Friday, October 19, 2012

Adikku 2


Adikku,
Ilmu itu adalah khazanah yang tak terkata

            Adikku, melihat engkau masih lagi dalam kelalaian membuatkan hati abangmu ini begitu gusar dan bimbang terhadapmu. Bukan apa wahai adikku, kebimbangan ini dek kerana melihat betapa tertinggalnya mereka yang tidak mempunyai  ilmu.

Ketahuilah adikku, ilmu itu pasti akan menjaga tuannya dan takkan pernah habis, malahan akan semakin bertambah sekiranya ilmu itu dikongsi dengan sesiapa sahaja. Tetapi tidak pada harta kerna ia akan kian habis dan tidak akan pernah memberikan kesenangan buat selama-lamanya.

Manakala berbeza pula dengan mereka yang mempunyai ilmu jauh meninggalkan mereka yang ketinggalan dalam ilmu laksana mereka bagaikan bintang yang begitu bercahaya di langit angkasaraya.

Adikku, betapa ramai ulama-ulama terdahulu yang telah dimuliakan oleh manusia dek kerna ilmu yang dimilikinya. Mereka telah dimuliakan bukan kerana diri mereka wahai adikku, tetapi mereka dimuliakan kerana ilmu yang mereka miliki.

Wahai adikku sungguh benar perbandingan para ulama dengan para ibadah seumpama perbandingan bintang dan bulan. Sesungguhnya adikku orang yang berilmu dapat menunjukkan jalan kepada manusia untuk mencapai redha Ilahi manakala para abid hanya untuk dirinya sahaja.

Adikku, zaman remaja yang dilaluimu amat membinbangkan abangmu ini tatkala melihat pembelajaranmu tidak terurus. Adikku, apa yang kita belajar di sekolah adalah salah satu dari ilmu yang mesti kita terokai habis-habisan.

Janganlah berpenat dahulu adikku kerana jalanmu masih panjang, berusahalah sedaya yang mungkin kerana dengan ilmu itulah yang menentukan engkau dikemudian hari.

Teringat abangmu ini akan beberapa nasihat dan peringatan dari para ustaz dan ulama yang pernah abang ziarahi. Antara mereka yang pernah abangmu ini ziarahi ialah ustaz Jaya, Tuan guru ustaz Harun Taib, dan Tuan guru ustaz Zulkifli al-Bakri.

Apa yang abang ingin sampaikan kepadamu seperti mana telah di pesan pada abangmu ini diakhir pemisahan kami ialah banyaklah membaca wahai golongan muda.

Membaca, membaca, dan membaca. Itulah kalam yang sering diperingatkan oleh para ulama kita yang ingin melihat sinar cahaya ilmu Islam ini bergemerlapan di kemudian hari.

Bukan apa adikku, tengok dan lihatlah keadaan remaja-remaja seusiamu pada hari ini, sungguh menyedihkan dan membimbangkan bagaikan masa depan yang menunggu mereka adalah malapetaka dan bukan rahmat.

Teringat abangmu satu petikan dari buku yang bertajuk “Risalah al-Nur , Peringatan buat Remaja”. Dalam buku ini di mana Said al-Nuhsi Badiuzzaman ketika mana beliau berada di belakang geriji penjara dan melihat beberapa kanak-kanak sedang bermain dengan penuh gembira dan riangnya. Begitu indah sekali pemandangan yang terlihat sedikit sebanyak mengubat luka lara beliau di dalam penjara.

Tiba-tiba pemandangan itu berubah menjadi satu keadaan yang amat menyedihkan , kanak-kanak yang tadi masih kecil dan putih bersih menjadi besar dengan noda dari maksiat yang menjadi kebiasaan dalam hidup mereka.

Kehinaan dan penyesalan telah menyentap mereka kedalam api yang panas membara dek kerana kedurhakaan di dunia dahulu. Aduhai, alangkah sedihnya kanak-kanak ini apa yang menunggu mereka di masa depan.

Adikku, begitu jauh pengamatan seorang ulama terhadap umat ini dek kerana memikirkan umat Islam di suatu masa nanti. Sedangkan hari ini noda ini telah melumpuri umat Islam sekotor-kotornya.

Adikku, tahu tak kenapa abangmu memperkatakan hal ini kepadamu? Ini kerana abangmu ini ingin sekali melihat engkau menjadi manusia yang Berjaya dan cemerlang dalam hidup ini. Berusahalah adikku dalam menuntut ilmu kerana hanya Ilmu sahaja menjadi penyuluh kita di kemudian hari.

Abang tahu kemampuanmu bukan setakat itu sahaja, teringat saat abang meminta dirimu membaca surah al-Nahlu ketika saat umur mu masih 8 tahun. Sedikit terkejut dan takjub dengan perkembangan dirimu yang dapat membaca surah itu. Kalau abang ketika usia sebegitu pasti sudah tersekat-sekat.

Adikku, engkau bukan pelajar yang lemah walaupun sekarang ini engkau duduk di kelas yang belakang. Mungkin para guru-guru hanya memandang sebelah mata sahaja pelajar-pelajar yang belajar di kelas yang hujung ini, tetapi aku tidak melihat sebegitu. Bagiku ini adalah cabaran dan ujian bagimu untuk melepasinya dengan cara yang bijak dan bersungguh-sungguh.

Berusahalah adikku, abang yakin dengan potensi yang ada pada dirimu. Cuma apa yang perlu ada padamu ialah kesedaran untuk meraihnya. Abang juga seperti adik, bukanlah orang yang cerdik dan pandai tetapi jangan lupa wahai adikku perpatah ada menyebut “hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Jangan malu bertanya untuk ilmu wahai adikku.Mungkin kita akan dilihat bodoh kerana banyak bertanya lantaran tidak mengetahui apa yang dipelajari. Tetapi adikku ini lebih baik dari orang yang tak tahu tapi tidak bertanya. Mungkin kita akan malu hari ini, tetapi siapa tahu siapa kita di masa depan. Oleh itu, adikku berusahalah untuk meraih khazanah yang tidak ternilai ini. Hanya dengan khazanah ilmu inilah yang akan mengangkat martabat mu.









No comments:

Post a Comment