Wednesday, September 25, 2013

Berbicaralah dengan ulama' walau beliau sudah pergi

Berbicaralah selalu dengan ulama' walau beliau sudah tiada lagi di alam dunia ini. Ulama adalah penerang kepada kegelapan yang menyelimuti ulama. Merekalah yang menggalas amanah ini dibahu buat meneruskan perjuangan para ambiya' dan rasul. Kehadiran mereka menjadikan ummat ini celik akan ilmu pengetahuan. Kehilangan mereka merupakan satu kehilangan yang besar kepada ummah ini.

Mereka sedar akan hal ini, oleh itu mereka telah meninggalkan satu khazanah yang amat berharga kepada umat ini agar umat ini terus dibimbing dalam menelusuri lautan ilmu yang terbentang luas ini. Merekalah yang telah bersusah payah demi mempermudahkan urusan kita yang ada pada hari ini dalam mencari dan meneliti pelbagai ilmu pengetahuan yang ada pada hari ini.

Kitab-kitab karangan mereka menjadikan mereka sentiasa hidup disamping manusia yang ada pada hari ini, walau mereka telah meninggalkan dunia ini beratus-ratus tahun dahulu. Nasihat dan ajaran mereka terus hidup sehinggalah sudah tidak ada lagi masa buat dunia ini.

Membayangkan diri sedang duduk di kuliyah yang diajar oleh para ulama'-ulama' tatkala tangan ini membelek setiap lembaran kertas yang mengandungi penulisan ulama' silam yang sanggup menanggung jerit perih ini demi generasi ummah akan datang. Alangkah indahnya perasaan ini saat diri merasakan seakan-akan para cendikiawan islam sentiasa hidup dan terus hidup demi mendampingi mereka yang cintakan akan ilmu.

Mereka tidak pernah letih dan penat untuk menerangkan dan mencerahkan ummah ini agar sentiasa berada dalam lembayung rahmat ilahi. Tetapi sayangnya bila kebanyakan antara kita mula merasa jemu untuk membelek lembaran khazanah yang ditinggalkan ini. Hanya tinggal untuk difahami dan disampaikan sahaja, itu pun dikira susah dan sukar oleh ummat pada hari ini. Muhasabah diri perlu dilakukan bagi menginsafi diri kerana lihat sahaja bagaimana pengorbanan yang dilakukan umat terdahulu sehingga sanggup mengorbankan masa rehat mereka, sehingga ada juga yang tidak berkahwin kerana tidak pernah terlintas di fikirannya lantaran hanya memikirkan perihal ilmu setiap masa.

Semangat dan usaha yang pernah dirintis oleh ulama' terdahulu perlu dicontohi para pencinta ilmu yang ada pada hari ini. Hal ini kerana kalian telah selangkah melangkah menjejaki perjalanan sang pencerah ummah ini.Semoga suatu hari nanti nama kalian pula yang seharum nama-nama mereka yang telah menyediakan diri mereka demi menyambung perjuangan baginda Rasulullah saw terhadap ummah ini.

Thursday, September 19, 2013

Bila aku mengerti apa itu kehidupan

Nak mengerti bukan satu perkara yang mudah kerana banyak proses kehidupan yang perlu dilalui bagi membuahkan kematangan mendepani hari esok.

Kehidupan sesuatu perkataan yang tidak dapat tidak pasti akan ditempuhi oleh setiap orang yang bergelar insan. Selagi nyawa masih dikandung badan selagi itulah proses ini akan terus berjalan.

Kegagalan bukan suatu perkara yang asing dalam kehidupan ini. Kadang ialah peneman yang terbaik bagi kehidupan agar supaya rencana kehidupan dapat di atur dengan lebih baik selepas ini.

Hidup ini penuh dengan warna-warni tetapi persoalannya bagaimanakah kita mencorakkan warna tersebut agar ia menjadi satu seni yang agung dan tidak akan dilupakan manusia serta menjadi sebutan makhluk langit.
Seni, coretan, warna-warni, inilah yang sebenarnya menjadi pengisi keindahan dalam kehidupan itu.

Ujian dan cubaan tidak pernah sepi disepanjang lereng-lereng perjalanan agar menjadi satu latihan menuju kejayaan yang agung.

Teman-teman dan mereka yang disisi menjadi satu aspek pelonjak ke arah itu. Merekalah yang menjadi tempat buat mengadu suka duka kehidupan yang penuh mencabar ini. Oleh itu, bijaklah memilih rakan-rakan di samping agar mereka sudi berpimping tangan denganmu dalam meredah samudera kehidupan ini.

