Friday, May 16, 2014

Guruku Andai kalian mengetahui..

Guruku kalian merupakan seorang yang sangat mulia dek kerana ilmu yang terkandung dalam dada kalian. Tanpa kalian siapalah kami dalam melayari denai-denai kehidupan di kemudian hari. Oleh itu, peranan dan usaha kalian tidak dapat dipertikaikan dalam erti mendatangkan pencerahan terhadap umat ini. Sesuai dengan gelaran guru maka terpikul dibahumu satu amanah umat yang besar.

Andai ia dipandang enteng dan sambil lewa maka engkau tidak akan melihat pada pelajarmu sebagai pewaris masa depan melainkan melihat mereka sebagai untuk memperlengkapkan tanggungjawabmu sebagai seorang guru yang makan gaji.

Adakah begitu sahaja perjalanan hidupmu sebagai seorang manusia yang ingin di pandang sebagai guru. Jika begitu kalian sedang mempersediakan generasi yang tidak mempunyai nilai didikan atau tarbiyyah dan hanya semata-mata pembelajaran yang menunggu masa untuk basi laksana nasi goreng ayam lima hari yang lepas. Pembelajaran semata-mata tiada gunanya andai tiada didikan yang akan mencorak kehidupan mereka di masa hadapan.

Mungkin kalian mengatakan anak-anak dewasa ini manja dan tidak mudah dibentuk dan diajar kerana sistem pendidikan dan poerguruan hari ini yang jauh berbeza daripada dahulu sehinggakan segala perkara yang kalian hendak lakukan mestilah berasaskan kepada sistem.

Perlu diketahui dan dimaklumi manusia bukan robot, bahkan kitalah yang membuat sistem itu untuk membantu melicinkan tugas kita sebagai seorang guru. Tapi apa gunanya sistem itu apabila ia tidak berjaya menjadikan seorang pelajar yang berakhlak dan berjiwa tauhid, untuk apa!!!


Guru mengikut acuan al-Din

Dewasa ini, satu perkara yang sangat besar semakin hilang dari dada seorang pendidik. Mereka yang kita gelarkan sebagai guru tidak akan ada maknanya bila hubungan mereka dengan Allah begitu jauh sekali. Bagaimana mungkin kita mahu seseorang yang mengabaikan hubungan dengan tuhannya untuk menjadi guru keatas anak kita.

Oleh sebab itulah, para ulama' terdahulu sentiasa berpesan dan menasihati keatas anak murid mereka agar sebelum mempelajari ilmu itu dari seseorang maka perhalusilah siapa guru yang akan kamu temui itu untuk menadah ilmu darinya. Inilah beberapa adab yang di ajar oleh ulama' terdahulu agar kita tidak tergopoh-gapah dalam menuntut ilmu dari seseorang.

Adab ini agar kita menjadi orang mencermati terhadap siapa penyampai ilmu tersebut. Jangan sampai bila sudah menuntut barulah melahirkan kekecewaan dan ini akan mengundang kepada kurangnya berkat dalam menuntut ilmu.

Seorang guru itu seharunya berjiwa rabbani kerana ilmu yang disampaikan itu bersifat cahaya dan menerangi jalan bagi mereka yang mendapatnya. Sifat ilmu yang kita semua sedia maklum adalah terang dan cerah. Hal ini kerana ilmu itu walau dari mana sekali pun cabang ia berasal tidak kiralah ilmu sains, geografi, astronomi dan lain-lain, akhirnya membawa kepada satu tujuan iaitu semakin mengenal tuhan pencipta dan semakin dekat tunduk pada-Nya.


Golongan yang dimuliakan dengan Ilmu

Sungguh kalian dimuliakan dengan ilmu yang dimiliki. Sejak dahulu lagi kelebihan orang yang berilmu ini sering dilebihkan keatas manusia-manusia yang lain. Hal ini kerana merekalah orang yang mencorakkan dan memandu manusia di mana-mana sahaja mereka berada. Manusia lainnya ibarat pelaksana ke atas agenda kehidupan ini.

Tanpa panduan dan bimbingan dari guru maka setiap sesuatu yang ingin dilakukan ibarat tanpa sang pengemudi kehidupan bagi menentukan haluan destinasi yang ingin dituju. Bukan itu sahaja lihatlah sahaja bagaimana para ilmuwan terdahulu begitu dimuliakan oleh para pemerintah mereka kerana melihat merekalah aset terpenting negara dalam menggerakkan kemajuan dan kemakmuran negara.

Sebab itulah antara perkara yang cuba diselamatkan dahulu daripada musnah ialah ilmu dan para ilmuwan kerana mereka lebih berharga daripada segala apa bentuk kekayaan yang ada di dunia ini. Jika negara jatuh dapat dibangunkan kembali jika disana adanya golongan bijak pandai.

Tetapi andainya negara itu tidak mempunyai golongan ilmuwan dan bijak pandai, tunggu sahajalah masanya untuk rebah dan mustahil untuk mereka bangkit kembali. Kelebihan dan kemuliaan ini tidak datang kepada mereka melainkan hanya semata-mata ilmu yang ada bersama mereka.


Sedih bila ia hanya semata-mata pekerjaan duniawi

Hari ini tidak sama lagi seperti hari semalam, bukan ingin kukatakan keseluruhan tetapi mungkin sebahagian, yang mana yang sebahagian inilah yang bakal mencorakkan ratusan ribu anak bangsa suatu hari nanti, yang mungkin tidak lagi menganggap ini sebagai satu perbuatan mulia yang tergalas di bahu amanah mereka.

