Tuesday, October 14, 2014

Andai anda penat, ingatlah...

Andai anda penat, ingatlah bahawa ada orang yang lebih penat dari diri  anda. Kepenatan yang kita sering laungkan ini bermula dari minda kita sendiri. Kitalah yang membentuk diri kita untuk apa kita dijadikan dan diprogramkan.

            Cuba bayangkan kepenatan yang dilalui oleh sahabat baginda rasulullah ketika menghadapi peperangan mu’tah yang mana kita ketahui dengan jarak perjalanan yang sangat jauh beribu-ribu batu kilometer dan dengan kelengkapan yang serba kekurangan dalam menghadapi musuh yang berganda-ganda dari bilangan tentera kaum muslimin, tetapi persoalannya dimanakah kekuatan mereka sehingga berjaya menempias jauh kepenatan  itu.

            SubhanaAllah, dari mana lahirnya kekuatan ini. Mereka juga manusia seperti kita tetapi apa yang membezakan mereka dengan kita semua. Apa yang menyebabkan keazaman mereka tertanam begitu rapi. Mengapa umat pada akhir zaman ini begitu lesu dan mudah mengalah dengan keadaan akhir zaman ini. Di manakah kehebatan orang-orang yang mengaku mereka sebagai muslim. Tidak terlihat lagi para-para pemuda Islam yang mendabik dada dengan pernuh kemegahan.

            Kesilapan apakah ini yang menyebabkan kita merasakan bahawa kita terus tenggelam dalam kekesiaan yang sering menghambat perjalanan hidup kita ini, sehingga terbit dari mulut ini, “Aduh, aku sudah penat dengan kerja ini”. Di manakah orang yang mampu menyatukan gerak kerja kita ini bagi menumpaskan kerajaan Rom moden pada hari ini? Siapakah pemimpin muda kita yang mampu memimpin barisan ketenteraan ummah yang rapuh pada hari ini seperti mana pernah dilakukan oleh Zaid bin Harithah.

            Ya, kita berasa sangat penat untuk memikirkan apa yang sedang melanda kita pada hari ini.Mengapa pemuda hari ini tidak sekelihatan pemuda di zaman Rasulullah. Apakah pemuda hari ini sebegitu lemah! Jadi dimanakah kesilapannya?

            Tiada yang silap dan tiada yang salah. Saudaraku, ketahuilah apa yang engkau persoalkan ini seakan-akan pertanyaan demi pertanyaan yang pernah ditanyakan sahabat Rasulullah saw pada baginda. Kita pun sama seperti mereka, jika kita merasa penat mereka pun merasa penat, bahkan lebih penat dari kita. Perjuangan mereka mununtut mereka untuk bersabar sangat lama sehingga mereka dibenarkan mengangkat senjata. Sehingga setiap pertanyaan dan cadangan untuk melawan dibalas dengan jawapan baginda dengan sabar.

            Mereka patuh dan taat walau mereka terpaksa bertahan dalam tempoh masa yang sangat lama. Kezaliman dan kekejaman serta penindasan yang mereka lalui dihadapi hari demi hari dengan tabah dan sabar. Ini kerana baginda Rasulullah bersama dengan mereka turut menghadapinya sehingga turun ayat perintah hijrah.

            Tiada beza kepenatan mereka dengan kita, apa yang mebezakan adalah kecekalan dan keazaman yang utuh untuk menghadapinya. Semua ini adalah ujian dari tuhan yang maha esa bagi melihat sejauh mana hamba-hambanya berusaha dalam meraih keredhoan-Nya. Selain itu juga, inilah tapisan dalam mengenali hamba-hambanya yang ikhlas dalam meniti liku-liku perjalanan yang penuh dengan ranjau duri ini.

            Akhir bicara, andai anda penat ketahuilah bahawa mereka yang sebelum kita telah berpenat terlebih dahulu sebelum kita. Nescaya pasti kalian akan tersenyum dan memandang ringan kepenatan ini. Teruskanlah langkahmu wahai teman dan jangan sesekali berhenti sehingga engkau dihentikan dengan pemutus kelazatan.




No comments:

Post a Comment