Saturday, October 6, 2012

Bila mata terbuka

Memberi sokongan dan semangat baru

Sedang menikmati santapan sup berdengung di sebuah kedai makanan yang terletak di Nilai 3, tiba-tiba datang seorang perempuan dengan bergalaskan sebuah beg datang menghampiri kami. Perempuan itu membawa bersamanya beberapa buah buku serta CD nasyid dan alunan suci bacaan al-Quran. Pada mulanya aku terasa terganggu dengan keadaan tersebut tetapi apabila melihat sahabatku yang ku gelarkan ia sebagai abang Imran melayannya dengan cukup ramah dan baik, membuatkan diri ini sedikit malu. Inikah natijah dari dakwah yang ku pelajari selama ini.

Aku sekadar memerhati keadaan yang berlaku antara perempuan tersebut yang menpromosikan barangnya kepada abang Imran. Jauh di sudut hatiku, aku berasa malu sebenarnya dengan keadaan diriku ini. Abang Imran melayan perempuan penjual tersebut dengan penuh ramah dan kelihatan riak-riak gembira pada wajah wanita tersebut yang dapatku perhatikan. Mungkin kerana memikirkan ada rezeki yang akan diperolehinya di meja tempat kami menjamu selera.

Selepas bertanya itu dan ini, lalu sahabatku ini membeli sekeping CD alunan bacaan al-Quran juz amal daripada perempuan tersebut. Sempat lagi abang Imran berseloroh dengan perempuan tersebut dengan katanya,"Kalau CD ini tak ori, saya nak duit saya balik".Gurau abang Imran dengan disambut senyuman daripada perempuan tersebut. Nampak jelas kegembiraan terpancar terang di raut wajahnya.

Selesai urusan di meja makan kami, perempuan tadi berlalu menuju ke meja yang lain pula untuk menjual barangannya itu. Aku memerhatikan penjual perempuan tadi yang bergerak dari meja ke meja buat melariskan barangannya itu. Moga-moga masih ada insan yang lain seperti kami yang sanggup membeli barangannya walaupun seringkali ditolak oleh orang ramai yang sedang menjamu selera tengahhari.

Dapatku lihat betapa gigih penjual perempuan tadi berusaha untuk mencari rezeki dengan menjual barangannya itu. Sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada meminta sedekah.

Membantu Sahabat

Hari ini, aku dan Hasieb akan membantu abang Imran yang akan berpindah ke rumah barunya yang terletak berdekatan dengan tempat kerjanya. Keadaan rumah kami yang jauh dari tempat kerja abang Imran menyukarkan sedikit sebanyak beliau untuk ulang alik dari rumah ke tempat kerja, tetapi siapa sangka rezeki Allah itu maha luas. Abang Imran telah ditawarkan oleh 'company' nya untuk duduk di rumah sewa yang berdekatan dengan tempat kerja. Harganya pun sangat berpatutan.

Selesai membantu mengangkat semua barang masuk kedalam rumah yang terletak di tingkat 4 cukup menguji tenaga muda kami ini. Mujurlah Hasieb seorang yang perkasa kerana aku dah mula terasa keletihan dek kerana mengangkat barang tersebut. Mahu sahaja aku tidur di rumah baru abang Imran kalau bukan kerana pelawaannya itu yang telah membantutkan hasrat murni ini.

Abang Imran nak belanja sup berdengung, menarik ni. Aku pun belum pernah lagi merasa makanan itu. 'First time' dengar makanan ni,hehehe..Seronok,seronok, fikir bernakku walaupun didepannya ku menolak kaw, kaw supaya dia tak belanja kami. 

Bukan apa aku cuma memikirkan ekonominya sahaja, tetapi tak sangka beliau memang seorang yang berhati pemurah. Rasa-rasanya apa Hasieb fikir ketika aku menolak di belanja oleh abang Imran. 'Jangan libatkan aku dah kot', hehehe..

Berilah harapan

Teringat sebuah lagu nasyid kumpulan Raihan yang pernah menjadi popular suatu ketika dahulu, tak silap aku lagunya bertajuk "Berilah Harapan". Mengingatkan lagu ini teringat aku dengan tindakan yang dilakukan oleh abang Imran tadi.

Katanya,"masyarakat kita hanya sibuk dengan diri sendiri sahaja dan lupa untuk membantu dan menyokong mereka yang lemah". Walaupun mereka tidak mempunyai apa-apa tetapi kita hendaklah membantu dan memberi sokongan moral kepada mereka, sekurang-kurangnya mereka berusaha untuk mengubah hidup mereka dengan cara mencari rezeki yang halal.

Kadang-kadang barang yang dijual tidaklah menarik tetapi kita membelinya bukan kerana barang tersebut tetapi sebagai moral kepada penjual tersebut untuk terus berusaha dengan cara perniagaan halalnya itu. Mungkin barang tersebut kita boleh hadiahkan pada jiran, rakan-rakan atau sesiapa sahaja. Tetapi apa yang penting disini kita membelinya sebagai satu tanda sokongan untuk membina moral mereka bagi terus berusaha untuk terus bersemangat dalam perkerjaan halal mereka itu.

Bila mata terbuka

Seharusnya kita perlu sedar akan hal ini, janganlah dek kerana terlampau mementingkan diri sendiri kita lupa pada orang yang lain. Ingat, kadang-kadang dalam harta yang kita miliki itu terkandung hak orang lain yang mesti kita tunaikan. 

Teringat pula satu tagline blog ustaz Hasrizal Jamil, "Erti Hidup Pada Memberi". Mungkin sudah tiba masanya masyarakat kita dibangunkan dengan membangunkan akal,jiwa dan budi mereka semua. Masyarakat kita sebenarnya kosong dari jati diri hidup sebagai seorang muslim yang sejati.

Oleh itu, usaha kearah ini perlu dilakukan dan dihidupkan agar kemuliaan umat islam yang berdiri atas satu bangunan yang kukuh dapat dihidupkan kembali. Bila mata sudah terbuka, apa tunggu lagi? Ayuh, kita bertindak!!!



No comments:

Post a Comment