Friday, November 15, 2013

Usrah kehidupan: Di Lebatan Malam

Seusai tugas seharian, aku menjalani rutin harian seperti biasa di rumah bujangku. Kehidupan siang harinya sebagai penuntut ilmu tidak melupakan siapa aku sebagai seorang yang mesti punya tanggungjawab terhadap masyarakat. Ya, ilmu dituju tetapi dalam masa sama tugas sebagai sang pencerah tidak dilupakan.

Menemani teman yang setia berbuka puasa pada 10 muharam sempat membuka beberapa kisah kehidupan. Inilah yang dikatakan alam yang ditempuhi kini perlu sentiasa realiti agar kita sentiasa sedar bahawa kembali kelak, alam inilah yang menjadi kayu ukur berjaya atau gagal di alam seterusnya. Kadang-kadang bila kita berjumpa dan berbincang bersama sahabat kita, pasti kita akan temui beberapa perkara yang tak tersangka oleh pemikiran kita. Melihatnya dari luaran siapa sangka bagaimana dalamannya bermonolog. Oleh itu, disinilah peranan sahabat dalam memandu sahabatnya.

Melihat malam yang menunggu masa kehadiran hujan rahmat untuk membasahi bumi ilahi ini, diri termenung seketika sehingga disapa oleh seorang sahabat yang mengajakku dan teman serumahku untuk menjalankan beberapa aktiviti pada malam itu. Syah mengajak aku dan teman serumahku Fikri untuk menampal dan menggantung banner sempena program bicara ekonomi pasca 2014. Bagiku ini satu program yang bagus dan memberikan kesedaran terhadap masyarakat akan apa hak-hak mereka yang perlu mereka ketahui.

Dengan menaiki sebuah kereta kami bergerak ke Seremban dalam kerintikan hujan di malam hari. Setibanya di sana kami bergabung dengan dua orang lagi sahabat kami iaitu abang Rash dan abang Hal. Dengan abang Rash  sebagai master mind untuk operasi malam itu kami bergerak ke tempat-tempat tertentu untuk menggantung banner dan menampal poster pada malam itu.

Baru satu banner digantung dan hujan makin lebat sehingga kami terpaksa menangguh program kami di sebuah kedai makan di waktu dinihari ketika itu. Supper yang sepatutnya di waktu akhir diawalkan dek kerana menunggu hujan reda sedikit. Mmm, apa lagi aku dan saiful terus memesan "lamb chop" untuk hidangan "supper" kami pada malam itu. Hehehe, malu pua ada sebab melihat teman-teman yang lain hanya memesan hidangan yang biasa sahaja. Mataku terkebil-kebil keseorangan melihat orang didepan, kiri, dan terutamanya di kananku pada waktu itu.

Terasa bersalah juga pada waktu itu tetapi apakan daya "supper" kami pada malam itu ditanggung oleh seseorang. Huhuhu, balasannya aku tidak dapat makan "lamb chop" itu kerana tidak dapat diserasikan di dalam mulutku ini.Apa-apa pun terima kasih kepada yang sudi membelanja kami pada malam itu.

Sambil menikmati makan pada malam itu sempat kami berlima berbincang dan berdiskusi ringkas pada malam itu sebelum bergerak menyesalkan tugas kami yang sebelum ini tertangguh. Kami kembali menyesalkan tugas kami pada malam itu dalam keadaan hujan yang masih tetap turun menyimbah bumi ini. Walau apa sekali pun tugas mesti diselesaikan pada malam ini juga, kami bergegas ke tempat lokasi yang telah ditetapkan untuk menampal poster dan menggantung banner program.

Dalam hati, timbul rasa kekaguman terhadap jiwa-jiwa pemuda yang ada di sekelilingku ini. Mereka bukanlah pemuda yang hanya meletakkan setiap perkataan yang keluar dari mulut-mulut mereka tetapi setiap kata-kata mereka itu diletakkan pada tindakan mereka untuk menatijahkan keizzahan Islam itu, seakan-akan alam memahami tindakan kami pada malam itu dan turut serta menyimbahi bumi dengan hujan rahmat bagi melihat kehijauan alam ini terus berlansung.

Alhamdulillah, akhirnya selesainya tugas kami pada malam itu dan berakhir pada pukul 3.30 pagi dan kami terus pulang ke rumah masing-masing. Ketika didalam kereta dalam perjalanan pulang ke rumah, aku melihat sahabatku yang di depan sudah ketiduran dan sahabatku yang seorang lagi masih memandu kereta mencari skill-skill baru pemanduan. Dalam hatiku terdetik kata-kata, "keletihan kalian semua pada hari ini demi umat, alangkah bangganya dan kagumnya aku kerana dapat bersama merintis perjalanan ini bersama kalian".

