Wednesday, October 10, 2012

Buku Kuning yang penuh makna


Timbunan buku yang terhampar di depanku, kucapai dengan tangan ini buat meneliti isi-isi yang terdapat didalamnya. Tertarik dengan sebuah buku pendidikan islam yang berwarna kuning cukup menarik minatku, bukan kerana kulit bukunya yang menarik tetapi dek kerana cerita sirah yang banyak dikisahkan dalam buku itu.

Sebenarnya semua buku-buku itu hendak dilupuskan kerana sukatan baharu pembelajaran sudah dibuat jadi buku yang lama dilupuskan dengan cara membakarnya. Mungkin pada masa itu teknologi kitar semula masih belum semaju hari ini.

Ahh, itu semua tak penting bagiku kerana aku dah dapat buku apa yang ingin ku perolehi. Buku ini ku tadahi dan aku simpan dalam simpananku. Rasanya agak lama sehinggalah ke satu hari yang menyebabkan buku ini rosak dan tidak dapat digunakan lagi.

Persoalan yang ingin dibangkitkan bukan pasal buku kuning ini tetapi apa yang ada dalam buku kuning ini yang telah Berjaya membangkitkan jiwa kanak-kanak yang masih berumur 8 tahun ketika itu. Buku ini ialah buku pendidikan Islam yang Berjaya membangkitkan semangat seorang kanak-kanak ini untuk turut serta meneladani sirah-sirah perjalanan hidup para sahabat yang terdahulu.

Di dalam buku ini menceritakan bagaimana permulaan Islam yang di hadapi oleh para sahabat ketika era perkembangan dakwah Islam ini. Seharusnya cerita-cerita benar ini perlu diketengahkan kembali dalam masyarakat kita, terutamanya dalam pembangunan kanak-kanak.


Mereka tertipu dengan alam fantasi yang pernuh tipu daya

Sering menonton kartun cepat ternyata merugikan kemampuan anak-anak ...

Amat sedih apabila tipu daya ini melupakan mereka kepada siapa mereka yang sebenarnya. Kenapa ku katakan begitu kerana bayangkan bagaimana kanak-kanak hari ini jika dibandingkan dengan kanak-kanak ketika generasi awal islam terdahulu. Disini ingin ku nukilkan beberapa kisah kanak-kanak generasi awal Islam.

Pernah satu ketika ketika mana saidina Ali mendengar dakwah baginda Rasulullah SAW dan di ajak oleh Rasulullah untuk memeluk Islam, saidina Ali memberitahu Rasulullah untuk meminta izin terlebih dahulu daripada kedua ibu bapanya untuk memeluk Islam.

Selang beberapa langkah membelakangi Rasulullah, lalu terdetik di hati saidina Ali, tuhan baru yang ingin aku sembah ini adalah tuhan yang benar. Dialah yang menjadikan aku dan kedua ibu bapaku. Jadi untuk apa aku perlu meminta izin kedua ibu bapaku untuk memeluk agama yang benar ini. Selepas berfikir sejenak, saidina Ali lalu berpatah balik ke arah Rasulullah SAW kembali dan menyatakan bahawa ia ingin terus memeluk Islam ketika itu.

Kisah kedua berkenaan seorang kanak-kanak perempuan yang telah memeluk Islam dan telah diseksa sehingga dibutakan matanya kerana memeluk agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Begitu teruk dan dashyat seksaannya yang menimpa kanak-kanak perempuan ini langsung tidak mengubah dan menjejaskan langsung akidahnya. Malahan, Allah telah menunjukkan kuasanya dengan mengembalikan kembali penglihatan kanak-kanak perempuan tersebut.

Kisah yang ketiga berkenaan Khalifah amirul mukminin saidina Umar al-Khattab ketika mana beliau berjalan-jalan bersama sahabat-sahabatnya, beliau telah ditegur oleh seorang kanak-kanak yang menyuruhnya,” Ya amirul mukminin bertakwalah kepada Allah”. Lalu dimarahi oleh sahabat Umar dengan mengatakan, “Adakah kamu tidak kenal dengan siapa kamu sedang berbicara sekarang ini!”. Tetapi Amirul mukminin menegur tindakan sahabatnya itu dengan mengatakan, “Tidakkah kamu sedar bahawa kanak-kanak ini sedang mengingatkan aku kepada Allah.”

