Thursday, January 24, 2013

Sambutan Mauludul Rasul antara perayaan dan penghayatan

Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah SWT kini kita sekali lagi menyambut sambutan mauludul rasul bagi tahun 1434 bersamaan 2013 masihi. Di Malaysia kita lebih sinonim dengan tarikh 12 rabiulawal berbanding tarikh 9, 7 dan lain-lain lagi khilaf tarikh kelahiran Rasulullah SAW.

Walau apa pun tarikh kelahiran baginda Rasulullah saw itu adalah khilaf di kalangan ulama dan tidak perlulah kita berbalah kerana perkara ini kerana perkara ini tidak jelas. Para ulama' ini hanya mengatakan berasaskan kajian dan hujah yang mereka ada.

Baik, kita tinggalkan dahulu persoalan berkenaan khilafiyyah kerana bukan itu maudu' perbahasan kita untuk kali ini. Sering kali kita menyambut sambutan mauludul rasul bahkan ia sudah sebati dengan masyarakat Islam di Malaysia. 

Tentu sahabat-sahabat pernah ketika berada di alam persekolahan, satu majlis perarakan mauludul rasul diadakan di sekolah. Lalu bergemalah bunyi pukulan gendang yang memecah keheningan disertai dengan selawat beramai-ramai yang dialunkan oleh para pelajar. Tak kurang juga di kampung-kampung dan juga masjid suasana inilah yang akan kita dapati tatkala 12 rabiulawal datang menyinggah.

Cukupkah ia sekadar perayaan semata-mata?

Sahabat-sahabat yang ku kasihi sekalian, dahulu bukan main bersemangatnya kita tatkala berselawat dan memukul gendang tanda kegembiraan menyambut maulid nabi kita Muhammad  SAW. 

Riak muka yang gembira terlihat dari wajah-wajah kanak-kanak dan orang dewasa. Sehinggakan tak terasa perarakan yang jauh itu. Merasakan bagaikan baru sebentar berjalan. Sudah pasti selepas itu ceramah bersempena mengingati nabi Muhammad pula yang akan disampaikan.

Selesai sahaja ceramah, semua hadirin hadirat berserta dengan tepikan kanak-kanak riang berkejaran ke meja makan untuk mengambil makanan. Terpampang wajah-wajah kegembiraan mereka semua. Selesai sahaja semua itu mereka pun beransur-ansur pulang.

Kemudian apa yang berlaku perkara semalam akan dilupai dan kita wahai sahabat-sahabat semuya kembali hidup memikirkan kehidupan di dunia ini. Masalah-masalah kehidupan yang membelengu pemikiran kembali menjadi perkara utama untuk diselesaikan. Sehinggakan kadang-kadang kita mengambil cara-cara yang bertentangan dengan syariat Islam itu sendiri.

Apakah ini ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW!!!Tidak sekali-kali tidak wahai sahabat-sahabat sekalian. Hanya sekadar mengingati tarikh kelahiran baginda bukan pelengkap syarat bahawa kita akan terlepas dari taklifan sebagai hamba Allah SWT. Tugas baginda adalah sebagai penyeru kepada ajaran Islam yang mulia ini.

Jadi tanyalah diri kita sendiri apakah kehidupan yang kita jalani pada hari ini telah mengikut seratus peratus dari manhaj kehidupan yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW dari segi sosial, ekonomi, jenayah,politik dan lain-lain lagi. Hal ini kerana ajaran yang di bawa oleh baginda Rasulullah SAW adalah ajaran syumul dan menyeluruh.

Firman Allah SWT, "Masuklah kamu kedalam agama ini secara menyeluruh"



Penghayatan dari ajaran Islam yang dibawa nabi Muhammad SAW

Sahabat-sahabat sekalian, kedatangan baginda Rasulullah SAW adalah sebagai Rahmat bagi sekalian alam. Kedatangannya adalah membawa satu seruan dari langit untuk membimbing manusia menuju cahaya petunjuk yang diredhoi Allah SWT.

"Dialah Allah yang mengutuskan seorang rasul dengan petunjuk dan agama yang hak(benar), untuk menzahirkan keatas agama-agama yang lain". Inilah tujuan kedatangan nabi Muhammad SAW kalau tidak bukan melainkan untuk membawa seruan petunjuk untuk memimpin manusia kearah kehidupan yang diredhoi oleh tuhan pencipta alam.

Penghayatan melahirkan pengamalan terhadap ajaran yang dibawa Rasulullah

Apabila kita telah sedar kebaikan yang akan didapati daripada ajaran Islam ini, maka akan melahirkan satu proses kearah untuk menggerakkannya dalam kehidupan kita seharian. Lalu Rasulullah tidak sahaja hanya berada bersama kita pada 12 rabiul awal malahan setiap hari kita bersama dengan Rasulullah dengan mempratikkan segala ajaran Islam yang dibawanya.

Keindahan Islam pasti akan terpancar sekali lagi di atas muka bumi Allah ini. Sesungguhnya keindahan agama ini bukan dari banyaknya bercakap tetapi dari apa yang telah dibuktikan oleh penganut-penganut agama Islam ini dengan amalan kehidupan seharian mereka. 

Sesungguhnya kehidupan mereka adalah seratus peratus berasaskan kepada ajaran Islam ini. Dengan ini secara tidak langsung tersebarnya kebaikan keserata penjuru dunia dan mengagungkan mereka yang melihatnya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-nasr," Dan engkau melihat manusia masuk kepada agama Allah beramai-ramai".

Kesimpulannya sahabat-sahabat sekalian, kita bukan sahaja merayakannya sebagai satu perayaan tetapi juga sebagai satu penghayatan untuk diamalkan dalam kehidupan kita seharian. Nescaya, pasti kita akan merasai bahawa rasulullah sentiasa hidup disamping kita.


Salam mauludul rasul 12 rabiul awal 1434 H bersamaan 24 januari 2013.

No comments:

Post a Comment