Thursday, June 7, 2012

Nasihat dari ayahanda tercinta

Damainya suasana waktu pagi
Alhamdulillah, betapa murahnya rezeki Allah ini diberi lagi peluang untuk aku meneruskan kehidupan sebagai seorang hamba. Tak ku ketahui adakah nilai pemhambaanku ini cukup buat menyelamatkan diri ini di akhirat kelak, tetapi ku sedar bahawa tidak mungkin aku akan selamat dengan diri ini yang hanya berbekalkan bekalan amal ibadah sahaja.

Tidaklah diri ini akan selamat melainkan hanya dengan syafaat dari Allah tuhan yang maha pengasih lagi maha penyayang berserta juga syafaat daripada Rasulullah SAW bagi umatnya. Pada waktu pagi yang sungguh nyaman itu aku menunggang motorsikal ke masjid bagi menunaikan solat subuh berjemaah di masjid. Alangkah sepinya masjid apabila jemaah yang datang tidaklah ramai, bahkan melihat kepada rata-rata jemaahnya juga kebanyakan hanya terdiri dari kalangan golongan tua berbanding orang muda.

Sesungguhnya ini seharusnya dijadikan pengajaran dan iktibar kepada jiwa-jiwa yang sentiasa menginsafi keadaan yang telah berlaku pada hari ini. Sedih dan cukup menyedihkan apabila kita melihat dan memerhatikan  kehidupan masyarakat Islam di Malaysia ini. Kehidupan material telah mengaburi segala-galanya sehingga rasa ketuhanan sedikit demi sedikit terhakis dari diri tanpa disedari.

Menunggu masa solat subuh menjadi seperti solat jumaat perlu dimulakan dengan diri yang mempunyai kesedaran dan ketakwaan pada Allah yang esa, kerana sesungguhnya jika saat itu berjaya dilaksanakan, sudah pasti umat Islam kembali Digeruni dan dimuliakan. Generasi rabbani yang diimpikan perlu dimulakan dengan diri sendiri sebelum disebar luaskan kepada seluruh manusia.

"Eh, macam abang Nawawi je duduk sebelah sana, tak mengapa nanti aku sapa." monolog diriku . Memang sah abang Nawi rupanya yang memakai serban merah itu.Hahaha, cantik juga gaya pemakaian abang Nawi ni.(Dah lama tak pakai serban sejak masuk kampus ni, tu yang jiwa jadi kecut tu.) Setelah bertegur sapa dengan abang Nawi maka aku meneruskan misi peribadiku iaitu mengisi perut di kedai makan Mannu Salwa. Roti canai pun roti canailahhh.

Ke rumah Dr Zulkifli al-Bakri

Hari ni kami semua telah bercadang untuk pergi berziarah ke rumah Dr. Zulkifli al-Bakri seorang ulama yang tidak asing lagi dalam negara ini. Beliau seorang yang faqih dalam bidang syariat. Seseorang yang sentiasa dijemput di mana-mana sahaja bagi menyampaikan kuliah agamanya dek kerana ilmu yang dikuasai oleh beliau.

Rombongan kami yang terdiri dari pelajar muslimin dan muslimat selamat tiba di rumah Dr. Zulkifli al-Bakri yang diketuai oleh sahabatku Syed Haashim yang telah mengaturkan segala-galanya bagi aktiviti ziarah yang penuh bermakna ini. Ustaz Zul sanggup menangguhkan programnya yang lain kerana anak muridnya ini datang berziarah ke rumahnya, alangkah betapa segannya kami rasakan pada beliau.

Taujihat dan tahsiyah daripada ayahanda Dr. Zulkifli al-Bakri amat bermakna apabila beliau mengingatkan kepada semua pelajar agar sentiasa memanfaatkan masa yang sebaik yang mungkin kerana ini adalah masa yang terbaik untuk menggarap segala ilmu pengetahuan. Kata beliau segala usaha perlu diarahkan kearah itu bagi menjadi seorang yang pakar dalam bidang masing-masing. Untuk menjadi seorang yang hebat perlu bermula dari sekarang kerana mereka yang berusaha secara biasa akan mendapat hasil yang juga biasa-biasa.


Tambahan lagi, ustaz Zul berpesan setiap daripada kita hendaklah menjadi benteng dari bidang masing-masing. Usahakanlah bersungguh-sungguh agar kita dapat menguasai bidang kita itu dengan sepakar-pakarnya buat menjadi penunjuk jalan kepada umat di masa hadapan.

Nasihat yang cukup baik bagi kami para pelajar dari ustaz Zul yang mengandungi seribu mutiara kata buat memandu kami dalam menelusuri jalan-jalan yang penuh liku di kemudian hari. Terima kasih ustaz Zul. Nasihat ini tidak akan kami lupakan dan akan kami sematkan ia baik-baik dalam dada kami.

Dan pengakhirannya sudah pasti makan-makan pula.
(takkan nak cerita juga kot...)

No comments:

Post a Comment