Sunday, May 26, 2013

Dari tulisan turun ke hati


Dari tulisan turun ke hati

tetapi mana mungkin ia akan turun ke hati jika penulisnya tiada ikhlas. Waspadalah wahai teman kerana syaitan tak pernah lekang dari dirimu. Boleh sahaja ketika engkau meng update status2 islamik, syaitan melemparkan panah-panah berbisanya pada hatimu. Nilailah kembali perbuatanmu itu adakah ia ikhlas kerana Allah atau semata-mata untuk melihat ramainya orang LIKE pada statusmu itu.

Mungkin kisah pendek ini boleh jadi pengajaran pada kita semua.

Ada satu kisah di mana seorang tuan guru bersama pemandunya turun dari rumah untuk pergi menyampaikan ilmu di sebuah tempat pengajian agama. Dalam perjalanan tersebut tiba-tiba tuan guru tadi memerintahkan pemandunya untuk balik semula ke rumah.

Setibanya di rumah tuan guru tadi masuk melalui pintu rumah dan berhenti di belakang pintu dan memusingkan badannya menghadap ke luar rumah. Tuan guru berdiam diri sejenak kemudian melangkah kakinya keluar dari rumah lalu masuk kembali kedalam kereta.

Tuan guru memerintahkan kembali si pemandu kereta untuk membawanya kembali ke tempat pengajian tadi. Si pemandu merasa hairan dengan sikap dan perangai yang ditunjukkan tuan guru tersebut lalu beliau bertanya kepada tuan guru akan peristiwa yang berlaku sebentar tadi.

Kata tuan guru ketika dalam perjalanan yang pertama tadi datang satu perasaan ria' dalam hatinya lalu apabila dia sedar akan hal ini dia ingin balik semula ke rumah dan melangkah keluar dari rumah dengan niat yang ikhlas kerana Allah untuk menyampaikan agamaNya.

SubhanaAllah, lihatlah bagaimana seseorang itu sanggup mengulangi perjalanannya dari awal agar awal perjalanannya hingga akhirnya adalah semata-mata kerana Allah.

Semoga kisah pendek ini dapat mengoreksi balik diri kita sejauh mana perhubungan kita dengan Allah SWT selama ini. Adakah hati kita merasa sebegini??? Tak perlu jawab, tanyalah pada diri masing-masing.

Saturday, May 18, 2013

Edward B. Tylor dalam mendefinisikan agama

Rasanya belum ada lagi yang menulis pasal Edward B. Tylor ni. Jadi penulis tampil untuk menulis penulisan akademik dalam bentuk yang santai dan mudah difahami. Selepas dua hari membaca dengan tekun dan teliti, inilah yang dapat penulis temui dari seorang tokoh yang tidak asing di dunia barat sana. Suatu masa dahulu Beliau Sir. E. B. Tylor pernah menggemparkan dunia anthropology apabila beliau tampil dengan teori yang diasaskannya. Buku beliau yang rasanya belum ada yang diterjemahkan dalam bahasa melayu iaitu Animism dan the primitive culture cukup sinonim dengan dunia anthropologi.

Sesiapa yang mengaku terlibat dengan dunia anthropology tidak akan asing dari membaca bukunya, sekaligus menemui titik persamaan dan kritikan terhadap pandangan beliau sendiri.

Edward telah mendefinisikan agama sebagai the belief in spiritual being. Tetapi apa yang dimaksudkan dengan spiritual being itu tidak pula dijelaskan oleh beliau. Tetapi apa yang pasti Edward cuba menyadarkan sesuatu titik permulaan agama itu dengan animisme kerana katanya setiap perkara yang berlaku di dunia ini mesti mempunyai kaitan dengan animisme.

Teori yang menjadi sandaran Edward

Metod yang diguna pakai hanya bersandarkan pada teori spekulative semata-mata. Teori spekulative tidaklah berdasarkan mana-mana kajian tetapi hanya berdasarkan pandangan yang dilihat oleh beliau dan disandarkan kepada logik semata-mata.

Edward juga turut sama terlibat dengan teori evolusi yang diasaskan oleh Darwin walaupun dalam beberapa perkara beliau tidak bersetuju dengan beberapa perkara yang dinyatakan oleh Darwin. Tetapi beliau cuba mengaitkan setiap evololusi itu mempunyai kaitan dengan primitive culture.

Kritikan terhadap Edward

Apa yang pasti mengenai idea yang dilantorkan oleh Edward ini dilihat terlalu primitif dan ke belakang. Hal ini disebabkan takrif sempit yang diberikan oleh Edward sendiri dalam meletakkan definisi terhadap agama itu. Ramai cendikiawan dari barat sekali pun melahirkan kritikan terhadap tulisan Taylor sendiri dalam bukunya berjudul 'Animism'.