Kehidupan bukan sesuatu yang statik tetapi ia akan berubah-ubah mengikut keadaan seseorang itu, cuma bijaklah menilainya agar tidak tersilap langkah dalam memilih perjalanan ini.

Semoga Allah SWT membimbing setiap jiwa-jiwa ini dalam mencapai keredhoanNya di dalam dunia milikNya ini. Agar cabaran dan dugaan yang mendatang dapat dihadapi dengan hati yang tenang dan tabah.

Wednesday, September 18, 2013

Ulama dan Profesional mereka adalah makhluk Allah

Isu yang tak pernah selesai dari dulu sampai sekarang, sehingga kadang-kadang menjadikan diri ini sudah muak dengan apa yang berlaku. Siapa yang mewujudkan perbalahan ini? Bagi aku yang memerhatikan kedua-dua keadaan ini tidak ada apa-apa pun sebenarnya melainkan satu pembodohan yang dirancang bagi melemahkan lagi gerakan jemaah islam ini.

Tetapi yang masalah kepada permasalah ini ialah mereka yang dengki dan hasad antara satu sama lain. Golongan yang sentiasa mencari peluang untuk mengapikan keadaan perlu dilihat dan diperhati dengan teliti, agar tidak termasuk ke dalam jerangkap samar yang dipasang.

Mereka yang bermasalah dengan golongan ulama' ini sentiasa mencari ruang-ruang untuk mewujudkan bibit pemusuhan dalam kalangan ulama dan profesional. Natijahnya, mereka yang tidak tahu menahu menjadi mangsa kuda tunggangan untuk menyemarakkan lagi api kedengkian ini.

Bila diperhati dalam kalangan ulama ini, mereka ini tidaklah seperti yang dikatakan. Bahkan bila bercakap penuh hikmat dan bijaksana dalam ucapannya. Malahan mereka cuba berikhtiar untuk merapatkan jurang yang terbina ini dek kerana kesalah fahaman yang dibuat mainan oleh sesetengah pihak.

Lalu apa peranan kita? Adakah untuk menyemarakkan lagi api yang sudah sekian lama marak ini. Tidak sama sekali tidak, peranan kita juga adalah sama iaitu menjadi perapat kepada kedua-dua golongan ini dan mengurangkan kesalah tanggapan terhadap apa yang berlaku.

Semoga selepas ini kita tidak lagi "share" sesuatu melalui apa-apa laman sosial jika kita tidak mengetahui pangkal baik buruk ceritanya. Kadang-kadang mereka yang share ni tidak tahu apa yang berlaku tetapi oleh kerana di dorong oleh fahaman taksub yang membabi buta kononnya atas nama ingin membela seseorang yang mereka kagumi menheret semakin ramai yang terperangkap dalam kebodohan ini.

Dan akhir kata bijaksanalah ketika jari-jari tangan sedang leka menari di atas papan-papan 'keyboard'. Agar perpecahan dapat dibendung, sepakatan dapat dibina.

Kejernihan air sungai

Tidak siapa tahu apa yang ditempuhnya suatu hari nanti tetapi setiap apa yang telah ditulis di luh mahfuz ini hanya tuhan yang esa yang maha mengetahui tiap-tiap sesuatu baik buruknya. Tak dapat dibayangkan bagaimana lumpur hitam yang terpalit pada pakaian pasti hilang apabila ia dibasuh dengan serbuk cucian yang terbaik, lalu mengalirlah air membawa kesan-kesan lumpur yang sudah tertanggal itu.

Setiap insan tidak pernah mendapat semua yang dikehendakinya di dunia ini. Tahu kenapa? Kerana Allah ingin melihat bagaimana setiap hambanya berdepan menghadapi setiap ujian dan cubaan yang dikenakan atas setiap hambaNya itu.

Disangka setiap ujian itu hanyalah berbentuk kesusahan tetapi siapa sangka bentuk kesenanganlah yang paling dasyhat sekali. Kerana kedamaian itu menjadikan kita semua leka sehingga terlena sehingga tidak sedar malapetaka kehancuran semakin hampir.

Sekali kita bangkit dari kejatuhan jangan pernah untuk jatuh lagi kerana sekali kita jatuh adalah amat sukar untuk kita bangkit kembali seperti mana saat pertama kita memulakannya.

Peliharalah dirimu dari larangan dan dosa kerana dibimbangi akan mengundang kemurkaan tuhanmu. Semua yang terhalang boleh jadi berpunca dari diri kita sendiri yang bergelumang dengan dosa maksiat sehinggakan menyebabkan hati ini mati.

Peliharalah ia kerana dikau tidak tahu bila dikau akan kembali kepadanya.