Saturday, December 8, 2012

Potensi guru-guru Islam terbunuh di sekolah rendah

Tertarik dengan apa yang diperbincangkan oleh pensyarahku tadi di dalam kuliyah apabila beliau telah menyebut bagaimana potensi guru-guru agama terbunuh di sekolah rendah. Bagaimana tidaknya jika mereka dilihat tidak berminat untuk mempelajari perkara-perkara baru. Malahan "term-term" yang sukar membuatkan mereka malas untuk berfikir. Barangkali mereka lebih suka perkara yang senang dan tidak memenatkan otak mereka.

Pengajian Prasiswazah Guru atau ringkasannya PPG yang telah ditawarkan kepada lebih 300 orang  oleh kementerian di sebuah universiti bagi melonjakkan prestasi dan mutu guru-guru agama ini, amat mendukacitakan apabila mereka yang datang mendaftar untuk kursus ini amat mengecewakan.

Mungkin bagi mereka, sudah tidak perlu lagi untuk sambung belajar kerana telah bekerja dan tidak perlu lagi penat-penat untuk memikirkan masalah akademik. Cukuplah sudah kami melaluinya dahulu dan kini biarlah hidup kami sebagai guru agama yang mengajar budak-budak sekolah rendah. Mungkin inilah yang difikirkan mereka.

Penulisan ini bukan bermaksud semua guru berkeadaan begini tetapi rata-ratanya memang begini. Tahniah dan syabas kepada guru agama ini yang bijak mengatur dirinya jika ia sedar potensi apa yang akan membunuhnya.

Kita tidak mahu melahirkan guru agama yang berasa senang dengan hanya mengajar budak sekolah rendah tetapi jauh lebih dari itu kita mahu meletakkan peranan mereka jauh ke hadapan.

Ya, memang kami tidak menafikan peranan besar kalian sebagai pendidik generasi cilik hari ini bagi menjadi pemuka masa hadapan. Tidak sama sesekali tidak kami menafikan peranan kalian ini. Apatah lagi memperkecilkan kerja mulia para guru-guru agama yang mengajar di sekolah rendah.

Perbincangan ini bukan memperbincangkan soal siapa yang kalian mengajar tetapi soal bagaimana meletakkan "ROLE" para guru agama dalam kalangan masyarakat. Seharusnya ilmu pengetahuan perlu sentiasa dicari dan tidak pernah merasa jemu dan cukup untuk menimbanya. 

Tetapi apakan daya realiti hari ini menunjukkan kita malas untuk mencari ilmu pengetahuan. Lihat sahaja apa yang telah terjadi. Jika benar mereka meminati ilmu tentu sahaja peluang yang ditawarkan kementerian akan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Semoga kita semua sedar terhadap peri pentingnya ilmu pengetahuan itu dan menyuburkannya ke dalam masyarakat. Cukuplah selama ini kita hidup dalam keselesaan dan merasa sudah cukup dengan yang satu.

Moga-moga potensi guru-guru Islam tidak terbunuh di sekolah rendah pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment