Monday, October 22, 2012

Ada kalanya aku juga penat

Ada kalanya aku penat dengan apa yang aku hadapi sekarang ini. Diri cuba menyembunyikan kemelut perasaan yang sedang dihadapi ini, tetapi apakan daya aku juga insan lemah yang juga perlu dibantu.


Seringkali aku mencemburui insan-insan yang ku bantu dan bimbing. Setiap kali ada masalah dan perkara yang merumitkan, maka akulah yang menjadi tempat rujuk mereka. Maklumlah ketika itu aku telah bergelar senior kepada pelajar-pelajar junior ini. Pengalaman bergelar junior dan memahami dunia para senior memotivasikan diri ini untuk melakukan perubahan kepada generasi baru yang akan menyusul selepasku.

Putaran negatif ini perlu diterbalikkan, agar putaran positif pula yang menguasai. Sering kali kes yang dilakukan oleh para senior itu, jika diselidiki mereka juga pernah menjadi mangsa tatkala mereka bergelar junior. Dua frasa yang berbeza senior dan junior tetapi putaran alamnya tak pernah berhenti dan akan terus berjalan. Baiknya senior maka baiknya junior sebagaimana baiknya rakyat maka baiklah pemimpinnya. Bukan politik yang ingin diusulkan tetapi kebenaran antara dua kaitan yang saling berkaitan walau apa bentuk sekalipun ia.

Bukan senang dan mudah untuk melakukan perubahan. Perubahan pertama bermula dengan diri sendiri dahulu. Pernah satu ketika aku tidak menghiraukan langsung hal ehwal pelajar di sekolahku kerana merasakan diri ini tidak layak untuk mentarbiyah mereka. Tetapi jauh di sudut hatiku, aku takut putaran negatif itu akan terus berlaku. Aku gagahi diri untuk melaksanakan amanah yang diberikan kerana cinta dan kasih kepada mereka semua. Pada hikmahku apa salahnya aku memperbetulkan dan membimbing mereka serta dalam masa sama aku terus mentarbiyah diri ini. Moga-moga aku juga di tarbiyah. Alangkah baiknya tempat mereka itu dapat ku ambil dan tempatku ini diganti oleh orang lain. Terasa pula diri ini ingin ditarbiyah ketika masih junior tetapi apakan daya takdirku bukan disitu.

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Al-Baqarah, 216.

Mendengar luahan kecil hati mereka yang datang berjumpa denganku, kadang-kadang membuatku sayu dan sedih dengan diri mereka. Sehingga ada kalanya aku bertekad untuk membantu mereka. Jauh di sudut hatiku, aku sebenarnya iri hati dengan mereka semua. Kepada siapa aku ingin meluahkan segala-galanya yang terbuku di hatiku ini. Sungguh perit dan sakitnya menanggung ia seorang diri. Tapi biarlah diri ini perit, janji orang lain bahagia. Mungkin sudah tercatit bahawa ini adalah takdir bagiku. Apa yang penting adalah aku terus redho dengan takdir dariNya ini dan berusaha ke arah yang lebih baik. Aku tahu niat baikku ini pasti dimakbulkan oleh Allah suatu hari nanti.

Aku tersenyum melihat dan mendengar suara-suara mereka meminta nasihat dan bimbingan dariku, tetapi aku sendiri sebenarnya tidak terbimbing untuk membimbing mereka. Aku suka melihat mereka mengerjakan kebaikan. Rasa diri ini turut terdorong sama kearah itu. Islahkan diri dalam masa sama, islahkan orang lain. Mungkin ini apa yang perlu aku lakukan sekarang ini.

Masih segar dalam ingatanku saat aku berbicara dengan sahabatku,Ailani berkenaan perihal berkenaan surah al-Saff ayat yang ke dua dan ke tiga. Aku juga mengemukakan ayat 43 daripada surah al-Baqarah. Ancaman dan kecaman daripada hadis ku paparkan buat menyatakan hujah kebenaran bagi golongan ini. Siapakah golongan ini? Inilah golongan yang ramai dan banyak membiak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Golongan yang enak berkata-kata dengan madah-madah bait yang indah tetapi disebalik kata-katanya itu tidak disertai dengan tindakan.

Berkata memang mudah, tinggal sahaja untuk melaksanakan kata-kata itu. Berani aku katakan disini ramai antara mereka yang mendapat suluhan sinar cahaya petunjuk dariNya, menangis di waktu malam dan menyendiri dari manusia kerna menangisi kelemahan diri. Ya, mereka menangis kerana takut saat hari pengadilan menemui mereka. Sebab itulah jikalau dilihat pada hari ini sedikit sekali yang menjiwai apa yang diperkatakannya itu. Ramai manusia pada hari ini hebat dalam berkata-kata, tetapi sayangnya kata-kata mereka yang hebat itu tidak dapat menembusi hati khalayak yang mendengarnya. Mereka berceramah tetapi "audience" nya entah kemana.

Pembicaraan ini memberi begitu banyak manfaat dan pencerahan kepada diriku ini. Tinggal sahaja masa untuk aku berubah dan menyedari tanggungjawab yang sedang terpikul di pundak bahu. Ketahuilah bahawa dakwah melalui perbuatan itu lebih berkesan dari kata-kata.


