Tuesday, March 25, 2014

Di antara dua bentuk ujian

Bismillahirrahmanirahim, pemula bicara bagi selemah-lemah kejadian ini disisi-Nya.

Kesenangan dan kemewahan sesuatu yang amat diimpikan dan digemari oleh setiap insan yang bernama manusia ini. Manusia sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk keluar dari kepompong kesusahan dan kemiskinan. Mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja agar nikmat hidup ini dapat dimanfaatkan sebaik yang mungkin.

Kekadang bila iman tidak mengiringi maka kejahatan menjadi petunjuk jalan dalam kehidupan. Bisikan syaitan dan nafsu yang haloba tidak pernah lekang dari membisikkan bisikan yang mengarahkan kita keluar dari garisan fitrah perjalanan hidup.

Hanya atas nama mengerja keseronokkan hidup yang sementara dan bila-bila sahaja ia akan hancur musnah.

Nilai keimanan dalam mengharungi musibah

Sering kali kita melihat setiap bala', ujian, musibah itu sebagai sesuatu yang sangat menyedihkan dan kadang kala memberikan seribu perasaan yang menggugat diri ini. Ramai yang dapat menempuh kesenangan tetapi tak ramai yang dapat menempuh ujian saat ia datang menyapa. Sekali ia datang kita mula hilang arah tuju seakan-akan anak kapal yang kehilangan nakhoda kapalnya.

Lalu bagi yang lemah imannya maka sandaran kesalahan itu dilemparkan pada tuhanNya. Nauzubillah min zalik, agar kita dijauhkan oleh Allah daripada perkara-perkara sebegini. Nilai iman tidak dapat dibandingkan peri pentingnya bagi seorang manusia ini kerana ialah menjadi 'check balance' dan timbang tara bagi seseorang manusia itu kembali.

Sudut pandangan terhadap musibah yang menimpa itulah yang akan menentukan sama ada akan meningkat atau menurunnya darjat seorang hamba itu. Bagi seorang hamba yang melihatnya sebagai satu ujian dan peringatan Allah bagi dirinya, sudah pasti Allah akan mengangkat dirinya dan menunjukinya kepada jalan yang lurus.

Peringatan didalam surah al-fatihah di dalam ayat 5 dan 6 mengajar ini semua kepada kita selaku hamba yang mudah terlupa. Allah telah menerangkannya. Ya, benar! Tetapi manusialah yang lupa saat musibah menjentik sedikit mereka mula hilang arah tuju, sedangkan tuhan mengajar mereka tatkala ditimpa kesusahan minta tolonglah dengan solat dan sabar.

Minta tolong dengan solat dan sabar? Datangnya ujian dan tatkala ditimpa musibah kita diminta untuk solat dan sabar. Macam pelik sahaja caranya bagi anak-anak muda yang hidup pada hari ini kerana mata mereka telah dibutakan dengan kebendaan materialistil dan segala-gala masalah yang datang hendaklah merujuk kepada perkara itu semua.

Sedihnya, akhirnya mereka hilang arah pertunjuk fitrah yang menjadi landasan mereka yang sebenar sejak asalnya.

Minta tolonglah dengan solat dan sabar adalah peringatan yang besar bagi mereka yang mengerti bahawa saat ini tuhan memerintahkan mereka untuk kembali kepada-Nya. Bukan hanya solat yang kosong dan tidak difahami tetapi lebih daripada itu makna hakikat pengertian sebuah solat itu sendiri. Inilah peringatan yang besar bagi semua hamba bahawa hendaklah mereka kembali kepada tuhannya saat ditimpa apa-apa sahaja masalah.

Di antara dua bentuk ujian

Ujian boleh datang dalam bentuk yang sangat kita gemari dan kita sangat benci. Mmm, ada juga ke ujian yang datang dalam bentuk yang disukai dan digemari? Tidak ramai yang tahu dan bertanya ujian kesenangan yang datang dan kadang-kadang lebih dashyat dan bahaya dari ujian musibah yang menimpa. Hal ini kerana ujian kesenangan amat sukar dikesan berbanding ujian musibah yang sangat mudah dirasai.

Teringat satu kata-kata dalam cerita "Sang Murabbi" ketika mana ustaz Rahmat bercerita kepada anak usrahnya, " Monyet ini saat dia memanjat pokok kelapa dan tatkala pokok kelapa itu menerima angin ribut yang kuat lalu apa yang monyet itu perbuat? Sudah pasti memeluk pokok kelapa itu dengan sekuat-kuatnya agar ia tidak bisa jatuh. Tetapi saat angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup, sudah pasti monyet tadi berasa nyaman dan selesa sehingga tidak sedar pelukannya semakin longgar dan kemudiannya...bumbbb! Jadi apa kesimpulannya, jangan jadi monyet".

Mudah dikenal dan mudah dihadapi berbanding tak mudah dikenal dan sukar dihadapi. Dua bentuk ujian yang sentiasa mengiringi kehidupan manusia kerana dunia ini adalah tempat ujian bagi yang bergelar mukmin.

Semoga Allah SWT mengurniakan pada kita selaku hambanya untuk tabah dan kuat menghadapi ujian-Nya ini kerana peringatan ini telah Allah SWT peringatkan hamba-Nya di dalam kitab Al-Qur'an," Bahawa adakah hanya cukup kamu mengatakan, kami telah beriman. Sedangkan belum datang lagi ujian keatas kamu".

Di antara ujian kesenangan dan ujian kesukaran inilah yang menyebabkan musuh-musuh Islam menukar strategi mereka untuk memusnahkan umat Islam ini. Mereka tahu apabila umat Islam diserang melalui perang, mereka pasti kalah. Tetapi berbeza pula bila umat Islam ini ditidurkan dan dibiarkan terus lena, nescaya raksasa yang sebesar mana sekali pun pasti boleh ditumbangkan. Inilah yang terjadi pada dunia Islam hari ini. Kita terus dibiarkan lena tanpa memperdulikan saudara-saudara Islam kita yang lain.

Ujian kesenangan inilah yang perlu kita sedari dan peka agar kita tidak terkeluar daripada garisan sunnah Allah yang telah ditetapkan ke atas kita semua. Semoga peringatan terhadap ujian kesenangan seiring dengan ujian kesusahan kerana ramai mampu berdepan dengan musibah saat ia datang tetapi berbeza pula dengan kesenangan merakamkan ramai yang kecundang saat ia baru sahaja menyapa.

Semoga kita semua terus dalam bimbingan dan hidayah petunjuk Allah SWT dalam meneruskan kehidupan seharian ini.

~Memaknakan sebuah kehidupan~

No comments:

Post a Comment