Wednesday, October 3, 2012

Belajarlah jadi yang terbaik

Bukan semua orang akan mendapat dengan mudah apa yang dikehendaki oleh dirinya. Kadang-kadang aku bertanya kepada diriku ini masih tidak cukupkah apa yang aku ada kini. Apa yang masih aku tidak puas dalam hidup ini. Kenapa aku rasa makin lama, aku semakin malas untuk menulis dan membaca ni. Aku tak tahu dimana silapnya tetapi yang pasti aku kena sedar dari lamunan yang merugikan masa hidupku ini.

Tambah menyedihkan bila aku mula terpengaruh dengan bisikan-bisikan nafsu yang menghiaskan indah sesuatu perkara itu pada mataku ini. Cinta dan ingin rasa dicintai, perkara ini tidak dapat ku nafikan dalam diriku ini tetapi apa yang jelas kebenaran adalah sesuatu yang pahit yang mesti ditelan oleh diri ini, demi meraih trofi yang menanti di akhiran buat pemenang yang tabah dan sabar buat sekalian lamanya. Janji tuhan itu pasti dan janji syaitan itu dusta dan lagi meleset.

Dibayangi dengan kata-kata indah yang berunsur islamik dan gambar yang memaparkan keindahan si empunya diri, cukup membuatkan diri ini menjadi cair. Mungkin bagi sesetengah orang itu adalah baik dan mereka pasti memuji perbuatan tersebut tetapi entah kenapa ku merasakan syaitan mempergunakan kebaikan itu untuk menyesatkan ramai manusia.

Syaitan akan menyesatkan manusia dengan enaknya melakukan kejahatan tetapi tatkala hal tersebut tidak menjadi maka syaitan akan datang dari arah pintu kebaikan buat menyesatkan manusia tersebut. Teringat sebuah kisah seorang imam besar yang dikenali dengan nama Imam Basus yang telah beribadat sekalian lamanya tetapi dek kerana syaitan telah memperdayakannya dengan ibadah tersebut menyebabkan timbul rasa hebat dan akhir sekali ibadah itu punah dan musnah begitu sahaja.

Soalnya ialah Allah ingin melihat sejauh mana kita tunduk patuh kepadaNya ketika masih berada di alam dunia ini. Ya, itu memang benar dunia yang kita sedang duduki sekarang ini pernuh dengan dugaan dan cabarannya, tetapi tanpa cabaran manakan datang manisnya sebuah perjuangan.

Akhir kalam, bersabarlah akhi kerana perjuangan ini hanya sementara. Aku tahu saat ini jiwamu sedang meronta-ronta menahan desakan nafsu dalaman itu. Tetapi percayalah bahawa ia hanya sementara sahaja. Saat engkau membuka mata di sana kelak, keadaan sudah pasti berbeza. Aku percaya kau boleh jadi yang terbaik, juga belajarlah jadi yang terbaik wahai sahabat diriku sendiri.


No comments:

Post a Comment