Setan menjanjikan (menakut-nakuti) kemiskinan kepadamu dan menyuruh kamu berbuat keji (kikir), sedangkan Allah menjanjikan ampunan dan karunia-Nya kepadamu. Dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui. Al-Baqarah, 268.


Pandangan basiroh (hati yang jernih) yang pernah disebut sahabatku Jauharul masihku ingat sampai hari ini. Seorang yang tegas dalam kata-katanya,"Cuba nta tengok, kita ceramah pon pam pon pam tetapi kenapa tidak berkesan. Sebab kita tak dok pandangan basiroh. Pandangan basiroh ni benda apa sheikh? Hati ke hati. Kita ceramah-ceramah tetapi kalam kita dok sapa ke hati mereka sebab kita sendiri dok buat apa yang kita kata dan mungkin kita sendiri yang jauh daripada Allah SWT." Kata-kata dari sahabatku ini masih segar dalam ingatanku.


(kisah saidina Uthman dengan sahabat yang melihat aurat)

Satu riwayat daripada Anas bahawa beliau berkata:" Sewaktu aku masuk menemui Uthman dan sebelum itu aku telah menemui seorang perempuan dalam perjalananku, aku melihat perempuan itu dengan penuh cemik dan kuamati kecantikannya. Apabila aku masuk Uthman terus berkata: " Seorang dari kamu masuk (menemui aku) sedang di kedua matanya (terdapat) kesan-kesan zina. Tidakkah kamu mengetahui bahawa zina kedua mata itu ialah pandangan? Hendaklah engkau bertaubat atau engkau ku hukum dengan hukuman taazir." Lantas aku pun berkata:"Adakah wahyu setelah Rasulullah?" Uthman menjawab: "Tidak, tetapi (itulah) penglihatan nurani, tanda-tanda dan firasat yang benar."

Ada kalanya aku penat dan lemah tetapi aku tahu ini adalah fitrah yang pasti akan dilalui oleh semua insan. Apa yang penting bagi diri yang bergelar daie ini adalah untuk cepat bangkit dan sedar dari kelemahan tersebut. Hidup kita semata-mata untuk melihat dan memastikan cahaya agama Islam ini kembali ke tempat asalnya. Sekaligus menundukkan segala kebatilan yang ada pada zaman ini. InsyaAllah, Allah pasti membimbing hati-hati yang ikhlas pada jalan-Nya. Hiduplah untuk melihat cahaya agama ini bergeluman dalam kehidupan mereka suatu hari nanti. Oleh itu, berusahalah wahai sahabat-sahabat seperjuanganku kearah jalan itu kerana penat kita ini akan berbaloi bila Syurga menjadi ganjarannya.

Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhoan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya. Al-Baqarah, 207.



Friday, October 19, 2012

Adikku 2


Adikku,
Ilmu itu adalah khazanah yang tak terkata

            Adikku, melihat engkau masih lagi dalam kelalaian membuatkan hati abangmu ini begitu gusar dan bimbang terhadapmu. Bukan apa wahai adikku, kebimbangan ini dek kerana melihat betapa tertinggalnya mereka yang tidak mempunyai  ilmu.

Ketahuilah adikku, ilmu itu pasti akan menjaga tuannya dan takkan pernah habis, malahan akan semakin bertambah sekiranya ilmu itu dikongsi dengan sesiapa sahaja. Tetapi tidak pada harta kerna ia akan kian habis dan tidak akan pernah memberikan kesenangan buat selama-lamanya.

Manakala berbeza pula dengan mereka yang mempunyai ilmu jauh meninggalkan mereka yang ketinggalan dalam ilmu laksana mereka bagaikan bintang yang begitu bercahaya di langit angkasaraya.

Adikku, betapa ramai ulama-ulama terdahulu yang telah dimuliakan oleh manusia dek kerna ilmu yang dimilikinya. Mereka telah dimuliakan bukan kerana diri mereka wahai adikku, tetapi mereka dimuliakan kerana ilmu yang mereka miliki.

Wahai adikku sungguh benar perbandingan para ulama dengan para ibadah seumpama perbandingan bintang dan bulan. Sesungguhnya adikku orang yang berilmu dapat menunjukkan jalan kepada manusia untuk mencapai redha Ilahi manakala para abid hanya untuk dirinya sahaja.

Adikku, zaman remaja yang dilaluimu amat membinbangkan abangmu ini tatkala melihat pembelajaranmu tidak terurus. Adikku, apa yang kita belajar di sekolah adalah salah satu dari ilmu yang mesti kita terokai habis-habisan.

Janganlah berpenat dahulu adikku kerana jalanmu masih panjang, berusahalah sedaya yang mungkin kerana dengan ilmu itulah yang menentukan engkau dikemudian hari.

Teringat abangmu ini akan beberapa nasihat dan peringatan dari para ustaz dan ulama yang pernah abang ziarahi. Antara mereka yang pernah abangmu ini ziarahi ialah ustaz Jaya, Tuan guru ustaz Harun Taib, dan Tuan guru ustaz Zulkifli al-Bakri.

Apa yang abang ingin sampaikan kepadamu seperti mana telah di pesan pada abangmu ini diakhir pemisahan kami ialah banyaklah membaca wahai golongan muda.

