Wednesday, September 25, 2013

Berbicaralah dengan ulama' walau beliau sudah pergi

Berbicaralah selalu dengan ulama' walau beliau sudah tiada lagi di alam dunia ini. Ulama adalah penerang kepada kegelapan yang menyelimuti ulama. Merekalah yang menggalas amanah ini dibahu buat meneruskan perjuangan para ambiya' dan rasul. Kehadiran mereka menjadikan ummat ini celik akan ilmu pengetahuan. Kehilangan mereka merupakan satu kehilangan yang besar kepada ummah ini.

Mereka sedar akan hal ini, oleh itu mereka telah meninggalkan satu khazanah yang amat berharga kepada umat ini agar umat ini terus dibimbing dalam menelusuri lautan ilmu yang terbentang luas ini. Merekalah yang telah bersusah payah demi mempermudahkan urusan kita yang ada pada hari ini dalam mencari dan meneliti pelbagai ilmu pengetahuan yang ada pada hari ini.

Kitab-kitab karangan mereka menjadikan mereka sentiasa hidup disamping manusia yang ada pada hari ini, walau mereka telah meninggalkan dunia ini beratus-ratus tahun dahulu. Nasihat dan ajaran mereka terus hidup sehinggalah sudah tidak ada lagi masa buat dunia ini.

Membayangkan diri sedang duduk di kuliyah yang diajar oleh para ulama'-ulama' tatkala tangan ini membelek setiap lembaran kertas yang mengandungi penulisan ulama' silam yang sanggup menanggung jerit perih ini demi generasi ummah akan datang. Alangkah indahnya perasaan ini saat diri merasakan seakan-akan para cendikiawan islam sentiasa hidup dan terus hidup demi mendampingi mereka yang cintakan akan ilmu.

Mereka tidak pernah letih dan penat untuk menerangkan dan mencerahkan ummah ini agar sentiasa berada dalam lembayung rahmat ilahi. Tetapi sayangnya bila kebanyakan antara kita mula merasa jemu untuk membelek lembaran khazanah yang ditinggalkan ini. Hanya tinggal untuk difahami dan disampaikan sahaja, itu pun dikira susah dan sukar oleh ummat pada hari ini. Muhasabah diri perlu dilakukan bagi menginsafi diri kerana lihat sahaja bagaimana pengorbanan yang dilakukan umat terdahulu sehingga sanggup mengorbankan masa rehat mereka, sehingga ada juga yang tidak berkahwin kerana tidak pernah terlintas di fikirannya lantaran hanya memikirkan perihal ilmu setiap masa.

Semangat dan usaha yang pernah dirintis oleh ulama' terdahulu perlu dicontohi para pencinta ilmu yang ada pada hari ini. Hal ini kerana kalian telah selangkah melangkah menjejaki perjalanan sang pencerah ummah ini.Semoga suatu hari nanti nama kalian pula yang seharum nama-nama mereka yang telah menyediakan diri mereka demi menyambung perjuangan baginda Rasulullah saw terhadap ummah ini.

No comments:

Post a Comment