Monday, September 29, 2014

Jangan tanggungnya seorang diri

Jangan tanggungnya seorang diri kerana engkau punya teman dalam perjuangan ini. Ya, setiap apa yang dilakukan rasalah keberadaan teman seperjuanganmu di samping. Percayalah mereka juga sedang penat dan bersusah payah demi menjayakan misi dan agenda Islam ini. Kita semua sama-sama berpenat lelah dalam usaha yang mulia ini.

Sering kali kita merasakan keseorangan kerana emosi yang terusik dan ditambah lagi dengan godaan syaitan-syaitan yang menggoda kita dari semua ruang sudut yang ada untuk melemahkan gerak kerja dakwah kita ini. Kadang-kadang kita lupa siapa yang memberi kita kekuatan untuk terus kita beristiqomah dalam perjuangan ini. Jalan ini walaupun ia lurus tetapi di setiap persimpangan tersedia keindahan dan ujian yang kadang-kadang akan menlambatkan perjalanan kita dari destinasi yang sebenar, tetapi apa yang lebih teruk ialah kita terus terpesong dari jalan yang lurus tersebut.

Persediaan dan bekalan itu perlu agar kita tidak terpengaruh dengan ajakan pujuk rayu keindahan dunia ini. Bekalan inilah yang akan memastikan kita terus memacu laju untuk menyampai arah tuju sasaran. Reset your mind to achieve your goal. That is very important to us as muslim. Sayang seribu sayang bila musuh bergerak laju dari arah timur,barat,utara, dan selatan untuk menyerang Islam dari semua penjuru, kita semua masih leka dan alpa diulit dengan nafsu syahwat masing-masing.

Teman saat inilah engkau perlu dalam menguatkan dan menyuntik kembali bius-bius kekuatan bagi aku meneruskan jalan juang yang ditinggalkan ini bagi menyambung baki-baki sisa larian. Kerana aku sedar saat baton larian bertukar tangan itu saat untuk engkau berehat dan aku pula yang meneruskan larian ini. Doakan aku wahai teman yang telah berehat dari larian ini. Pecutanmu telah menyemarakkan diriku untuk menghabiskan larian ini.

Perjalanan yang jauh ini menuntut teman di samping kerana tanpa teman amat sukar bagi meneruskannya. Kadang-kadang teman disisi silih berganti bagi menemani perjalanan ini. Apa-apa pun aku tahu niat dan matlamat kita semua sama demi melihat sinaran cahaya agama ini kembali menyinari alam ini. Kekadang aku juga mengeluh padamu teman kenapa perjalanan kita ini begitu lambat untuk tiba di destinasi yang kita semua dambakan dan tidak kurang teman-teman perjalanan yang telah berehat di alam yang abadi sana.

Tetapi engkau teman sentiasa menasihatkan dan menjadi pendorong semangat untuk kami semua menghabiskan trek laluan ini melalui firman tuhan dan juga sabdaan baginda Rasulullah saw. Setiap kali kami mendengar firman tuhan yang mengemesik ke jiwa kami ini, kami sedar dengan kelemahan dan begitu kami sangat mengharap pertolongan dan bantuan dari empunya kerajaan langit dan bumi ini. Ungkapan dan kalam mulia baginda nabi Muhammad saw saat terucap di hadapan kami bagaikan saat itu kami menghadap baginda dan mendengar bait-bait mulia kalam baginda.

Inilah kekuatan kami bila kita semua berteman dan berjemaah. Oleh sebab itu wahai temam, janganlah menanggung sesuatu dengan bahumu bersendirian. Percayalah engkau juga mempunyai teman seperjuangan yang juga mempunyai pelbagai masalah dan malahan tidak sedikit untuk diselesaikan hanya semata-mata kerana ummah. Di mana-mana sahaja di bumi Allah ini, andai matlamat dan cita-citamu untuk meninggikan kemuliaan Islam ini, percayailah bahawa kami adalah teman kalian dan kami juga turut berusaha di tempat kami.

Janganlah bersedih wahai teman, kerana kita ada Allah dan Rasul untuk membimbing perjalanan ini. Semoga bayaran syurga menjadikan penat lelahmu hilang dari dirimu. Dan akhir sekali percayalah bahawa engkau tidak berseorangan di sini.


No comments:

Post a Comment