Membaca, membaca, dan membaca. Itulah kalam yang sering diperingatkan oleh para ulama kita yang ingin melihat sinar cahaya ilmu Islam ini bergemerlapan di kemudian hari.

Bukan apa adikku, tengok dan lihatlah keadaan remaja-remaja seusiamu pada hari ini, sungguh menyedihkan dan membimbangkan bagaikan masa depan yang menunggu mereka adalah malapetaka dan bukan rahmat.

Teringat abangmu satu petikan dari buku yang bertajuk “Risalah al-Nur , Peringatan buat Remaja”. Dalam buku ini di mana Said al-Nuhsi Badiuzzaman ketika mana beliau berada di belakang geriji penjara dan melihat beberapa kanak-kanak sedang bermain dengan penuh gembira dan riangnya. Begitu indah sekali pemandangan yang terlihat sedikit sebanyak mengubat luka lara beliau di dalam penjara.

Tiba-tiba pemandangan itu berubah menjadi satu keadaan yang amat menyedihkan , kanak-kanak yang tadi masih kecil dan putih bersih menjadi besar dengan noda dari maksiat yang menjadi kebiasaan dalam hidup mereka.

Kehinaan dan penyesalan telah menyentap mereka kedalam api yang panas membara dek kerana kedurhakaan di dunia dahulu. Aduhai, alangkah sedihnya kanak-kanak ini apa yang menunggu mereka di masa depan.

Adikku, begitu jauh pengamatan seorang ulama terhadap umat ini dek kerana memikirkan umat Islam di suatu masa nanti. Sedangkan hari ini noda ini telah melumpuri umat Islam sekotor-kotornya.

Adikku, tahu tak kenapa abangmu memperkatakan hal ini kepadamu? Ini kerana abangmu ini ingin sekali melihat engkau menjadi manusia yang Berjaya dan cemerlang dalam hidup ini. Berusahalah adikku dalam menuntut ilmu kerana hanya Ilmu sahaja menjadi penyuluh kita di kemudian hari.

Abang tahu kemampuanmu bukan setakat itu sahaja, teringat saat abang meminta dirimu membaca surah al-Nahlu ketika saat umur mu masih 8 tahun. Sedikit terkejut dan takjub dengan perkembangan dirimu yang dapat membaca surah itu. Kalau abang ketika usia sebegitu pasti sudah tersekat-sekat.

Adikku, engkau bukan pelajar yang lemah walaupun sekarang ini engkau duduk di kelas yang belakang. Mungkin para guru-guru hanya memandang sebelah mata sahaja pelajar-pelajar yang belajar di kelas yang hujung ini, tetapi aku tidak melihat sebegitu. Bagiku ini adalah cabaran dan ujian bagimu untuk melepasinya dengan cara yang bijak dan bersungguh-sungguh.

Berusahalah adikku, abang yakin dengan potensi yang ada pada dirimu. Cuma apa yang perlu ada padamu ialah kesedaran untuk meraihnya. Abang juga seperti adik, bukanlah orang yang cerdik dan pandai tetapi jangan lupa wahai adikku perpatah ada menyebut “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Jangan malu bertanya untuk ilmu wahai adikku.Mungkin kita akan dilihat bodoh kerana banyak bertanya lantaran tidak mengetahui apa yang dipelajari. Tetapi adikku ini lebih baik dari orang yang tak tahu tapi tidak bertanya. Mungkin kita akan malu hari ini, tetapi siapa tahu siapa kita di masa depan. Oleh itu, adikku berusahalah untuk meraih khazanah yang tidak ternilai ini. Hanya dengan khazanah ilmu inilah yang akan mengangkat martabat mu.









Penatnya belajar



Rata-rata antara kita pasti mengeluh dek kerana pelbagai perkara yang akan kita tempuhi dalam dunia pembelajaran. Menempuh dunia ilmu bukanlah satu yang senang dan mudah. Kadang-kadang kita merasa sedih dan iri hati dengan rakan-rakan yang cepat menguasai sesuatu pembelajaran ilmu tersebut. Kenapa aku ini begitu susah untuk memilikinya, keluhan sebegini biasa berlaku dikalangan kita. Prisip asas ilmu adalah cahaya. Cahaya ilmu lah yang menerangi jalan kita semua dan membezakan antara dua darjat antara orang yang berilmu dan orang yang hanya beribadat sahaja.

Adakah hati yang kotor ini yang menyebabkan terhijabnya dengan cahaya tersebut




Hijrah menuju Allah


Bulat nian tekadmu
Dalam hijrahmu itu
Allah nanti kan bersama
Tempuh jalan yang diredhai
Hijrahmu menuju Allah
Ia sunnah para nabi
Para salihin dan muttaqin
Kembara hati menuju Ilahi

Andai rasa diri lemah
Di perjalanan hijrahmu
Sendirian tanpa mampu
Mohonlah pada Tuhanmu 
Hijrah ini memang susah
Hijrah ini memang payah
Hijrah ini menuju Allah
Di hujungnya hasanah

Adikku

Adikku, 
hidup ini sangat singkat

            Adikku, kini aku telah melihat engkau begitu besar di hadapanku. Satu ketika dahulu aku teringat dirimu yang masih kecil ketika engkau dilahirkan pada tahun 1998.  Di mana kedatanganmu begitu bermakna kepada ummi dan abah. Wajahmu sungguh memukau sesiapa yang memandangmu dek kerna sinar nur yang terpancar di wajahmu.