Hanya semata-mata pekerjaan, pergi pagi balik petang dan apabila tiba masanya hujung bulan makan gaji. Tahniah kepada guru-guru yang bersikap sebegini anda telah berjaya menjalankan pekerjaan anda dengan jayanya sebagai satu profesion perguruan yang cemerlang. Maka memang wajarlah sambutan hari guru setiap tahun untuk kalian semua.

Tetapi apa maknanya pada kami sebagai anak bangsa yang bakal dididik oleh kalian!!! Didikan apakah ini yang menyesakkan kami. Oh, silap. Ia tidak sepatutnya dipanggil pendidikan tetapi hanya layak dipanggil sebagai pembelajaran oleh kalian guru. Maaf guru dek kerana kami masih belajar dan kalian lebih mengetahui.

Terima kasih guru kerana menjadikan pembelajaran itu hanya semata-mata pembelajaran dan tidak meninggalkan sedikit apa pun kesan didikan di hati kami.


Guru sekolah bukan kilang dan kami bukan produk

Guru penulisan ini bukan bermaksud muridmu ini hendak memperlekehkan dirimu tetapi anak muridmu ini berasa terkilan dengan sikap sebahagian guru yang ada pada hari ini. Guru, muridmu ini tidak pernah memandang rendah pada kemuliaanmu itu dan sekali-kali tidak akan pernah merendahkan tingkat kemuliaanmu.

Dirimu sungguh mulia sehingga hadis Rasulullah SAW banyak mengungkapkan kelebihan dan kemuliaan orang yang berilmu.

Dikau wahai guruku sangat bererti bagi kami semua. Andai kalian tiada siapa yang akan memandu kami mengenal dunia di luar sana. Bahkan kalian seakan-akan merupakan ibu bapa kami yang kedua di rumah yang dikenali sebagai sekolah.

Tetapi jika kalian memandang kami sebagai produk yang akan dihasilkan oleh kilang yang bernama sekolah, alangkah dukacitanya hati anak muridmu ini. Kami tak salahkan kamu wahai guru, mungkin desakan dari sistem pendidikan menjadikan kalian sebegitu. Mungkin...Tetapi bukankah segala-galanya atas tangan kalian wahai guru.

Maafkanku wahai guru, kami amat sedih kerana apabila diri kami ini tak ubah hanya sebagai bahan produk yang akan dikeluarkan dari kilang yang bernama sekolah. Jika inilah diri kami dari pandangan kaca matamu wahai guru, terima kasih anak muridmu ucapkan.


Pandanglah siapa muridmu

Guruku, seringkali kami dibeza-bezakan kerana nilai intelektual kami tidak sama antara satu sama lain. Jika yang pandai dan bijak pasti mereka akan menduduki kelas hadapan tetapi bagi yang lambat pasti menduduki kelas belakang. Kami bukannya bodoh wahai guruku, cuma kami lambat untuk menerima pembelajaran seperti mana kawan-kawan kami yang cepat menerimanya.

Kami sedar mereka yang bodoh ialah mereka yang malas belajar dan tidak mahu berusaha, tetapi kami mahu menjadi hebat di kemudian hari biarpuan kami amat lambat untuk memahami pembelajaranmu wahai guru. Kami akan terus berusaha dan berusaha kearah itu.

Tetapi ketahuilah wahai guruku, saat engkau memperlekeh dan merendahkan kami dan membandingkan kami dengan mereka dihadapan, kami berasa sangat sedih. Siapa yang tidak ingin menjadi bijak dan cepat mempelajari sesuatu? Semua mahu jadi sebegitu. Tetapi kami tidak marahkan kalian wahai guru kerana ini memang diri kami dan kami memohon maaf anda kelembapan kami dalam menerima pelajaranmu.

Cuma satu sahaja wahai guruku, kami juga sangat berharap pada dirimu wahai guru untuk merasai apa yang dikatakan sebagai "DIHARGAI" olehmu.


Guruku Andai kalian mengetahui...

Guruku, peranan kalian sungguh besar dan sangat mulia. Amanah ummah yang terpikul dibahu kalian bukan semata-mata amanah kosong. Kalian memegang amanah untuk mendidik ratusan ribu anak-anak baru di kemudian hari.

Guruku, jangan lupa untuk menghubungkan pekerjaan kalian hari ini sebagai satu ibadah pengabdian kepada tuhan rabbul jalil. Jika ini yang engkau lakukan wahai guruku, ternyata engkau wahai guruku telah meletakkan darjatmu tinggi di sisi Allah SWT. Ingatlah wahai guruku, walau apa sekalipun yang lakukan jangan lupa untuk sandarkan ia pada tuhan pencipta alam.

Andai engkau lemah Allah ada untuk memberikan kekuatan dan bimbingan padamu. Guruku, percayalah pekerjaanmu ini sangat mulia dan tinggi darjatnya.

Sesungguhnya wahai guruku, kami merasa dengki dan iri hati dengan pekerjaan yang sedang engkau lakukan kini. Dek kerana kemulian dan ketinggian yang menunggumu di hari sana kelak.


Kalian penyambung usaha mulia

Semoga kalian wahai guruku tidak pernah puas dan jemu untuk mendidik kami. Semoga didikan dan ajaran yang kalian limpahkan kepada kami menjadi pendoman buat kami untuk meneruskan kehidupan di alam yang penuh mencabar di luar sana.

Terima kasih wahai guru kerana sudi menyambung usaha mulia ini untuk kami.



Diriku hanya anak muridmu dan dirimu guruku.
Selamat Hari Guru Buat Semua Guru Yang Pernah Mendidik Diriku Ini.




No comments:

Post a Comment