Thursday, November 14, 2013

Perjalanan kemarin untuk hari ini

Hari semalam

Tidak semua sedar bahawa apa yang telah ia lalui semalam adalah menentukan siapa mereka di kemudian hari. Bukan semua perjalan yang dirancang itu berjalan seperti apa yang dirancang, ada kalanya keenakan dan keselesaan yang diimpikan itu tidak seperti yang dihajati. Tetapi sedarlah kita semua, bahawa peribadi orang-orang yang namanya gah pada hari ini, sudah sepastinya kita akan mendapati setiap ayunan langkah kaki mereka pernuh dengan cabaran dan ujian yang mendatang. Ya, mereka juga macam kita merancang tetapi persediaan untuk menghadapi perancangan itulah yang meletakkan kelebihan kepada mereka. Justeru, persoalan itu berbalik kepada kita,pernahkah kita selepas merancang sesuatu memikirkan pula bagaimana untuk menghadapi perancangan itu?

Tidak ramai yang berjaya dengan mudah. Jika ada mungkin itu rezeki dan anugerah yang diberikan pada mereka. Sebaliknya kebanyakkan dari rata-rata mereka yang berjaya pasti melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan mereka dan hasilnya itulah mereka yang berdiri pada hari ini.

Sebut soal usaha, dari mana kemahuan itu datang

Persoalan usaha dan kemahuan, inilah yang akan menatijahkan sama ada diri istiqomah atau tidak ke arah matlamat yang ingin dicapai. Mudah, tidak! Ia tidak semudah itu.

Usaha ini bertitik tolak dari kemahuan yang kuat yang lahir dari hati. Apa yang mendorong kemahuan tersebut sehingga menatijahkan tindakan usaha untuk mencapai apa yang dihajati. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai kemahuan yang berpasak atau dipasak sehingga diterjemahkan sebagai satu keazaman yang bersimpul kukuh didalam hati untuk mencapai apa yang dihajati.

Adakah kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati? Ya, sudah tentu kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati jika ia diletakkan sebagai angan-angan kosong tetapi sebaliknya pasti berlaku jika kuasa dari kemahuan itu ditukar kepada kuasa keazaman untuk menggerakkan gear-gear usaha. Hal ini demikian kerana dari keazaman inilah yang sebenarnya akan diikuti pula oleh tindakan untuk mencapai matlamat yang diingini, sama ada matlamat jangka pendek atau panjang.

Dari kaca mata Islam

Soal hari semalam, hari ini dan masa hadapan, selalu dipandang serius oleh agama ini. Hal ini kerana Islam melihat tiga tempo masa ini saling berkait dalam kehidupan seorang individu muslim itu. Bukan itu sahaja, malah dari ketiga-tiga bahagian masa ini akan menterjemahkan jatuh bangun kehidupan umat itu sendiri. Lihat sahajalah bagaimana kombinasi dari tiga masa ini tidak pernah diabaikan dan disisihkan dari penceritaan di dalam al-Quran. Persoalannya, kenapa tiga masa ini diberi penekanan sebegitu rupa? Hal ini bertujuan umat manusia khususnya muslim sentiasa belajar dari kesilapan dan kejayaan umat-umat terdahulu untuk dibawa di dalam kehidupan mereka sehari-harian.

Hadis baginda Rasulullah saw ini yang tidak asing bagi kita ini berkenaan seseorang yang mana sabda baginda jika di tangan kamu mempunyai sebiji dari biji tamar dan pada masa sama kiamat terlalu hampir dengan dirimu, jika sempat kamu menanamnya maka tanamlah biji tamar tersebut. Dari hadis ini dapat kita mengambil pengajaran supaya sentiasa melihat kehadapan dan tidak mudah memandang kebelakang kerana inilah ciri kemuliaan seorang muslim. Moving Forward.

Seharusnya kesedaran ini digerakkan bagi menggerakkan umat Islam yang masih lena dari tanggungjawab mereka. Supaya dengan ini mereka sedar akan peranan hidup mereka dan sekaligus bagaimana memperanankan kembali peranan hidup mereka sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Semoga hadis ini mengingatkan kembali urusan yang belum kita selesaikan di atas muka bumi ini, "tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinan kamu".

Masa sebagai teman dan juga mungkin sebagai musuh dan pada saat itu, waspadalah!!!