        Teringat  abangmu ini satu ketika dimana engkau masih lagi kecil, peristiwa ini sungguh membimbangkan abangmu ini dan juga abang Hakim. Waktu itu kami masih lagi di sekolah rendah dalam lingkungan umur 8 dan 9 tahun.

            Pesanan ummi untuk menjagamu kami laksanakan tatkala mana ummi mempunyai urusan diluar dan abah belum lagi pulang ke rumah dari tempat kerjanya. Tetapi apakan daya abangmu ini masih lagi kanak-kanak ketika itu dan abangmu terleka daripada menjagamu.

Abangmu dan juga abang Hakim tidak menyedari tatkala dirimu begitu hampir dengan jendela tingkat dan tiba engkau terjatuh dari jendela tingkap itu wahai adikku. Kebimbangan dan kegusaran dalam hati ini hanya Allah SWT yang tahu ketika itu, perasaan gusar seorang abang terhadap adiknya.

Benjolan yang berbekas itu cuba abangmu ini dan juga abang hakim rawat sebaik yang mungkin, kebetulan ummi juga baru balik dari urusannya. Dan ummi cepat-cepat meredakan tanggis kesakitanmu itu.

Kini adikku, engkau bukan lagi kanak-kanak seperti dulu tetapi seorang yang sudah mengjangkau alam remaja menuju kealam kedewasaan.

Bagaikan peristiwa yang berlaku itu, baru sahaja berlalu semalam. Begitu pantasnya masa meninggalkan kita semua dan kini adikku, engkau sudah berada di sekolah menengah dan abangmu ini sedang berhempas pulas berjuang di dalam dunia akademik yang menuntut sejuta pengorbanan bagi meraih kejayaan dimasa depan.

Wednesday, October 10, 2012

Buku Kuning yang penuh makna


Timbunan buku yang terhampar di depanku, kucapai dengan tangan ini buat meneliti isi-isi yang terdapat didalamnya. Tertarik dengan sebuah buku pendidikan islam yang berwarna kuning cukup menarik minatku, bukan kerana kulit bukunya yang menarik tetapi dek kerana cerita sirah yang banyak dikisahkan dalam buku itu.

Sebenarnya semua buku-buku itu hendak dilupuskan kerana sukatan baharu pembelajaran sudah dibuat jadi buku yang lama dilupuskan dengan cara membakarnya. Mungkin pada masa itu teknologi kitar semula masih belum semaju hari ini.

Ahh, itu semua tak penting bagiku kerana aku dah dapat buku apa yang ingin ku perolehi. Buku ini ku tadahi dan aku simpan dalam simpananku. Rasanya agak lama sehinggalah ke satu hari yang menyebabkan buku ini rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Persoalan yang ingin dibangkitkan bukan pasal buku kuning ini tetapi apa yang ada dalam buku kuning ini yang telah Berjaya membangkitkan jiwa kanak-kanak yang masih berumur 8 tahun ketika itu. Buku ini ialah buku pendidikan Islam yang Berjaya membangkitkan semangat seorang kanak-kanak ini untuk turut serta meneladani sirah-sirah perjalanan hidup para sahabat yang terdahulu.

Di dalam buku ini menceritakan bagaimana permulaan Islam yang di hadapi oleh para sahabat ketika era perkembangan dakwah Islam ini. Seharusnya cerita-cerita benar ini perlu diketengahkan kembali dalam masyarakat kita, terutamanya dalam pembangunan kanak-kanak.


Mereka tertipu dengan alam fantasi yang pernuh tipu daya

Sering menonton kartun cepat ternyata merugikan kemampuan anak-anak ...

Amat sedih apabila tipu daya ini melupakan mereka kepada siapa mereka yang sebenarnya. Kenapa ku katakan begitu kerana bayangkan bagaimana kanak-kanak hari ini jika dibandingkan dengan kanak-kanak ketika generasi awal islam terdahulu. Disini ingin ku nukilkan beberapa kisah kanak-kanak generasi awal Islam.

Pernah satu ketika ketika mana saidina Ali mendengar dakwah baginda Rasulullah SAW dan di ajak oleh Rasulullah untuk memeluk Islam, saidina Ali memberitahu Rasulullah untuk meminta izin terlebih dahulu daripada kedua ibu bapanya untuk memeluk Islam.

Selang beberapa langkah membelakangi Rasulullah, lalu terdetik di hati saidina Ali, tuhan baru yang ingin aku sembah ini adalah tuhan yang benar. Dialah yang menjadikan aku dan kedua ibu bapaku. Jadi untuk apa aku perlu meminta izin kedua ibu bapaku untuk memeluk agama yang benar ini. Selepas berfikir sejenak, saidina Ali lalu berpatah balik ke arah Rasulullah SAW kembali dan menyatakan bahawa ia ingin terus memeluk Islam ketika itu.

