Sunday, March 23, 2014

Mungkin masanya belum tiba

Saat kita merasa bahawa kita belum mampu mengecapi apa yang diimpikan itu, sebenarnya itulah saat Allah mahu memberi kita lebih masa untuk mencapai impian yang sekian lama bermain di dalam mimpi malam yang indah. Tak disangka bahawa penantian itu satu yang memenatkan ditambah dengan seribu kepahitan mujahadah disepanjang laluan perjalanan denai kehidupan.

Kenapa aku tak sama dengan dia? Mungkin ini selalu bermain di dalam pemikiranmu tetapi jangan bersedih wahai diriku kerana tuhan tahu apa yang terbaik bagi dirimu. Buat apa engkau menduduki tampuk kemuliaan bila mana rebah menanti bila-bila sahaja untukmu.

Sesuatu itu ada tempoh dan masanya dan ketahuilah banyak yang perlu engkau dalami dan fahami kerana tidak berlalu setiap fasa kehidupan itu melainkan pasti tuhan sekalian alam menyediakan hikmat yang besar untuk dirimu. Cuma tinggal sahaja untuk engkau mengoreksinya kembali hikmah itu.

Andai engkau pasti ia adalah pilihan yang tepat maka lakukanlah ia dan jangan lupa akan nasihat mereka yang soleh dan berpengalaman dalam hidup ini. Hal ini kerana hidup kita ini adalah ulangan yang mana kesilapannya pernah dilakukan oleh mereka yang terdahulu. Andai bijak jadikanlah nasihat dan sejarah mereka sebagai pendoman dirimu untuk bangkit merentas samudera kehidupan ini.

Hidup ini satu perkara yang tak boleh engkau duga sama sekali. Mungkin hari ini, engkau impikan yang sebegini tetapi siapa sangka apa yang engkau impikan itu tidak seperti mana yang engkau harapkan.

Teringat daku kalam yang pernah dilemparkan oleh seorang guruku dalam satu ceramahnya kepada semua pelajar di sekolah. Kalam yang ringkas tetapi padat dan membawa seribu satu wawasan bagi mukmin yang bertakwa, "Jadilah mukmin yang bertakwa nescaya kalian tidak akan gelincir".

Inilah cita-cita yang harus disemat dalam diri anak-anak sekalian kerana apabila kita jadi apa sahaja esok hari cita-cita takwa itu takkan lari tetapi jika kita bercita-cita menjadi polis, doktor, engineering, bahawa cita-cita itu belum pasti akan kita perolehi.

Besar maksudnya kepada kita semua kerana kata ini ingin menanam di dalam sanubari kita nilai bertuhan itu satu perkara yang tak dapat dipisahkan didalam kehidupan ini. Hal ini kerana perkara inilah yang akan mengingatkan kita tatkala musibah dan ujian datang melanda, bahwa ini semua adalah milik Allah yang berkuasa untuk melakukan apa sahaja keatas hambaNya.

Andai ia kejayaan maka bersyukurlah, tetapi andai ia musibah, kekecewaan dan tidak seperti mana yang engkau impikan jangan mudah mengalah dan berputus asa. Boleh jadi tuhan lebih tahu apa yang terbaik bagi dirimu dan mungkin mahu menunjukkan kesilapannu yang menjadi asbab terhalangnya kejayaan itu.

Maka untuk meraih sesuatu janganlah pekerjaan ini dilakukan dengan gopoh gapah dan hendaklah diperhalusi dan dicermati jangan sampai lubang-lubang syaitan dan nafsu terbuka mengiringi pekerjaan kalian. Hal ini kerana saat itu kalian telah menempah satu kemurkaan yang besar dari tuhan pencipta alam.

Jalan mujahadah ini tidak pernah senang dan mudah kerana ia dibentangkan bagi orang-orang yang benar mencintai saat pertemuan dengan tuhanNya suatu hari nanti.

Akhir sekali jangan engkau kecewa jika masanya belum tiba untuk dirimu dan bergembiralah kerana engkau masih terus diberikan peluang untuk meningkatkan darjatmu dengan kepayahan yang engkau tempuhi nanti.

No comments:

Post a Comment