Monday, October 22, 2012

Ada kalanya aku juga penat

Ada kalanya aku penat dengan apa yang aku hadapi sekarang ini. Diri cuba menyembunyikan kemelut perasaan yang sedang dihadapi ini, tetapi apakan daya aku juga insan lemah yang juga perlu dibantu.


Seringkali aku mencemburui insan-insan yang ku bantu dan bimbing. Setiap kali ada masalah dan perkara yang merumitkan, maka akulah yang menjadi tempat rujuk mereka. Maklumlah ketika itu aku telah bergelar senior kepada pelajar-pelajar junior ini. Pengalaman bergelar junior dan memahami dunia para senior memotivasikan diri ini untuk melakukan perubahan kepada generasi baru yang akan menyusul selepasku.

Putaran negatif ini perlu diterbalikkan, agar putaran positif pula yang menguasai. Sering kali kes yang dilakukan oleh para senior itu, jika diselidiki mereka juga pernah menjadi mangsa tatkala mereka bergelar junior. Dua frasa yang berbeza senior dan junior tetapi putaran alamnya tak pernah berhenti dan akan terus berjalan. Baiknya senior maka baiknya junior sebagaimana baiknya rakyat maka baiklah pemimpinnya. Bukan politik yang ingin diusulkan tetapi kebenaran antara dua kaitan yang saling berkaitan walau apa bentuk sekalipun ia.

Bukan senang dan mudah untuk melakukan perubahan. Perubahan pertama bermula dengan diri sendiri dahulu. Pernah satu ketika aku tidak menghiraukan langsung hal ehwal pelajar di sekolahku kerana merasakan diri ini tidak layak untuk mentarbiyah mereka. Tetapi jauh di sudut hatiku, aku takut putaran negatif itu akan terus berlaku. Aku gagahi diri untuk melaksanakan amanah yang diberikan kerana cinta dan kasih kepada mereka semua. Pada hikmahku apa salahnya aku memperbetulkan dan membimbing mereka serta dalam masa sama aku terus mentarbiyah diri ini. Moga-moga aku juga di tarbiyah. Alangkah baiknya tempat mereka itu dapat ku ambil dan tempatku ini diganti oleh orang lain. Terasa pula diri ini ingin ditarbiyah ketika masih junior tetapi apakan daya takdirku bukan disitu.

Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Al-Baqarah, 216.

Mendengar luahan kecil hati mereka yang datang berjumpa denganku, kadang-kadang membuatku sayu dan sedih dengan diri mereka. Sehingga ada kalanya aku bertekad untuk membantu mereka. Jauh di sudut hatiku, aku sebenarnya iri hati dengan mereka semua. Kepada siapa aku ingin meluahkan segala-galanya yang terbuku di hatiku ini. Sungguh perit dan sakitnya menanggung ia seorang diri. Tapi biarlah diri ini perit, janji orang lain bahagia. Mungkin sudah tercatit bahawa ini adalah takdir bagiku. Apa yang penting adalah aku terus redho dengan takdir dariNya ini dan berusaha ke arah yang lebih baik. Aku tahu niat baikku ini pasti dimakbulkan oleh Allah suatu hari nanti.

Aku tersenyum melihat dan mendengar suara-suara mereka meminta nasihat dan bimbingan dariku, tetapi aku sendiri sebenarnya tidak terbimbing untuk membimbing mereka. Aku suka melihat mereka mengerjakan kebaikan. Rasa diri ini turut terdorong sama kearah itu. Islahkan diri dalam masa sama, islahkan orang lain. Mungkin ini apa yang perlu aku lakukan sekarang ini.

Masih segar dalam ingatanku saat aku berbicara dengan sahabatku,Ailani berkenaan perihal berkenaan surah al-Saff ayat yang ke dua dan ke tiga. Aku juga mengemukakan ayat 43 daripada surah al-Baqarah. Ancaman dan kecaman daripada hadis ku paparkan buat menyatakan hujah kebenaran bagi golongan ini. Siapakah golongan ini? Inilah golongan yang ramai dan banyak membiak bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Golongan yang enak berkata-kata dengan madah-madah bait yang indah tetapi disebalik kata-katanya itu tidak disertai dengan tindakan.