Kisah kedua berkenaan seorang kanak-kanak perempuan yang telah memeluk Islam dan telah diseksa sehingga dibutakan matanya kerana memeluk agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Begitu teruk dan dashyat seksaannya yang menimpa kanak-kanak perempuan ini langsung tidak mengubah dan menjejaskan langsung akidahnya. Malahan, Allah telah menunjukkan kuasanya dengan mengembalikan kembali penglihatan kanak-kanak perempuan tersebut.

Kisah yang ketiga berkenaan Khalifah amirul mukminin saidina Umar al-Khattab ketika mana beliau berjalan-jalan bersama sahabat-sahabatnya, beliau telah ditegur oleh seorang kanak-kanak yang menyuruhnya,” Ya amirul mukminin bertakwalah kepada Allah”. Lalu dimarahi oleh sahabat Umar dengan mengatakan, “Adakah kamu tidak kenal dengan siapa kamu sedang berbicara sekarang ini!”. Tetapi Amirul mukminin menegur tindakan sahabatnya itu dengan mengatakan, “Tidakkah kamu sedar bahawa kanak-kanak ini sedang mengingatkan aku kepada Allah.”

Lihat sahaja kisah mereka ini maka kita dapat lihat bagaimana begitu besarnya jiwa kanak-kanak ketika zaman era permulaan Islam dengan kanak-kanak di zaman mutaakhir ini. Begitu tinggi wawasan hidupnya, beginilah apa yang telah dicoratkan islam pada mereka. Kanak-kanak yang begitu hijau umurnya sudah dapat berfikir dan merenung sejauh itu bukanlah disebabkan kerana didikan ibu bapanya yang bijak, atau dari baka keluarga yang baik tetapi ini semua jelas terpancar dari kejernihan agama ini yang telah mencoratkan mereka sebegitu di era kebangkitan Islam. Celupan Allah, dan adakah celupan yang baik daripada celupan Allah?


Meletuh buluh biarlah dari rebungnya

Perpatah melayu ini rasanya tidak asing dari kamus hidup orang melayu yang satu ketika dahulu memang kaya dengan perpatah-perpatah yang cukup indah dan cantik. Tetapi kini kian dilupakan oleh generasi muda kerna kealpaan generasi tua. Bukan sekadar bagi orang melayu tetapi ia perlulah diterjemahkan dalam konteks yang lebih luas yakni Islam. Bila disebut Islam pertikaian bangsa dan kaum bukan lagi persoalan yang utama.

Acuan yang baik ialah ketika mereka masih muda. Jika kita lihat pada para tahfiz banyak ibu bapa menghantar anaknya ke sekolah tahfiz ketika mereka masih muda lagi kerana mereka menyedari bahawa pada usia itulah waktu yang terbaik untuk mendidik mereka. Seharusnya itu jugalah yang perlu dikembalikan kepada benih-benih baru Islam.

Bukan disibukkan mereka dengan cerita-cerita kartoon yang langsung tidak mempunyai unsur mendidik di alam realiti, melainkan menyebabkan kanak-kanak tersebut terus terjerat dengan alam fantasi mereka. Kesimpulannya jeratan itu terus terbawa sehingga mereka mejenggah alam dewasa.

Bukan maksudku untuk mempertikaikan semua cerita kartun ini tidak bermanfaat, aku juga tahu di sana juga ada cerita-cerita yang bagus dan membina pemikiran kanak-kanak. Tetapi apa yang ingin ku bawakan di sini adalah sudah masanya kita menghidupkan cerita-cerita sirah, salafu soleh dan para sahabat dalam diri mereka. Bentuklah mereka dengan nilai Islam orang-orang terdahulu dengan membawanya kepada mereka.


Aku kanak-kanak hebat 

          Aku kanak-kanak hebat dengan Islam. Ya, dan aku menyakini bahawa dengan Islam sahaja kami akan menjadi hebat. Wahai kaum-kaum pemuda di luar sana, berusahalah untuk kami yang masih kecil ini. Kami masih belum mengenali dunia seperti mana kalian telah mengenalinya. 

           Wahai kaum pemuda berusahalah untuk kami menikmati nikmat dan redho dari tuhan kami. Janganlah biarkan kami hidup dalam dunia yang dipernuhi fitnah kerana kami bimbang kami akan membesar dalam keadaan jahiliyyah yang akan menyusup masuk kedalam diri kami sehingga kami membesar menjadi penderhaka kepada Allah SWT. 

            Ketahuilah wahai pemuda-pemuda sekalian yang berada di luar sana, jika fitnah kerosakan ini membinasakan kami, kami pasti akan menuntut hak ini di hadapan Allah SWT kelak untuk kalian bagi dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku. 

         Oleh itu, kami meminta dan merayu pada kalian untuk berusaha untuk kami semua yang baru hendak mengenali dunia ini, agar kami semua menjadi kanak-kanak Islam yang hebat. 

Terima kasih bagi yang berusaha untuk kami dan hanya Allah lah yang akan membalas usaha kalian yang bersungguh-sungguh itu.


Monday, October 8, 2012

Air tea buat teman seperjuangan

Seusai melakukan kerja dan menyelesaikan tanggungjawab di kampus. Aku terus pulang ke rumah bagi melepaskan segala penat yang datang menziarah ke tubuhku ini. Ah, sungguh malu rasanya tatkala mata ini bermain turun naik tangga di hadapan pensyarah Agamaku. Entah kenapa hari itu terasa begitu penat sekali.

