut bila ayam yang seumpama Becok ini bukan lagi menambah kesatuan para-para ayam, malahan menambah lagi perpecahan dikalangan ayam dan juga kebencian.

Balik-balik siapa akan rasa muak dengan panaroma yang berlaku ini? Sudah tentu rakyat sendiri. Pentadbiran entah kemana, apa lagi untuk membicarakan isu-isu berkenaan rakyat. Akhir sekali setiap orang sibuk buat forum kenapa kita perlu pecat dan kenapa begini dan begini tanpa temui titik noktah. Kalau aku mungkin aku akan tunggu dan lihat macam pihak lawan yang sedang menanti dengan sabar gol kemenangan ini.

Tapi apa pula kata bagi rakyat biasa yang tiada tahu menahu perkara ini,"mungkin mereka akan berkata kamu ni nak perintah negeri ke nak main-main!!!". Pelbagai lagi kata-kata lain yang akan keluar yang menunjukkan kebosanan mereka untuk mengikut arus yang tidak mengenal yang mana hulu dan hilirnya malahan terus bercabang sehingga memeningkan arah tuju yang sepatutnya.

Ada kalanya mungkin perpisahan jalan yang terbaik.

Susah dan sukar untuk mengungkapnya tetapi ada masanya itulah pilihan yang terbaik yang perlu diungkapkan jika perkara sebegini tidak menemui jalan penyelesaian yang terbaik. Adanya penCERAIan bila kata kesefahaman itu tidak dapat lagi dijadikan sebagai satu puncak kesefahaman.

Tidak mengapa walau kita akan berpisah tetapi agenda kebajikan yang menjadi tujuan dan matlamat politik bagi semua pihak masih lagi boleh dilakukan. Penulisanku ini seakan-akan aku mengharapkan Pakatan Rakyat bubar suatu hari nanti.

Ya, memang benar aku sangat mengharapkan Pakatan Rakyat untuk bubar kerana perkara ini sangat meletihkan dan aku sedia maklum walaupun kalian berada di atas kapal yang bernama Pakatan tetapi ideologi setiap penumpangnya tidaklah sama. Ada yang membawa misi kebajikan demi rakyat dan ada yang membawa kebajikan menurut Islam demi rakyat dan pelbagai lagi kepentingan di dalam hati yang tiada siapa yang tahu melainkan pemilik bagi para-para hati.

Penyatuan masih relevan untuk diteruskan andai kata masih ada seorang nakhoda kapal yang mampu memimpin keseluruhan anak kapal yang pelbagai ini. Dan ini bukanlah penulisan yang menari megah di atas papan "keyboard" buat merancakkan lagi suasana senario yang berlaku kini, tetapi inilah getusan hatiku yang mengatakan andai kata tiada nakhoda penyatuan maka berpisahlah.

Walau diriku bermatlamatkan Islam tetapi aku bisa bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang membawa matlamat kebajikan, keadilan dan apa sahaja asal sahaja ia tidak bercanggah dengan Islam.

Akhir kata, jika sudah tidak ada "Nakhoda Penyatuan" di atas kapal yang besar ini maka kembalilah ke kapal masing-masing dengan nakhoda kalian yang takkan ada perselisihan di atasnya.



Ku terus menanti dan menunggu..



No comments:

Post a Comment