Jika dilihat dari sudut pandang Islam sendiri sudah pasti ini jauh bertentangan dengan prisip al-Din dalam Islam itu sendiri.

Beberapa perkara yang dipersetujui

Tidak dapat tidak bukan semua perkara yang tertolak dari teori yang diasaskan oleh E.B.Taylor. Dalam keadaan ramai dikalangan para sarjana yang menolak perkara-perkara ghaib, Taylor tampil dengan mengentengahkan isu animism dalam masyarakat. Sekali gus membuktikan kepercayaan akan adanya alam ghaib di luar sana.

Akhir kata, ini hanyalah pandangan kerdil penulis terhadap Taylor kerana masih banyak kajian dan pembacaan perlu dilakukan jika kita hendak memperkatakan sesuatu hal terhadap seseorang itu. Moga penulisan ini sedikit sebanyak menjadi pembuka cerita terhadap siapa sebenarnya pelopor bidang Anthropology ini.

Segala kesilapan dan teguran serta kritikan amat dialu-alukan.

Wednesday, May 15, 2013

Manuskrip Melayu antara kebenaran dan penyelewengan sejarah

sejarah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan kita kerana ia mempunyai sisi pandang yang amat bermakna bagi menjadi persoalan kepada jawapan siapa diri kita dan dari mana kita datang. Melalui sejarah kita dapat mengenali tamadun yang telah dicipta oleh sesuatu manusia itu.

Keilmuan, senibudaya, ketamadunan yang dilangkarkan kalam, kemanakah ia?

Penulisan-penulisan yang mencatatkan peristiwa penting sejarah telah banyak hilang. Penulisan ini yang lebih sinonim dengan pamggilan manuskrip melayu lama, kebanyakan telah dibawa keluar dari negara kita.

Hari ini, negara-negara barat menyimpan segala hasil khazanah dan sejarah negara kita. Mereka yang telah menjajah kita suatu masa dahulu telah membawa keluar segala manuskrip yang menunjukkan sejarah peradaban melayu di alam melayu suatu masa dahulu. Di dalam manuskrip itulah yang menjelaskan siapa kita sebenarnya.

Segala-galanya telah dirompak keluar dan jika kita ingin membelinya sekalipun dengan harga yang sangat mahal mereka tidak akan menjualnya kerana bimbang kebenaran yang telah disembunyikan akan tersingkat. Jika dapat pun hanya cebisan manuskrip yang tidak mempunyai harga dan kepentingan pada mereka.

Penyelewengan sejarah tanah melayu oleh para penjajah barat.

Ada kata-kata yang mengatakan bahawa jika kamu mahu menawan sesuatu bangsa, maka dalamilah dahulu keilmuan mereka. Hari ini sudah terbukti apabila sejarah negara kita tidak dimiliki oleh kita malahan tersimpan kemas di perpustakaan luar negara antaranya perpustakaan British, Landon dan lain-lain.

Oleh itu, mereka amat jelas dengan perilaku dan tabiat orang melayu kerana mereka mengkaji manuskrip-manuskrip sejarah tanah melayu. Lalu apa jadinya pada kita kini ialah kita dihidangkan dengan sejarah yang telah diputar belitkan oleh tangan-tangan durjana agar bangsa ini tidak dapat melihat kebenaran yang hak.

Tambahan lagi bangsa yang menghuni nusantara tanah melayu ini telah menerima Islam sebagai pegangannya sejak sekian lamanya. Sudah tentu ini mengundang permusuhan antara agama. Justeru, kita memahami bahawa Islam tidak akan pernah suram dari dimusuhi dan diserang.

Kesedaran generasi hari ini untuk mengembalikan kembali sejarah negara amat wajar. Pembersihan sejarah tanah melayu dari penyelewengan sejarah perlu dilakukan. Seharusnya tindakan sewajarnya perlu dilakukan kerana kita tidak mahu lagi para pejuang tanah air kita yang kebanyakannya terdiri dari para ulama ditohmah sebagai pemberontak dalam buku teks sejarah dalam negara kita.

Masyarakat kita perlu disedarkan bahawa nadi keilmuan  pernah bertapak di negara kita suatu masa terdahulu adalah kerana jasa para ulama di nusantara tanah melayu.

Cukuplah kita telah diperbodohkan oleh sejarah yang diputarbelitkan ini. Kita seharusnya mencari dan berusaha menjaga manuskrip melayu yang masih tersisa dan memeliharanya. 

Serta dalam masa sama berusaha mencari dan mengumpulkan manuskrip lama yang masih ada dalam negara kita agar ia terus terpelihara untuk tatapan keilmuan generasi masa depan agar mereka tidak lagi diperbodohkan seperti generasi yang ada pada hari ini.