Sampai di rumah, aku mengambil peluang seketika untuk berehat bagi mengembalikan tenaga ini kerana ku pasti kerja-kerja dakwah masih banyak yang menunggu di luar sana dan perlu dilakukan, tidak kiralah ia di dalam kampus atau luar kampus.

Kadang-kadang aku melantorkan pertanyaan kepada diriku ini, dapatku lihat betapa masyarakat yang hidup di sekeliling kami bagaikan tak terasa dakwah Islam yang kami bawakan ini. Ada kalanya aku merasakan kami hanya sibuk dengan mahasiswa yang terkurung di dalam kampusnya dan melupakan masyarakat diluar sana.

Padaku masyarakat diluar kampus sama penting dengan masyarakat di dalam kampus. Teori-teori dakwah yang dipelajari tidak menyebut pula bahawa dakwah ini hanya bagi masyarakat kampus sahaja. Seharusnya masyarakat sekitar terasa dengan kewujudan dakwah dan keintelektualan masyarakat kampus ini.

"Oohhh, ada. Ingatkan takde." tegur seniorku abang Rasyadan. "Kamu dari mana Muhaimin?"
"Saya dari kampus abang rasyadan. Baru selesai kuliah tadi." Balasku antara mahu tak mahu.
"Hoh, bagus, bagus,bagus..Cer min gi dapur, lepas tu gi buat air tea. Kalau cicah ngan kepok. sedap juga tu." Arah abe syedey padaku.

Hasrat ingin berehat terbantut dengan kehadiran abang rasyadan. Al-maklum dia tu orang tua dalam rumah kami jadi kami kena hormat skit kat dia. Tambahan lagi aku baru sahaja berpindah ke rumah itu maka terpaksalah aku menjadi induksi baru di rumah ini. Kata mereka sesiapa yang baru memasuki rumah wajib melalui tahap sebagai induksi bagi menunjukkan mereka layak menduduki rumah ini. Apalah nasib yang menimpaku ini.Huhuhu...

Sebenarnya abe Syedey gurau je dengan aku. Kalau aku tak buat pun tak mengapa. Tetapi kenapa aku tetap melakukannya kerana disitu aku merasakan bagaikan tersimpul ukhwah persahabatan antara kami.

Tetapi apakan daya, aku ni cepat belajar. Perkara sebaliknya pula berlaku apabila aku pula menginduksi semua orang rumah aku.Hahaha...( sebenarnya perkara sebaliknya berlaku, huhuhu)

"Air tea pun, air tea lahhh..Cicah ngan kepok dap gok ea. Aku pun tengah lapar ni."Monolog jiwa dalamanku ini.

"Beres, abe Syedey. Abe Syedey nak air gapo? Air tea panas atau air tea ais. Air tea panas kalau cicah sekut(biskut) dap (sedap) gok(juga)." Kataku pada sahabatku ini.

"Heh,heh,heh,(tak tahulah macam mana nak tulis bunyi yang telah merubah segala-galanya dalam rumah kami ini tapi kalau ahli rumah pasti tahu bunyi ni, terutama Matniq.) Air batu ah sedap tengah-tengah petang ni, ada ke nak minum air tea panas." Kata abe Syedey padaku.

"Ikut pandai mu aahhh....,"(ni pula adalah induksi baru aku untuk aku tukarkan beliau kepada orang ganu suatu hari nanti. Doakan misi aku ini. Moga-moga aku berjaya suatu hari nanti.) Celah abang Nawi.

"Sihat sikit tubuh badan abe syedey kekgi. Ni dok pakat bahang air batu sokmo." Balasku sambil berlalu pergi ke dapur untuk buat air tea dan juga cenkodok atau aku panggil jeput sayur goreng je.

Sebenarnya kalau nak ikutkan nafsu yang pemalas ni, ingin sahaja aku buat don't know tetapi teringat pula kisah Rasulullah SAW dengan sahabat-sahabatnya. Kisah yang menceritakan daging kambing yang pusing satu kampung. Bukan kambing tu yang berjalan tetapi kerana sifat melebihkan sahabat melebihi diri sendiri menyebabkan daging kambing itu bertukar tangan dari satu tangan ke satu tangan sehingga akhirnya daging itu kembali kepada tuannya yang asal.

SubhanaAllah, inilah berkat didikan dan tarbiyyah dari Rasulullah SAW dan juga generasi awal yang telah terpilih untuk bersama Rasulullah dalam perjuangannya.

Semaga aku dan semua sahabat-sahabatku dapat menjadi seperti generasi awal yang bersama dengan perjuangan Rasulullah SAW. Walaupun aku mengira ia bukanlah mudah dilaksanakan. Moga juga aku tidak lupa untuk menghayati rukun ukhwah yang telah aku pelajari di sekolahku satu ketika dahulu.

"Rukun ukhwah ada 3 adik-adik, pertama taa'ruf iaitu berkenal-kenalan, kedua tafahum iaitu bersefahaman antara satu sama lain, ketiga itsar iaitu melebihkan sahabat lebih daripada diri sendiri. Dan rukun yang ketiga adalah yang paling tinggi dalam rukun ukhwah tetapi ia takkan berjaya tanpa berjayanya rukun yang pertama dan seterusnya rukun kedua." Masih terngiang-ngiang pesanan naqibku ini pada diriku ini.

