Tuesday, March 25, 2014

Di antara dua bentuk ujian

Bismillahirrahmanirahim, pemula bicara bagi selemah-lemah kejadian ini disisi-Nya.

Kesenangan dan kemewahan sesuatu yang amat diimpikan dan digemari oleh setiap insan yang bernama manusia ini. Manusia sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kesusahan dan kemiskinan. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja agar nikmat hidup ini dapat dimanfaatkan sebaik yang mungkin.

Kekadang bila iman tidak mengiringi maka kejahatan menjadi petunjuk jalan dalam kehidupan. Bisikan syaitan dan nafsu yang haloba tidak pernah lekang dari membisikkan bisikan yang mengarahkan kita keluar dari garisan fitrah perjalanan hidup.

Hanya atas nama mengerja keseronokkan hidup yang sementara dan bila-bila sahaja ia akan hancur musnah.

Nilai keimanan dalam mengharungi musibah

Sering kali kita melihat setiap bala', ujian, musibah itu sebagai sesuatu yang sangat menyedihkan dan kadang kala memberikan seribu perasaan yang menggugat diri ini. Ramai yang dapat menempuh kesenangan tetapi tak ramai yang dapat menempuh ujian saat ia datang menyapa. Sekali ia datang kita mula hilang arah tuju seakan-akan anak kapal yang kehilangan nakhoda kapalnya.

Lalu bagi yang lemah imannya maka sandaran kesalahan itu dilemparkan pada tuhanNya. Nauzubillah min zalik, agar kita dijauhkan oleh Allah daripada perkara-perkara sebegini. Nilai iman tidak dapat dibandingkan peri pentingnya bagi seorang manusia ini kerana ialah menjadi 'check balance' dan timbang tara bagi seseorang manusia itu kembali.

Sudut pandangan terhadap musibah yang menimpa itulah yang akan menentukan sama ada akan meningkat atau menurunnya darjat seorang hamba itu. Bagi seorang hamba yang melihatnya sebagai satu ujian dan peringatan Allah bagi dirinya, sudah pasti Allah akan mengangkat dirinya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

Peringatan didalam surah al-fatihah di dalam ayat 5 dan 6 mengajar ini semua kepada kita selaku hamba yang mudah terlupa. Allah telah menerangkannya. Ya, benar! Tetapi manusialah yang lupa saat musibah menjentik sedikit mereka mula hilang arah tuju, sedangkan tuhan mengajar mereka tatkala ditimpa kesusahan minta tolonglah dengan solat dan sabar.

Minta tolong dengan solat dan sabar? Datangnya ujian dan tatkala ditimpa musibah kita diminta untuk solat dan sabar. Macam pelik sahaja caranya bagi anak-anak muda yang hidup pada hari ini kerana mata mereka telah dibutakan dengan kebendaan materialistil dan segala-gala masalah yang datang hendaklah merujuk kepada perkara itu semua.

Sedihnya, akhirnya mereka hilang arah pertunjuk fitrah yang menjadi landasan mereka yang sebenar sejak asalnya.

Minta tolonglah dengan solat dan sabar adalah peringatan yang besar bagi mereka yang mengerti bahawa saat ini tuhan memerintahkan mereka untuk kembali kepada-Nya. Bukan hanya solat yang kosong dan tidak difahami tetapi lebih daripada itu makna hakikat pengertian sebuah solat itu sendiri. Inilah peringatan yang besar bagi semua hamba bahawa hendaklah mereka kembali kepada tuhannya saat ditimpa apa-apa sahaja masalah.

Di antara dua bentuk ujian

Ujian boleh datang dalam bentuk yang sangat kita gemari dan kita sangat benci. Mmm, ada juga ke ujian yang datang dalam bentuk yang disukai dan digemari? Tidak ramai yang tahu dan bertanya ujian kesenangan yang datang dan kadang-kadang lebih dashyat dan bahaya dari ujian musibah yang menimpa. Hal ini kerana ujian kesenangan amat sukar dikesan berbanding ujian musibah yang sangat mudah dirasai.

Teringat satu kata-kata dalam cerita "Sang Murabbi" ketika mana ustaz Rahmat bercerita kepada anak usrahnya, " Monyet ini saat dia memanjat pokok kelapa dan tatkala pokok kelapa itu menerima angin ribut yang kuat lalu apa yang monyet itu perbuat? Sudah pasti memeluk pokok kelapa itu dengan sekuat-kuatnya agar ia tidak bisa jatuh. Tetapi saat angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup, sudah pasti monyet tadi berasa nyaman dan selesa sehingga tidak sedar pelukannya semakin longgar dan kemudiannya...bumbbb! Jadi apa kesimpulannya, jangan jadi monyet".

