Thursday, November 14, 2013

Perjalanan kemarin untuk hari ini

Hari semalam

Tidak semua sedar bahawa apa yang telah ia lalui semalam adalah menentukan siapa mereka di kemudian hari. Bukan semua perjalan yang dirancang itu berjalan seperti apa yang dirancang, ada kalanya keenakan dan keselesaan yang diimpikan itu tidak seperti yang dihajati. Tetapi sedarlah kita semua, bahawa peribadi orang-orang yang namanya gah pada hari ini, sudah sepastinya kita akan mendapati setiap ayunan langkah kaki mereka pernuh dengan cabaran dan ujian yang mendatang. Ya, mereka juga macam kita merancang tetapi persediaan untuk menghadapi perancangan itulah yang meletakkan kelebihan kepada mereka. Justeru, persoalan itu berbalik kepada kita,pernahkah kita selepas merancang sesuatu memikirkan pula bagaimana untuk menghadapi perancangan itu?

Tidak ramai yang berjaya dengan mudah. Jika ada mungkin itu rezeki dan anugerah yang diberikan pada mereka. Sebaliknya kebanyakkan dari rata-rata mereka yang berjaya pasti melalui pelbagai pengalaman dalam kehidupan mereka dan hasilnya itulah mereka yang berdiri pada hari ini.

Sebut soal usaha, dari mana kemahuan itu datang

Persoalan usaha dan kemahuan, inilah yang akan menatijahkan sama ada diri istiqomah atau tidak ke arah matlamat yang ingin dicapai. Mudah, tidak! Ia tidak semudah itu.

Usaha ini bertitik tolak dari kemahuan yang kuat yang lahir dari hati. Apa yang mendorong kemahuan tersebut sehingga menatijahkan tindakan usaha untuk mencapai apa yang dihajati. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai kemahuan yang berpasak atau dipasak sehingga diterjemahkan sebagai satu keazaman yang bersimpul kukuh didalam hati untuk mencapai apa yang dihajati.

Adakah kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati? Ya, sudah tentu kemahuan itu boleh datang dan pergi sesuka hati jika ia diletakkan sebagai angan-angan kosong tetapi sebaliknya pasti berlaku jika kuasa dari kemahuan itu ditukar kepada kuasa keazaman untuk menggerakkan gear-gear usaha. Hal ini demikian kerana dari keazaman inilah yang sebenarnya akan diikuti pula oleh tindakan untuk mencapai matlamat yang diingini, sama ada matlamat jangka pendek atau panjang.

Dari kaca mata Islam

Soal hari semalam, hari ini dan masa hadapan, selalu dipandang serius oleh agama ini. Hal ini kerana Islam melihat tiga tempo masa ini saling berkait dalam kehidupan seorang individu muslim itu. Bukan itu sahaja, malah dari ketiga-tiga bahagian masa ini akan menterjemahkan jatuh bangun kehidupan umat itu sendiri. Lihat sahajalah bagaimana kombinasi dari tiga masa ini tidak pernah diabaikan dan disisihkan dari penceritaan di dalam al-Quran. Persoalannya, kenapa tiga masa ini diberi penekanan sebegitu rupa? Hal ini bertujuan umat manusia khususnya muslim sentiasa belajar dari kesilapan dan kejayaan umat-umat terdahulu untuk dibawa di dalam kehidupan mereka sehari-harian.

Hadis baginda Rasulullah saw ini yang tidak asing bagi kita ini berkenaan seseorang yang mana sabda baginda jika di tangan kamu mempunyai sebiji dari biji tamar dan pada masa sama kiamat terlalu hampir dengan dirimu, jika sempat kamu menanamnya maka tanamlah biji tamar tersebut. Dari hadis ini dapat kita mengambil pengajaran supaya sentiasa melihat kehadapan dan tidak mudah memandang kebelakang kerana inilah ciri kemuliaan seorang muslim. Moving Forward.

Seharusnya kesedaran ini digerakkan bagi menggerakkan umat Islam yang masih lena dari tanggungjawab mereka. Supaya dengan ini mereka sedar akan peranan hidup mereka dan sekaligus bagaimana memperanankan kembali peranan hidup mereka sebagai khalifah di muka bumi Allah.

Semoga hadis ini mengingatkan kembali urusan yang belum kita selesaikan di atas muka bumi ini, "tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan tiap-tiap kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinan kamu".

Masa sebagai teman dan juga mungkin sebagai musuh dan pada saat itu, waspadalah!!!

No comments:

Post a Comment