Tuesday, December 11, 2012

Bila banyak bercakap dari bekerja


Bila banyak bercakap dari bekerja apa yang akan terjadi ye? Ini adalah pengalaman yang aku lalui sendiri. Baru ku sedar kenapa ada gesaan dalam satu hadis yang menyebut barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat hendaklah dia diam.

Dari Abu Hurairah r.a. , katanya: Sabda Rasulullah s.a.w. :“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam , barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Hadis sahih riwayat Muslim)

Apa pula kaitan diam dengan banyak bercakap dan bekerja ni. Sebenarnya begini aku ni jenis orang yang banyak bercakap la kiranya. Tetapi sejak akhir-akhir ini aku bagaikan ditempelak oleh diri sendiri. Entah kenapa aku merasakan banyak perkara yang tak berjaya aku selesaikan.

Sebenarnya, apa yang mengubah keadaan aku ini berpunca daripada satu mimpi tetapi Wa Allahu A'lam sama ini mimpi yang benar ataupun mainan syaitan. Rasanya tak perlu aku ceritakan mimpi itu, cukuplah ia sekadar rahsia buat diriku ini.

Walau macam mana sekali pun aku terasa terpanggil untuk mengubah diri ini. Sudah sekian lama aku membiarkan diri aku ini sebegini lena dan selesa. Tatkala membaca buku sirah dan cerita pahlawan Islam dahulu kala membuat diriku malu. Bukan setakat itu sahaja mendengar klip video ceramah dari seseorang ustaz berkenaan soal tarbiyah membuat diri ini terpukul berkali-kali.

Salah siapakah semua ini? Jawabnya salah diri. Jadi, bila kita sedar kesilapan itu bermula dari mana maka usaha untuk membaikinya perlu dilakukan.

Ya, sudah masa untuk aku lakukannya. Sepatutnya dari dulu lagi aku merasa meluap dan benci terhadapnya tetapi baru kini perasaan itu datang. Aku bersyukur kepada Allah kerana menyanyangi hambanya ini.

Mungkin sesetengah orang menganggap ia cita-cita yang terlampau besar sehingga tak berpijak ke dunia yang nyata tetapi itulah cita-cita aku dan semoga Allah sampaikan cita-citaku ini untuk mati syahid pada jalan perjuangan Allah.

Dulu aku ingat tapi aku lupa dan ingat serta lupa lagi, dan kali ini aku diperingatkan lagi oleh Allah. Betapa aku begitu lalai dalam jalan Islam ini. Mungkin keadaan persekitaran menjadikan aku alpa dan mudah lupa bahawa sekejap lagi tubuh ini akan kembali ke dalam tanah.

Aku berjuang bukan kerana manusia, pangkat dan harta aku berjuang kerana Allah. Tidak ada matlamat perjuangan yang lebih tinggi melainkan matlamat menuju Allah.

Itulah Aku!!!

Bila aku teringat kembali asal muasal perjuanganku ini, segala masalah yang membaluti diri ini hilang dan apa yang tinggal adalah bagaimana untuk menyiapkan diri.

Ya, masa untuk kurangkan bercakap dan banyakkan amal. Kalau terlampau banyak bercakap, nanti dijadikan gurauan dan apa yang dicakap tetap dianggap gurauan sampai bila-bila dan seharusnya pada diriku ini layaklah kamu diam.

Orang yang diam itu lebih selamat lidahnya kerana tidak bercakap perkara-perkara yang kosong. Apatah lagi menyakitkan hati manusia.

Sebenarnya Hadis yang aku tampilkan sebentar tadi telah disebut oleh rasulullah SAW agar manusia berhati-hati menggunakan lidahnya itu, jangan sampai hingga membinasakan diri.

Perpatah melayu ada menyebut, "Sebab pulut santan binasa, Sebab mulut badan binasa".

Moga-moga aku dapat mengaplikasikan kata-kata dari sabda baginda SAW yang mulia ini. Amin..

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam "

No comments:

Post a Comment