Mudah dikenal dan mudah dihadapi berbanding tak mudah dikenal dan sukar dihadapi. Dua bentuk ujian yang sentiasa mengiringi kehidupan manusia kerana dunia ini adalah tempat ujian bagi yang bergelar mukmin.

Semoga Allah SWT mengurniakan pada kita selaku hambanya untuk tabah dan kuat menghadapi ujian-Nya ini kerana peringatan ini telah Allah SWT peringatkan hamba-Nya di dalam kitab Al-Qur'an," Bahawa adakah hanya cukup kamu mengatakan, kami telah beriman. Sedangkan belum datang lagi ujian keatas kamu".

Di antara ujian kesenangan dan ujian kesukaran inilah yang menyebabkan musuh-musuh Islam menukar strategi mereka untuk memusnahkan umat Islam ini. Mereka tahu apabila umat Islam diserang melalui perang, mereka pasti kalah. Tetapi berbeza pula bila umat Islam ini ditidurkan dan dibiarkan terus lena, nescaya raksasa yang sebesar mana sekali pun pasti boleh ditumbangkan. Inilah yang terjadi pada dunia Islam hari ini. Kita terus dibiarkan lena tanpa memperdulikan saudara-saudara Islam kita yang lain.

Ujian kesenangan inilah yang perlu kita sedari dan peka agar kita tidak terkeluar daripada garisan sunnah Allah yang telah ditetapkan ke atas kita semua. Semoga peringatan terhadap ujian kesenangan seiring dengan ujian kesusahan kerana ramai mampu berdepan dengan musibah saat ia datang tetapi berbeza pula dengan kesenangan merakamkan ramai yang kecundang saat ia baru sahaja menyapa.

Semoga kita semua terus dalam bimbingan dan hidayah petunjuk Allah SWT dalam meneruskan kehidupan seharian ini.

~Memaknakan sebuah kehidupan~

Sunday, March 23, 2014

Mungkin masanya belum tiba

Saat kita merasa bahawa kita belum mampu mengecapi apa yang diimpikan itu, sebenarnya itulah saat Allah mahu memberi kita lebih masa untuk mencapai impian yang sekian lama bermain di dalam mimpi malam yang indah. Tak disangka bahawa penantian itu satu yang memenatkan ditambah dengan seribu kepahitan mujahadah disepanjang laluan perjalanan denai kehidupan.

Kenapa aku tak sama dengan dia? Mungkin ini selalu bermain di dalam pemikiranmu tetapi jangan bersedih wahai diriku kerana tuhan tahu apa yang terbaik bagi dirimu. Buat apa engkau menduduki tampuk kemuliaan bila mana rebah menanti bila-bila sahaja untukmu.

Sesuatu itu ada tempoh dan masanya dan ketahuilah banyak yang perlu engkau dalami dan fahami kerana tidak berlalu setiap fasa kehidupan itu melainkan pasti tuhan sekalian alam menyediakan hikmat yang besar untuk dirimu. Cuma tinggal sahaja untuk engkau mengoreksinya kembali hikmah itu.

Andai engkau pasti ia adalah pilihan yang tepat maka lakukanlah ia dan jangan lupa akan nasihat mereka yang soleh dan berpengalaman dalam hidup ini. Hal ini kerana hidup kita ini adalah ulangan yang mana kesilapannya pernah dilakukan oleh mereka yang terdahulu. Andai bijak jadikanlah nasihat dan sejarah mereka sebagai pendoman dirimu untuk bangkit merentas samudera kehidupan ini.

Hidup ini satu perkara yang tak boleh engkau duga sama sekali. Mungkin hari ini, engkau impikan yang sebegini tetapi siapa sangka apa yang engkau impikan itu tidak seperti mana yang engkau harapkan.

Teringat daku kalam yang pernah dilemparkan oleh seorang guruku dalam satu ceramahnya kepada semua pelajar di sekolah. Kalam yang ringkas tetapi padat dan membawa seribu satu wawasan bagi mukmin yang bertakwa, "Jadilah mukmin yang bertakwa nescaya kalian tidak akan gelincir".

Inilah cita-cita yang harus disemat dalam diri anak-anak sekalian kerana apabila kita jadi apa sahaja esok hari cita-cita takwa itu takkan lari tetapi jika kita bercita-cita menjadi polis, doktor, engineering, bahawa cita-cita itu belum pasti akan kita perolehi.

Besar maksudnya kepada kita semua kerana kata ini ingin menanam di dalam sanubari kita nilai bertuhan itu satu perkara yang tak dapat dipisahkan didalam kehidupan ini. Hal ini kerana perkara inilah yang akan mengingatkan kita tatkala musibah dan ujian datang melanda, bahwa ini semua adalah milik Allah yang berkuasa untuk melakukan apa sahaja keatas hambaNya.