Walaupun begitu aku merasakan cukup gembira kerana dapat menyediakan Air Tea buat teman seperjuanganku.

Saturday, October 6, 2012

Bila mata terbuka

Memberi sokongan dan semangat baru

Sedang menikmati santapan sup berdengung di sebuah kedai makanan yang terletak di Nilai 3, tiba-tiba datang seorang perempuan dengan bergalaskan sebuah beg datang menghampiri kami. Perempuan itu membawa bersamanya beberapa buah buku serta CD nasyid dan alunan suci bacaan al-Quran. Pada mulanya aku terasa terganggu dengan keadaan tersebut tetapi apabila melihat sahabatku yang ku gelarkan ia sebagai abang Imran melayannya dengan cukup ramah dan baik, membuatkan diri ini sedikit malu. Inikah natijah dari dakwah yang ku pelajari selama ini.

Aku sekadar memerhati keadaan yang berlaku antara perempuan tersebut yang menpromosikan barangnya kepada abang Imran. Jauh di sudut hatiku, aku berasa malu sebenarnya dengan keadaan diriku ini. Abang Imran melayan perempuan penjual tersebut dengan penuh ramah dan kelihatan riak-riak gembira pada wajah wanita tersebut yang dapatku perhatikan. Mungkin kerana memikirkan ada rezeki yang akan diperolehinya di meja tempat kami menjamu selera.

Selepas bertanya itu dan ini, lalu sahabatku ini membeli sekeping CD alunan bacaan al-Quran juz amal daripada perempuan tersebut. Sempat lagi abang Imran berseloroh dengan perempuan tersebut dengan katanya,"Kalau CD ini tak ori, saya nak duit saya balik".Gurau abang Imran dengan disambut senyuman daripada perempuan tersebut. Nampak jelas kegembiraan terpancar terang di raut wajahnya.

Selesai urusan di meja makan kami, perempuan tadi berlalu menuju ke meja yang lain pula untuk menjual barangannya itu. Aku memerhatikan penjual perempuan tadi yang bergerak dari meja ke meja buat melariskan barangannya itu. Moga-moga masih ada insan yang lain seperti kami yang sanggup membeli barangannya walaupun seringkali ditolak oleh orang ramai yang sedang menjamu selera tengahhari.

Dapatku lihat betapa gigih penjual perempuan tadi berusaha untuk mencari rezeki dengan menjual barangannya itu. Sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada meminta sedekah.

Membantu Sahabat

Hari ini, aku dan Hasieb akan membantu abang Imran yang akan berpindah ke rumah barunya yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya. Keadaan rumah kami yang jauh dari tempat kerja abang Imran menyukarkan sedikit sebanyak beliau untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja, tetapi siapa sangka rezeki Allah itu maha luas. Abang Imran telah ditawarkan oleh 'company' nya untuk duduk di rumah sewa yang berdekatan dengan tempat kerja. Harganya pun sangat berpatutan.

Selesai membantu mengangkat semua barang masuk kedalam rumah yang terletak di tingkat 4 cukup menguji tenaga muda kami ini. Mujurlah Hasieb seorang yang perkasa kerana aku dah mula terasa keletihan dek kerana mengangkat barang tersebut. Mahu sahaja aku tidur di rumah baru abang Imran kalau bukan kerana pelawaannya itu yang telah membantutkan hasrat murni ini.

Abang Imran nak belanja sup berdengung, menarik ni. Aku pun belum pernah lagi merasa makanan itu. 'First time' dengar makanan ni,hehehe..Seronok,seronok, fikir bernakku walaupun didepannya ku menolak kaw, kaw supaya dia tak belanja kami. 

Bukan apa aku cuma memikirkan ekonominya sahaja, tetapi tak sangka beliau memang seorang yang berhati pemurah. Rasa-rasanya apa Hasieb fikir ketika aku menolak di belanja oleh abang Imran. 'Jangan libatkan aku dah kot', hehehe..

Berilah harapan

Teringat sebuah lagu nasyid kumpulan Raihan yang pernah menjadi popular suatu ketika dahulu, tak silap aku lagunya bertajuk "Berilah Harapan". Mengingatkan lagu ini teringat aku dengan tindakan yang dilakukan oleh abang Imran tadi.

Katanya,"masyarakat kita hanya sibuk dengan diri sendiri sahaja dan lupa untuk membantu dan menyokong mereka yang lemah". Walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa tetapi kita hendaklah membantu dan memberi sokongan moral kepada mereka, sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk mengubah hidup mereka dengan cara mencari rezeki yang halal.

Kadang-kadang barang yang dijual tidaklah menarik tetapi kita membelinya bukan kerana barang tersebut tetapi sebagai moral kepada penjual tersebut untuk terus berusaha dengan cara perniagaan halalnya itu. Mungkin barang tersebut kita boleh hadiahkan pada jiran, rakan-rakan atau sesiapa sahaja. Tetapi apa yang penting disini kita membelinya sebagai satu tanda sokongan untuk membina moral mereka bagi terus berusaha untuk terus bersemangat dalam perkerjaan halal mereka itu.

