Monday, May 23, 2011

Mencari Bayu Yang Hilang

Mencari Bayu Yang Hilang

Hari ini kalau kita melihat keadaan semasa yang memamah generasi muda kita pada hari ini , kita menyedari saat kemusnahan dan keterpurukan yang mengikis sedikit demi sedikit menunggu masa untuk ditewaskan. Sungguh sedih hari ini apabila melihat generasi pemuda yang sebaya dalam menungkah arus modenisasi tanpa persediaan iman dan takwa. Mereka lemas dan tenggelam dalam keseronokan dan keselesaan tanpa memperdulikan bahawa mereka sebenarnya telah terjerat dalam lubang sangkar musuh yang menunggu masa untuk digoreng lalu dikicapkan bagi menjadi santapan pagi si perancang kejahatan.

Nilai murni yang sepatutnya menjadi pakaian mereka ditinggalkan kerana merasakan pakaian akhlak Islam tidak lagi sesuai dengan mereka, padahal mereka sebenarnya lupa bahawa pakaian itu di buat dari kain yang sama pernah menyelimuti mereka ketika kecil dahulu. Kain yang dicorakkan dengan celupan Allah itu dan apakah corak yang lebih baik dari celupan Allah ini telah di pandang sinis oleh manusia yang seagama denganku. Mereka sanggup mengambil celupan thaghut sesudah celupan yang terbaik diberikan pada mereka.

Dasar si pelupa yang tidak sedarkan diri dan tidak cuba menyedarkan diri dari kelekaan yang menunggu masa untuk menghempap mereka laksana buah kelapa yang menimpa kepala dari atas pokok. Cukupkah hanya kita sekadar menonton sketsa kehidupan ini tanpa cuba melakukan perubahan, ketika lawak kita ketawa, ketika sedih kita menitiskan air mata tanpa bertempat, ketika pengakhirannya gembira kita melahirkan rasa kesukaan, padahal nasib kita dikemudian hari menangis tidak bersepi akibat bius yang cukup mengkhayalkan ini.

Hai jauh lagi pemuda hari ini dibandingkan dengan terdahulu, kalau dahulu mereka penuh kewawasanan dalam diri untuk melakukan sesuatu untuk melihat permata Islam bersinar ke setiap penjuru dunia hanya pabila terkena sedikit sahaja  panahan cahaya matahari. Tapi kini tidak lagi apabila pemuda kita ibarat biskut yang lemau yang tidak lagi enak apatah lagi dipandang. Lemaunya kalian ni semua, rasa nak tergeli hati tengok kalian yang terus tidur dalam kebodohan tanpa ada sedikit peduli pada saudara-saudara kalian diluar sana yang sedang menyimpulkan seribu keazaman untuk meruntukan raksasa kejahilan berserta senjata si pertualang pengecut yang tidak berani berhadapan secara berdepan.

Meskipun mereka sedikit, penyediaan rempah ratus dan bahan-bahan masakan yang betul dan terpilih  mereka sediakan demi menyediakan ramuan masakan yang hebat walaupun mereka mengalami pelbagai cabaran dan ujian yang sangat hebat dari pencipta sekalian alam. Tapi ketabahan mereka dalam mencari dan memilih bahan-bahan terbaik ini telah meletakkan mereka sebagai tukang masak dalam menyediakan masakan terbaik yang mengharumkan nama Islam itu sendiri. Tidak seperti kalian yang mengambil ramuan yang jijik dan kotor tanpa memikirkan halal haram dalam penyediaanya sehinggalah lahir umat yang kekenyangan dalam kemalasan si lembu yang menunggu masa untuk di sembelih.

Sedarlah kalian semua, udara sejuk di pagi hari yang satu ketika dahulu biasa menyapa umat ini di waktu dinihari sudah tidak lagi dirasai tatkala bangkit untuk menunaikan perintah ilahi. Kerana umat ini leka sehingga hanya cahaya terik panahan matahari di tengahari sahaja yang mengenal kita untuk mengejukkan kita makan bagi memenuhi tong-tong kelaparan . Bangunlah sekali lagi dari lamunan kalian untuk mencari kembali bayu yang hilang ini.

No comments:

Post a Comment