Andai ia kejayaan maka bersyukurlah, tetapi andai ia musibah, kekecewaan dan tidak seperti mana yang engkau impikan jangan mudah mengalah dan berputus asa. Boleh jadi tuhan lebih tahu apa yang terbaik bagi dirimu dan mungkin mahu menunjukkan kesilapannu yang menjadi asbab terhalangnya kejayaan itu.

Maka untuk meraih sesuatu janganlah pekerjaan ini dilakukan dengan gopoh gapah dan hendaklah diperhalusi dan dicermati jangan sampai lubang-lubang syaitan dan nafsu terbuka mengiringi pekerjaan kalian. Hal ini kerana saat itu kalian telah menempah satu kemurkaan yang besar dari tuhan pencipta alam.

Jalan mujahadah ini tidak pernah senang dan mudah kerana ia dibentangkan bagi orang-orang yang benar mencintai saat pertemuan dengan tuhanNya suatu hari nanti.

Akhir sekali jangan engkau kecewa jika masanya belum tiba untuk dirimu dan bergembiralah kerana engkau masih terus diberikan peluang untuk meningkatkan darjatmu dengan kepayahan yang engkau tempuhi nanti.

Wednesday, March 12, 2014

Anak bagaimanakah dirimu nanti kelak?

Anak yang soleh sudah pasti akan mendamaikan kedua-dua ibu bapanya. Ibu bapa mana yang tidak mahu anaknya berpelakuan soleh dan baik di hadapan mereka. Sudah pasti bagi mereka inilah harta yang paling berharga buat mereka. Bagi mereka cukuplah hanya dengan permata yang dianugerahi oleh Ilahi ini.

Tetapi persoalannya kenapa masih wujudnya anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan berpelakuan buruk pada mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa suatu masa dahulu siapakah yang telah membesarkan mereka sehingga boleh hidup sampai hari ini.

Lalu suara apakah yang akan keluar dari anak-anak tersebut? Kamu melihat kami dengan keadaan kami yang buruk ini tetapi tidakkah kamu memandang ibu bapa kami bagaimanakah ia telah membesarkan kami. Kami selalu mendengar ungkapan tarbiyyah dan pendidikan tetapi apakah itu semua!!! Tidak ada maknanya bila kedua-dua ibu bapa kami adalah orang sentiasa melakukan keburukan. Maka bagaimana acuannya begitulah kami kini.

Tidak kurang suara anak-anak yang berkata, walau macam mana buruk sekalipun kedua ibu bapaku mereka masih tetap ibu bapaku dan akan aku bawa mereka keluar daripada lorong-lorong gelap suatu hari nanti. Sesungguhnya aku mengharapkan bahawa aku akan menjadi anak-anak yang soleh sekaligus membawa rahmat tuhan pada mereka.

Ibu bapaku bodoh kerana segala keinginanku dituruti oleh mereka. Andai ia tidak dituruti pasti aku akan mengamuk dan sudah pasti mereka akan turuti jua. Walaupun kedua ibu bapaku orang yang baik dan sentiasa taat pada perintah tuhan tetapi kelemahan tarbiyah mereka telah mencampakkan aku kepada siapa aku hari ini.

Kesakitan dan keperitan yang dilalui hasil daripada tarbiyyah oleh kedua ibu bapaku telah menjadikan aku seorang manusia yang kenal erti tuhan. Ayahku seorang yang garang, andai dia tahu anak-anaknya tidak sembahyang pasti kami akan dinasihati jika malas maka libasan rotan akan hinggap di kaki. Ketegasan mereka ketika kami masih rebun telah membina kami menjadi pokok yang teguh dengan akar yang takkan berubah.

Ibu bapa yang baik dan anak-anak yang baik mungkin ada yang merasai nikmat kurnian Allah ini. Bagi mereka mungkin ini satu kurnian daripada Allah kepada mereka dengan kehadiran anak-anak yang soleh dan menyenangkan mata mereka. Anak-anak tidak perlu disuruh tetapi andai melihat sahaja diperbuatnya kerana merasakan bahawa itu adalah tanggungjawab mereka. Mungkin inilah yang selalu di sebut orang sebagai dari keturunan yang baik, lalu oleh sebab mereka menjaga diri mereka maka Allah mengurniakan mereka pula dari baka yang baik dan soleh.

Itulah keluarga-keluarga yang ada dan mungkin pelbagai lagi karenah-karenah keluarga yang tak sempat penulis sertakan di sini tetapi apa yang pasti bila di tanya pada sesiapa sahaja, pasti mereka inginkan ANAK YANG SOLEH dalam hidup mereka.

Apa yang pasti tarbiyyah Islami tidak dapat ditinggalkan kerana ia adalah satu kompenan yang penting dalam pendidikan generasi Islam pada masa akan datang. InsyaAllah, inilah jalan yang telah ditinggalkan, cuma apa yang perlu bagi kita adalah untuk melalui jalan itu kembali.