Bila mata terbuka

Seharusnya kita perlu sedar akan hal ini, janganlah dek kerana terlampau mementingkan diri sendiri kita lupa pada orang yang lain. Ingat, kadang-kadang dalam harta yang kita miliki itu terkandung hak orang lain yang mesti kita tunaikan. 

Teringat pula satu tagline blog ustaz Hasrizal Jamil, "Erti Hidup Pada Memberi". Mungkin sudah tiba masanya masyarakat kita dibangunkan dengan membangunkan akal,jiwa dan budi mereka semua. Masyarakat kita sebenarnya kosong dari jati diri hidup sebagai seorang muslim yang sejati.

Oleh itu, usaha kearah ini perlu dilakukan dan dihidupkan agar kemuliaan umat islam yang berdiri atas satu bangunan yang kukuh dapat dihidupkan kembali. Bila mata sudah terbuka, apa tunggu lagi? Ayuh, kita bertindak!!!



Wednesday, October 3, 2012

Belajarlah jadi yang terbaik

Bukan semua orang akan mendapat dengan mudah apa yang dikehendaki oleh dirinya. Kadang-kadang aku bertanya kepada diriku ini masih tidak cukupkah apa yang aku ada kini. Apa yang masih aku tidak puas dalam hidup ini. Kenapa aku rasa makin lama, aku semakin malas untuk menulis dan membaca ni. Aku tak tahu dimana silapnya tetapi yang pasti aku kena sedar dari lamunan yang merugikan masa hidupku ini.

Tambah menyedihkan bila aku mula terpengaruh dengan bisikan-bisikan nafsu yang menghiaskan indah sesuatu perkara itu pada mataku ini. Cinta dan ingin rasa dicintai, perkara ini tidak dapat ku nafikan dalam diriku ini tetapi apa yang jelas kebenaran adalah sesuatu yang pahit yang mesti ditelan oleh diri ini, demi meraih trofi yang menanti di akhiran buat pemenang yang tabah dan sabar buat sekalian lamanya. Janji tuhan itu pasti dan janji syaitan itu dusta dan lagi meleset.

Dibayangi dengan kata-kata indah yang berunsur islamik dan gambar yang memaparkan keindahan si empunya diri, cukup membuatkan diri ini menjadi cair. Mungkin bagi sesetengah orang itu adalah baik dan mereka pasti memuji perbuatan tersebut tetapi entah kenapa ku merasakan syaitan mempergunakan kebaikan itu untuk menyesatkan ramai manusia.

Syaitan akan menyesatkan manusia dengan enaknya melakukan kejahatan tetapi tatkala hal tersebut tidak menjadi maka syaitan akan datang dari arah pintu kebaikan buat menyesatkan manusia tersebut. Teringat sebuah kisah seorang imam besar yang dikenali dengan nama Imam Basus yang telah beribadat sekalian lamanya tetapi dek kerana syaitan telah memperdayakannya dengan ibadah tersebut menyebabkan timbul rasa hebat dan akhir sekali ibadah itu punah dan musnah begitu sahaja.

Soalnya ialah Allah ingin melihat sejauh mana kita tunduk patuh kepadaNya ketika masih berada di alam dunia ini. Ya, itu memang benar dunia yang kita sedang duduki sekarang ini pernuh dengan dugaan dan cabarannya, tetapi tanpa cabaran manakan datang manisnya sebuah perjuangan.

Akhir kalam, bersabarlah akhi kerana perjuangan ini hanya sementara. Aku tahu saat ini jiwamu sedang meronta-ronta menahan desakan nafsu dalaman itu. Tetapi percayalah bahawa ia hanya sementara sahaja. Saat engkau membuka mata di sana kelak, keadaan sudah pasti berbeza. Aku percaya kau boleh jadi yang terbaik, juga belajarlah jadi yang terbaik wahai sahabat diriku sendiri.


Monday, October 1, 2012

Teman hidupku, mungkinkah Dia?

Aku termenung seketika memikirkan nasib diri ini, kenapa aku merasakan diriku ini begitu kosong dan sangat jauh darinya. Tidakku ketahui puncanya tetapi tidak daku nafikan tanpanya hidup ini terasa tidak bermakna lagi. Pernah satu ketika saat aku mengenalinya, hidup ini terasa begitu sempurna dan entah kenapa kedatangannya begitu mengirangkan hati ini.

Aku bagaikan seorang kekasih yang amat rindu untuk bertemunya, sehinggakan masa itu ku merasakan begitu menghambat pertemuan kami. Nikmat dari cinta itu begitu indah sehingga tidak dapat ditafsir dengan apa-apa lagi.

Tetapi kini kenapa ku merasakan bagaikan ditinggalkan oleh si dia, hatiku kembali sepi dan kosong. Aku tak tahu lagi di mana tempat untuk aku tuju dan mengadu tanpanya. Adakah ini semua berpunca dari kesilapanku, sehingga menyebabkan dia menjauhkan diri dariku. 

Aku sedar bahawa aku ini adalah manusia yang lemah dan tidak mampu untuk terus menang dalam pertarungan ini. Dan Aku mengharapkan kembali dia sudi untuk bersamaku dalam membimbing jalan hidupku ini.