Lihat sahaja kisah mereka ini maka kita dapat lihat bagaimana begitu besarnya jiwa kanak-kanak ketika zaman era permulaan Islam dengan kanak-kanak di zaman mutaakhir ini. Begitu tinggi wawasan hidupnya, beginilah apa yang telah dicoratkan islam pada mereka. Kanak-kanak yang begitu hijau umurnya sudah dapat berfikir dan merenung sejauh itu bukanlah disebabkan kerana didikan ibu bapanya yang bijak, atau dari baka keluarga yang baik tetapi ini semua jelas terpancar dari kejernihan agama ini yang telah mencoratkan mereka sebegitu di era kebangkitan Islam. Celupan Allah, dan adakah celupan yang baik daripada celupan Allah?


Meletuh buluh biarlah dari rebungnya

Perpatah melayu ini rasanya tidak asing dari kamus hidup orang melayu yang satu ketika dahulu memang kaya dengan perpatah-perpatah yang cukup indah dan cantik. Tetapi kini kian dilupakan oleh generasi muda kerna kealpaan generasi tua. Bukan sekadar bagi orang melayu tetapi ia perlulah diterjemahkan dalam konteks yang lebih luas yakni Islam. Bila disebut Islam pertikaian bangsa dan kaum bukan lagi persoalan yang utama.

Acuan yang baik ialah ketika mereka masih muda. Jika kita lihat pada para tahfiz banyak ibu bapa menghantar anaknya ke sekolah tahfiz ketika mereka masih muda lagi kerana mereka menyedari bahawa pada usia itulah waktu yang terbaik untuk mendidik mereka. Seharusnya itu jugalah yang perlu dikembalikan kepada benih-benih baru Islam.

Bukan disibukkan mereka dengan cerita-cerita kartoon yang langsung tidak mempunyai unsur mendidik di alam realiti, melainkan menyebabkan kanak-kanak tersebut terus terjerat dengan alam fantasi mereka. Kesimpulannya jeratan itu terus terbawa sehingga mereka mejenggah alam dewasa.

Bukan maksudku untuk mempertikaikan semua cerita kartun ini tidak bermanfaat, aku juga tahu di sana juga ada cerita-cerita yang bagus dan membina pemikiran kanak-kanak. Tetapi apa yang ingin ku bawakan di sini adalah sudah masanya kita menghidupkan cerita-cerita sirah, salafu soleh dan para sahabat dalam diri mereka. Bentuklah mereka dengan nilai Islam orang-orang terdahulu dengan membawanya kepada mereka.


Aku kanak-kanak hebat 

          Aku kanak-kanak hebat dengan Islam. Ya, dan aku menyakini bahawa dengan Islam sahaja kami akan menjadi hebat. Wahai kaum-kaum pemuda di luar sana, berusahalah untuk kami yang masih kecil ini. Kami masih belum mengenali dunia seperti mana kalian telah mengenalinya. 

           Wahai kaum pemuda berusahalah untuk kami menikmati nikmat dan redho dari tuhan kami. Janganlah biarkan kami hidup dalam dunia yang dipernuhi fitnah kerana kami bimbang kami akan membesar dalam keadaan jahiliyyah yang akan menyusup masuk kedalam diri kami sehingga kami membesar menjadi penderhaka kepada Allah SWT. 

            Ketahuilah wahai pemuda-pemuda sekalian yang berada di luar sana, jika fitnah kerosakan ini membinasakan kami, kami pasti akan menuntut hak ini di hadapan Allah SWT kelak untuk kalian bagi dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku. 

         Oleh itu, kami meminta dan merayu pada kalian untuk berusaha untuk kami semua yang baru hendak mengenali dunia ini, agar kami semua menjadi kanak-kanak Islam yang hebat. 

Terima kasih bagi yang berusaha untuk kami dan hanya Allah lah yang akan membalas usaha kalian yang bersungguh-sungguh itu.


No comments:

Post a Comment