Berkata memang mudah, tinggal sahaja untuk melaksanakan kata-kata itu. Berani aku katakan disini ramai antara mereka yang mendapat suluhan sinar cahaya petunjuk dariNya, menangis di waktu malam dan menyendiri dari manusia kerna menangisi kelemahan diri. Ya, mereka menangis kerana takut saat hari pengadilan menemui mereka. Sebab itulah jikalau dilihat pada hari ini sedikit sekali yang menjiwai apa yang diperkatakannya itu. Ramai manusia pada hari ini hebat dalam berkata-kata, tetapi sayangnya kata-kata mereka yang hebat itu tidak dapat menembusi hati khalayak yang mendengarnya. Mereka berceramah tetapi "audience" nya entah kemana.

Pembicaraan ini memberi begitu banyak manfaat dan pencerahan kepada diriku ini. Tinggal sahaja masa untuk aku berubah dan menyedari tanggungjawab yang sedang terpikul di pundak bahu. Ketahuilah bahawa dakwah melalui perbuatan itu lebih berkesan dari kata-kata.


Setan menjanjikan (menakut-nakuti) kemiskinan kepadamu dan menyuruh kamu berbuat keji (kikir), sedangkan Allah menjanjikan ampunan dan karunia-Nya kepadamu. Dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui. Al-Baqarah, 268.


Pandangan basiroh (hati yang jernih) yang pernah disebut sahabatku Jauharul masihku ingat sampai hari ini. Seorang yang tegas dalam kata-katanya,"Cuba nta tengok, kita ceramah pon pam pon pam tetapi kenapa tidak berkesan. Sebab kita tak dok pandangan basiroh. Pandangan basiroh ni benda apa sheikh? Hati ke hati. Kita ceramah-ceramah tetapi kalam kita dok sapa ke hati mereka sebab kita sendiri dok buat apa yang kita kata dan mungkin kita sendiri yang jauh daripada Allah SWT." Kata-kata dari sahabatku ini masih segar dalam ingatanku.


(kisah saidina Uthman dengan sahabat yang melihat aurat)

Satu riwayat daripada Anas bahawa beliau berkata:" Sewaktu aku masuk menemui Uthman dan sebelum itu aku telah menemui seorang perempuan dalam perjalananku, aku melihat perempuan itu dengan penuh cemik dan kuamati kecantikannya. Apabila aku masuk Uthman terus berkata: " Seorang dari kamu masuk (menemui aku) sedang di kedua matanya (terdapat) kesan-kesan zina. Tidakkah kamu mengetahui bahawa zina kedua mata itu ialah pandangan? Hendaklah engkau bertaubat atau engkau ku hukum dengan hukuman taazir." Lantas aku pun berkata:"Adakah wahyu setelah Rasulullah?" Uthman menjawab: "Tidak, tetapi (itulah) penglihatan nurani, tanda-tanda dan firasat yang benar."

Ada kalanya aku penat dan lemah tetapi aku tahu ini adalah fitrah yang pasti akan dilalui oleh semua insan. Apa yang penting bagi diri yang bergelar daie ini adalah untuk cepat bangkit dan sedar dari kelemahan tersebut. Hidup kita semata-mata untuk melihat dan memastikan cahaya agama Islam ini kembali ke tempat asalnya. Sekaligus menundukkan segala kebatilan yang ada pada zaman ini. InsyaAllah, Allah pasti membimbing hati-hati yang ikhlas pada jalan-Nya. Hiduplah untuk melihat cahaya agama ini bergeluman dalam kehidupan mereka suatu hari nanti. Oleh itu, berusahalah wahai sahabat-sahabat seperjuanganku kearah jalan itu kerana penat kita ini akan berbaloi bila Syurga menjadi ganjarannya.

Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya untuk mencari keredhoan Allah. Dan Allah Maha Penyantun kepada hamba-hamba-Nya. Al-Baqarah, 207.



No comments:

Post a Comment